Selasa, 30 Ogos 2016

Mana Nazirul?

PEMAIN negara memulakan latihan di padang Wisma FAM semalam.
Aziman Rosdi-aziman@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ketiadaan pemain pertahanan kiri Nazirul Naim Che Hashim (gambar) pada hari pertama kem latihan pusat Harimau Malaysia kendalian Datuk Ong Kim Swee semalam mencetuskan persoalan.

Kesemua 24 pemain melaporkan diri semalam kecuali pemain Perak itu yang sehingga pada sesi latihan semalam masih tidak memberikan sebarang maklum balas mengenai statusnya.

Kim Swee berkata, beliau masih menunggu penjelasan daripada pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) berhubung perkara itu.

“Semua pemain melaporkan diri kecuali Nazirul Naim dari Perak. Selepas melaporkan diri, saya dapati Ahmad Hazwan (Bakri) dan Brendan (Gan) mengalami sedikit kecederaan jadi kita akan memantau kecederaan mereka dalam sehari dua ini sama ada boleh beraksi dengan Indonesia atau tidak.

“Brendan cedera di bahagian belakang badan, Hazwan pula di buku lali kecederaan lama. Nazirul tak memaklumkan mengenai situasinya, saya difahamkan dalam masa terdekat, pihak Perak akan maklumkan kepada kami,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pertama skuad kebangsaan semalam.

Menurut Kim Swee beliau akan memantau keadaan pemain terbabit dan akan membuat pertukaran jika perlu.

Difahamkan Nazirul, 23, bekas pemain kelab Jepun FC Ryukyu kini mengalami kecederaan dan tidak mendapat pelepasan majikannya.

Bagaimanapun mengikut peraturan, mana-mana pemain yang cedera perlu hadir untuk menghantar surat pengesahan doktor ataupun menjalani ujian kesihatan bersama skuad kebangsaan terlebih dulu sebelum mendapat pelepasan.

Skuad Harimau Malaysia memulakan latihan pertama semalam bagi persiapan menghadapi Indonesia dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Manahan, Solo pada 6 September ini.

Bagi Kim Swee, beliau masih belum menentukan calon kapten bagi menggantikan Safiq Rahim dan penolong Aidil Zafuan Abd Radzak yang mengumumkan persaraan Julai lalu bersama S Kunanlan dan Amirulhadi Zainal.

“Kapten akan ditentukan dalam masa terdekat bukan hari ini, mungkin esok atau lusa. Kita tahu Amri Yahyah, Badrol (Bakhtiar), Brendan (Gan), Khairul Fahmi (Che Mat) ada ciri-ciri kepimpinan tapi saya kena berbincang dulu dengan pihak pengurusan sebelum buat keputusan,” katanya.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2016 @ 11:12 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan