Jumaat, 26 Ogos 2016

Pemain muda pilihan Kim Swee bagi aksi bertemu Indonesia

25 Ogos 2016 4:39 PM

Kim Swee
ONG KIM SWEE (kanan) bersama Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin (tengah) dalam satu sidang akhbar baru-baru ini. - Foto: FAM
KUALA LUMPUR 25 Ogos - Ketua jurulatih Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee menyenaraikan 24 pemain untuk menjalani kem latihan pusat skuad kebangsaan bermula 29 Ogos, bagi persiapan menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa 'A' bertemu Indonesia di Stadium Manahan, Indonesia pada 6 September ini.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan hari ini berkata, kesemua pemain perlu melapor diri di Wisma FAM, Kelana Jaya pada 29 Ogos, kecuali tiga pemain, Adam Nor Azlin, Matthew Davies dan Safawi Rasid.
Ketiga-tiga pemain itu akan melapor diri pada 31 Ogos selepas mereka selesai beraksi bersama skuad Bawah 22 negara untuk perlawanan persahabatan antarabangsa bertemu pasukan Bahrain Bawah 22 tahun di Stadium Shah Alam, Selasa ini.
"Banyak perubahan terpaksa dilakukan kerana masalah kecederaan dan ada yang bersara. Rata-rata pemain kali ini terdiri daripada pemain muda yang ada pengalaman antarabangsa di peringkat remaja.
"Mereka dipanggil semula untuk skuad senior bagi memberi peluang kepada mereka membuktikan sesuatu. Sudah tentu tempoh masa singkat untuk kem latihan pusat kali ini, dengan jadual yang padat," katanya.
Kim Swee berharap 24 pemain yang dipanggil itu dapat bermain secara berpasukan dengan lebih baik biarpun dalam tempoh singkat.
Menurut kenyataan itu, hanya 11 pemain dikekalkan daripada skuad ke siri Jelajah Oceania 2016 pada Jun lalu, iaitu penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat, Fadhli Shas, Khair Jefri Jones, Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, Baddrol Bakhtiar, Ahmad Fakri Saarani, Abdul Latiff Suhaimi, Brendan Gan, Amri Yahyah, Zaquan Adha Abd. Radzak dan Ahmad Hazwan Bakri.
Sementara 13 pemain lain tidak tersenarai, termasuk enam pemain mengalami kecederaan atau dalam pemulihan iaitu penjaga gol Izham Tarmizi Roslan, Junior Eldstal, Fazly Mazlan, Mahalli Jasuli, Shahrom Kalam dan Christie Jayaseelan.
Empat pemain digugurkan ialah penjaga gol Farhan Abu Bakar, S. Chanthuru, Amirulhisyam Awang Kechik dan S Kumaahran serta empat pemain yang bersara daripada pentas antarabangsa iaitu Aidil Zafuan Abd Radzak, S. Kunanlan, Amirulhadi Zainal dan Safiq Rahim.
Sebagai ganti, Kim Swee memanggil 13 muka baharu terdiri daripada penjaga gol Khairulazhan Khalid, S Veenod dan Adam Nor Azlin (Selangor), penjaga gol, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, Nazirul Naim Che Hashim dan Shahrul Saad (Perak), Wan Zack Haikal Wan Nor (Kelantan), Amer Saidin dan Irfan Fazail (JDT II), Fakrul Aiman Sidid (PDRM), Ronny Harun (Sarawak), Matthew Davies (Pahang) dan Safawi Rasid (T-Team). -- BERNAMA

- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/pemain-muda-pilihan-kim-swee-bagi-aksi-bertemu-indonesia-1.374654#sthash.eBznmgcl.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan