Selasa, 30 Ogos 2016

Hidupkan kembali Pestabola Merdeka

 
KALI terakhir skuad bola sepak negara menjuarai Pestabola Merdeka ialah pada edisi 2013 selepas menewaskan Myanmar pada perlawanan akhir.

HARI Kemerdekaan ke-59 yang disambut esok semestinya dinantikan rakyat negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Terdapat pelbagai cara yang boleh dizahirkan rakyat untuk menunjukkan rasa cinta kepada tanah air, begitu juga menerusi bidang sukan.

Kecintaan terhadap negara di­zahirkan melalui semangat pemain atau atlet yang bertan­ding untuk mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa, manakala sokongan padu peminat juga merupakan sebahagian daripadanya.

Sukan bola sepak adalah antara sukan paling diminati rakyat negara ini dan apabila negara mencapai kemerdekaan pada 1957, Pestabola Merdeka turut dianjurkan buat kali pertama yang menjadi acara tahunan sehingga 1988.

Bagi beberapa bekas pemain bola sepak kebangsaan, pe­nganjuran semula Pestabola Merdeka yang kali terakhir diadakan pada 2013 adalah antara cara untuk pemain tempatan melahirkan rasa cinta kepada negara.

Bekas pemain kebangsaan era 70-an dan 80-an, Hassan Sani berkata, kejohanan tersebut patut dianjurkan semula, terutamanya pada sambutan Hari Kemerdekaan ini kerana ia begitu dekat di hati pemain dan peminat khususnya pada era sekitar 70-an.

Katanya, beberapa kuasa utama bola sepak ketika itu se­perti Jepun, Korea Selatan turut menyertai kejohanan tersebut, sekali gus memberi saingan se­ngit kepada skuad kebangsaan yang menikmati detik kegemilangan menerusi kelincahan Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari yang begitu digeruni pasukan lawan.

“Saya masih ingat lagi ketika saya mewakili skuad kebangsaan pada 1979 hingga 1986, semangat yang diberikan rakan-rakan sepasukan ketika itu begitu berkobar-kobar dan kami hanya mahukan kemenangan tanpa memikirkan habuan.

“Kejohanan ini bagi saya sepatutnya dihidupkan semula kerana kita sedang berada dalam bulan kemerdekaan selain kami selaku pemain veteran, dapat mengimbau kembali kenangan lama ketika mewakili skuad negara,” jelas bekas pemain Sabah itu.

Hassan yang merupakan antara tonggak utama yang membantu skuad kebangsaan layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980 menegaskan bahawa perpaduan jelas utuh dalam skuad kebangsaan yang ketika itu diwakili hampir kesemua bangsa daripada pelbagai latar belakang.

“Saya masih ingat lagi pasukan kita ketika itu diwakili pemain keturunan Melayu, Cina, India serta Sikh, namun sayangnya kepelbagaian kaum tidak boleh lagi dilihat dalam skuad kebangsaan ketika ini,” jelas Hassan yang kecewa dengan prestasi semasa skuad Harimau Malaysia yang semakin merudum.

Berkongsi pandangan sama adalah bekas pemain tengah kebangsaan era 70-an dan 80-an, Bakri Ibni yang menyifatkan nama kejohanan itu sendiri berjaya menarik perhatian beberapa negara termasuk dari luar benua Asia.

Bekas pemain dan jurulatih Perlis itu menegaskan, kepesatan pembangunan yang terdapat di Kuala Lumpur pada era 80-an turut mendorong beberapa pasukan luar seperti Maghribi dan Iraq menyertai kejohanan tersebut.

“Saya bukan bercakap besar tapi nama kejohanan itu sendiri sudah terlalu megah selain kepesatan pem­ba­ngunan di bandar Kuala Lumpur itu sendiri menarik perhati­an pasukan luar menyer­tai Pestabola Mer­deka.

“Saya masih ingat keme­ria­han kejohanan ini pada era 70-an dan 80-an yang begitu dirasai peminat sehingga memenuhi setiap sudut stadium bagi memberikan sokongan kepada pemain kebangsaan, tak kira pemain itu bangsa Melayu, Cina, India dan sebagainya.

“Kejohanan ini juga pernah diadakan di luar Kuala Lumpur seperti di Ipoh dan Kota Bharu yang mana penduduk di sana sanggup mengambil cuti pada hari perlawanan untuk melihat secara langsung kelibat Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari,” kata Bakri.

Sehubungan itu, beliau meminta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kembali mewujudkan kejohanan tersebut yang mempunyai catatan sejarah tersendiri.

Kali terakhir Pestabola Mer­deka diadakan adalah pada 2013 di Stadium Darul Makmur, Kuantan yang menyaksikan skuad bawah 22 tahun negara kendalian Datuk Ong Kim Swee muncul juara selepas menang 2-0 ke atas Myanmar pada aksi final. – Bernama

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0830&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4Ip3Kcl3a Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan