Rabu, 24 Ogos 2016

Kim Swee tangguh umum senarai pemain

24 Ogos 2016 12:20 AM
Ong Kim Swee
Ong Kim Swee
KUALA LUMPUR 23 Ogos – Ke­tua jurulatih skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee mengambil keputusan menangguhkan pengumuman senarai nama pemain untuk menyertai kem latihan pusat kerana mahu membuat penilaian terakhir pada perlawanan ke-19 Liga Super yang dijadualkan berlangsung esok.
Kim Swee berkata, senarai pemain tersebut sepatutnya diumumkan pada hari ini bagaimanapun menangguhkannya kepada Khamis ini kerana perlu melakukan beberapa perubahan disebabkan persaraan dan kecederaan pemain.
“Senarai awal seramai 45 pemain dalam radar saya untuk dipanggil bagi kem latihan pusat skuad kebangsaan kali ini sebenarnya sudah pun dikenalpasti.
“Namun saya terpaksa menangguhkan pengumuman senarai pemain untuk dipanggil ini sehingga selepas perlawanan Liga Super malam esok kerana terdapat satu atau dua posisi yang belum dapat saya muktamadkan.
“Ini disebabkan saya perlu melakukan beberapa perubahan di kalangan pemain selepas empat pemain mengumumkan persaraan di pentas antarabangsa manakala beberapa pemain lain daripada senarai terdahulu mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Panggilan skuad Harimau Malaysia dibuat sebagai persiapan untuk menghadapi aksi persahabatan antarabangsa kelas A dengan bertemu Indonesia di Stadium Manahan, Solo pada 6 September ini.

- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kim-swee-tangguh-umum-senarai-pemain-1.373972#sthash.poX0MVlo.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan