Jumaat, 26 Ogos 2016

Harap Shukor kembali

Aziman Rosdi-aziman@hmetro.com.my
 
Kuala Lumpur: Biarpun mengetahui agak mustahil untuk Shukor Adan (gambar) keluar daripada persaraan di pentas antarabangsa namun bekas pemain kebangsaan Lim Chan Yew tetap menaruh harapan pemain pertahanan berpengalaman itu dapat kembali membantu skuad Harimau Malaysia bagi misi Piala AFF di Yangon, Myanmar November ini.

Shukor, 36, beberapa kali menegaskan tidak akan mengubah keputusannya selepas membantu Malaysia muncul naib juara Piala AFF dua tahun lalu namun situasi dalam kem negara ketika ini agak kritikal.

Persaraan Aidil Zafuan Abd Razak pada Julai lalu, kecederaan yang menimpa kapten Selangor Shahrom Kalam, Mohd Fadhli Shas yang jarang beraksi bersama Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dan rakan sepasukannya Junior Eldstal yang bergelut untuk berada di prestasi selepas pulih menambah resah pengendali Datuk Ong Kim Swee.

Kemungkinan Ronny Harun dari Sarawak kembali dipanggil manakala pemain Perak Shahrul Saad juga antara calon di posisi pertahanan tengah.

Bagaimanapun bagi Chan Yew, kudrat Shukor yang masih menyerlah memimpin FELDA United musim ini masih boleh ditagih.

“Memang kita ada masalah di posisi pertahanan tengah selepas ketiadaan Aidil. Kim Swee memerlukan seorang pemain berpengalaman di peringkat antarabangsa dan mampu memberi pengaruh besar dalam pasukan.

“Saya ada berjumpa dengan Shukor sebelum ini dan dia menyatakan mahu terus bersara dan saya hormati keputusan itu tapi jika dia membuat keputusan ingin kembali semula, saya fikir itu keputusan amat baik buat skuad kebangsaan.

“Kita boleh lihat bagaimana aksi pemain tempatan di FELDA United meningkat menerusi pengaruhnya sebagai ketua pasukan,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Kim Swee bakal mengumumkan senarai pemain bagi sesi latihan pusat bermula Isnin depan sebagai persiapan berdepan Indonesia dalam aksi persahabatan antarabangsa di Solo pada 6 September.

Ini aksi pertama Harimau Malaysia tanpa kelibat kapten Safiq Rahim, Aidil, S Kunanlan dan Amirulhadi Zainal yang bersara di peringkat antarabangsa.

Chan Yew yang kini menjadi pengulas bola sepak berkata, peminat tempatan tidak boleh meletakkan harapan yang tinggi di Piala AFF jika mereka mahukan muka baru.

“Aksi di pentas antarabangsa berbeza, ramai pemain kita tidak ada pengalaman. Mungkin ramai yang tak suka kalau Shukor kembali tapi mereka juga tidak boleh meletakkan tinggi untuk Malaysia menang di Piala AFF.

“Dan pemain baru yang diberi peluang perlu cuba mendapatkan pengalaman secepat mungkin kerana mereka tidak mempunyai banyak masa,” katanya yang pernah berlatih dengan kelab England AFC Bournemouth pada 2005.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2016 @ 8:28 AM


Tiada ulasan:

Catat Ulasan