Khamis, 27 Februari 2014

Mat Yo didenda RM5,000

Oleh ZAZALI JAMIAN-sukan@utusan.com.my
Norshahrul Idlan Talaha (dua dari kanan) mula menjalani latihan bersama skuad Harimau Malaya di Petaling Jaya, semalam setelah melapor diri kelmarin. - UTUSAN/Nasirruddin Yazid
PETALING JAYA - Penyerang kontroversi, Norshahrul Idlan Talaha bakal didenda RM5,000 atas kelewatannya melapor diri untuk menjalani latihan bersama Harimau Malaya selepas seminggu enggan menyahut panggilan skuad kebangsaan atas alasan peribadi.

Norshahrul atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Yo mula menyertai kem skuad kebangsaan menjalani latihan di padang Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya semalam selepas mengambil keputusan untuk menangguhkan urusan umrah yang dijadualkan pada 3 Mac ini.

Pengurus skuad kebangsaan, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, denda tersebut dikenakan sebagai pengajaran buat pemain lain agar perkara sama tidak berulang selagi tidak melibatkan sesuatu yang mustahak.

Kata Subahan, penyerang skuad Johor Darul Ta’zim itu juga telah memohon maaf dan berjumpa dengan pemain lain serta mengakui semua yang berlaku berpunca daripada kesilapannya sendiri.

“Kami kenakan denda RM5,000 sebagai satu pengajaran kerana tidak mahu menghancurkan masa depan pemain dan itu denda yang telah diputuskan oleh pengurusan.

“Bagi saya pemain perlu peka dengan tarikh permainan yang bakal berlangsung dan jika ada pemain yang dipanggil tidak mahu bersama pasukan kebangsaan mungkin selepas ini tiada lagi nama mereka akan disenaraikan," katanya kepada pemberita sewaktu sesi latihan skuad kebangsaan semalam.

Sementara itu, Subahan turut berharap pemain yang ada dapat terus kekal fokus untuk mempamerkan aksi terbaik dalam perlawanan persahabatan menentang Filipina, esok.

“Saya harap semua pihak dapat memberikan sokongan padu dan pemain perlu komited selain jangan mencari isu-isu kontroversi.

“Dalam masa sama juga saya berharap isu berkaitan Mat Yo tidak disensasikan kerana kami perlukan khidmat pemain itu bukan hanya untuk perlawanan menentang Yemen tetapi turut melibatkan aksi persahabatan sebegini (menentang Filipina Sabtu ini)," kata Subahan.

Perlawanan dengan Filipina adalah ujian terakhir skuad negara sebelum menentang Yemen dalam perlawanan terakhir kelayakan Piala Asia 2015 di Abu Dhabi.

Sementara itu, jurulatih Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee berkata, perlawanan menentang Filipina dianggap penting biarpun sekadar perlawanan persahabatan kerana akan menjadi medan untuk menilai kombinasi pemain yang akan digunakan untuk aksi bertemu Yemen.

“Saya harapkan yang terbaik buat semua pemain yang ada dan pemain perlu mempamerkan kelainan daripada corak permainan sebelum ini dengan segala taktikal yang saya gunakan.

“Latihan ini lebih tertumpu kepada beberapa unit penting dalam pasukan berkaitan serangan dan bertahan," kata Kim Swee.

SUMBER:Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140228/su_01/Mat-Yo-didenda-RM5000#ixzz2uaeAKlfX © Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 26 Februari 2014

Nazmi Faiz azam rebut kesebelasan utama

PETALING JAYA - Mohd. Nazmi Faiz Mansor akan terus memberi saingan sengit untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama Harimau Malaya.

Pemain PKNS berusia 20 tahun itu melihat persaingan merebut tempat bersama pemain senior lain dalam skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee bukan suatu masalah buat dirinya , malahmenjadi pembakar semangat untuk terus bekerja keras.

"Bagi saya tidak jadi masalah siapa pun yang berada di atas padang, saya akan beri saingan hebat.

"Tidak kira sama ada saya masih muda atau baharu, saya akan beri yang terbaik semasa sesi latihan dan perlawanan sekiranya diberikan peluang," katanya semasa sesi latihan Harimau Malaya di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Skuad kendalian Kim Swee akan bertemu Filipina, Sabtu ini dalam aksi pemanas badan terkahir sebelum bertemu Yaman dalam perlawanan kelayakan Piala Asia 2015 pada 5 Mac ini.

Nazmi juga berazam untuk memberi persembahan terbaik sekiranya dipilih menyertai pasukan pada pertemuan menentang Filipina.

"Kalau diberi peluang saya akan beri persembahan terbaik untuk membantu pasukan mencipta kemenangan," katanya.

SUMBER:Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140226/su_06/Nazmi-Faiz-azam-rebut-kesebelasan-utama#ixzz2uQU5B77m © Utusan Melayu (M) Bhd

Azamuddin digugurkan dari skuad Harimau Malaya

 Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
sukan@utusan.com.my
PEMAIN skuad kebangsaan gigih menjalani latihan di Wisma FAM , Kelana Jaya semalam sebagai persediaan menentang Yemen dalam perlawanan terakhir kelayakan Piala Asia 2015, bulan depan. - UTUSAN/Hafiz Johari
PETALING JAYA - Pengendali sementara Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee terpaksa menggugurkan Azamuddin Mohd. Akil daripada skuad kebangsaan ekoran kecederaan pergelangan kaki kanan yang dialami penyerang Pahang itu.Menurut Kim Swee, pakar perubatan mengesahkan Azamuddin atau lebih mesra dengan nama panggilan Alex tidak sempat untuk pulih menjelang perlawanan menentang Filipina Sabtu ini.
Perlawanan dengan skuad negara jiran itu adalah aksi pemanas badan sebelum Harimau Malaya menentang Yemen dalam perlawanan terakhir kelayakan Piala Asia 2015 pada 5 Mac.

"Selepas berbincang dengan pakar perubatan, mereka mendapati Alex tidak sempat untuk pulih kerana masih terdapat kesakitan di bahagian kecederaan yang dialaminya dan kita ambil keputusan untuk menggugurkannya daripada perlawanan menentang Yaman," katanya ketika ditemui di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya di sini semalam.

Kim Swee memberitahu, akibat kesuntukan masa, pihaknya tidak akan memanggil mana-mana pemain baharu untuk menggantikan Alex, sebaliknya akan menggunakan khidmat pemain sedia ada di dalam skuad itu.

Katanya, skuad Harimau Malaya akan menggunakan khidmat Baddrol Bakhtiar atau Fakri Saarani bagi mengisi bahagian sayap kanan yang ditinggalkan pemain yang berasal dari Kuala Lipis itu.

"Kita juga memiliki Amri Yahyah untuk mengisi posisi yang sama dan saya melihat para pemain perlu bersaing untuk merebut tempat di dalam kesebelasan utama," katanya.

Jurulatih berusia 43 tahun itu berkata, perlawanan persahabatan menentang Filipina akan menjadi medan untuk dirinya menguji beberapa kombinasi pemain untuk mencari keserasian bagi mengisi jentera tengah pasukan itu.

"Semua pemain memberikan komitmen yang baik dan ini menyukarkan saya untuk memilih kesebelasan utama bagi pasukan ini.

"Hanya melalui perlawanan persahabatan menentang Filipina dan pertemuan dengan Yaman akan menjadi penentu kepada saya untuk menentukan kesebelasan utama Harimau Malaya," katanya.

Pemain yang menyertai Piala AFC telah dilepaskan kembali ke pasukan masing-masing semalam dengan para pemain Selangor akan kembali melapor diri hari ini sementara pemain-pemain Kelantan esok.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140226/su_05/Azamuddin-digugurkan-dari-skuad-Harimau-Malaya#ixzz2uNKYRFrx

© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 14 Februari 2014

Piya tak minat jadi kapten

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my
KOTA BHARU - Tonggak tengah Kelantan, Mohd. Badhri Radhzi menegaskan, dia tidak berminat untuk menggalas tugas selaku kapten Harimau Malaya, sebaliknya hanya mahu fokus kepada usaha memperagakan aksi terbaik bagi membuktikan pemilihannya ke kem latihan pasukan kebangsaan adalah sesuatu yang tepat.

Badhri atau lebih dikenali sebagai Piya berkata, dia tidak pernah terfikir untuk menggalas tugas tersebut memandangkan kelibatnya masih baharu dalam pasukan kebangsaan.

Katanya, tugas selaku ketua pasukan The Red Warriors sejak tiga musim lalu sudah cukup membebankan dan fokus utamanya ialah membalas kepercayaan yang diberikan oleh

pengendali sementara Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee.

"Bagi saya, jawatan tidak penting dalam skuad kebangsaan kerana yang menjadi keutamaan saya ialah menunjukkan prestasi terbaik.

"Saya serahkan kepada jurulatih untuk tentukan siapa pilihannya. Lagi pun ramai lagi pemain senior dalam pasukan kebangsaan yang dipanggil untuk menjalani latihan pada minggu depan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia disini semalam.

Kim Swee dalam satu sidang media tiga hari lalu membayangkan lilitan kapten Harimau Malaya bakal bertukar tangan. Tanggungjawab ketua pasukan sebelum ini digalas bintang tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Mohd. Safiq Rahim.

Badhri turut menambah, ada beberapa pemain senior yang berada dalam pemikirannya untuk memimpin skuad kebangsaan.

Jeneral padang Kelantan itu sebelum ini pernah mencetus kontroversi apabila gagal menghadirkan diri untuk sesi latihan pusat pada Julai tahun lalu, sekali gus mencetuskan polemik apabila dikatakan tidak berminat untuk menyarung jersi skuad kebangsaan di bawah bimbingan Datuk K. Rajagobal ketika itu.

"Saya ingin buktikan pada usia seperti ini, saya masih mampu menyumbang sesuatu untuk negara. Saya sedar saingan cukup sengit dan perlu bekerja lebih keras bagi merebut tempat dalam skuad kebangsaan," ujar pemain berusia 31 tahun itu lagi.

Skuad negara kini dalam persiapan menghadapi perlawanan terakhir kelayakan Piala Asia menentang Yemen, 5 Mac ini.
SUMBER:
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140214/su_02/Piya-tak-minat-jadi-kapten#ixzz2tLImbI69 © Utusan Melayu (M) Bhd

Malaysia naik 4 anak tangga

KUALA LUMPUR - Skuad bola sepak negara melonjak empat anak tangga ke kedudukan 150 dunia berbanding bulan lalu dalam ranking terbaru yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA), semalam.

Kedudukan terkini itu menyaksikan Malaysia yang dikendalikan oleh ketua jurulatih sementara, Datuk Ong Kim Swee berkongsi kedudukan bersama Singapura dan Liechtenstein, selain turut setanding dengan beberapa negara lain seperti Guyana dan India (kedua-duanya 154) serta Puerto Rico (157).

Dalam kalangan negara Asia Tenggara, Malaysia naik satu anak tangga untuk berada pada kedudukan keenam di belakang Filipina (127), Myanmar (130), Vietnam (143), Thailand (147) serta Singapura (150).

Di peringkat Asia, Malaysia turut naik satu anak tangga untuk berada pada kedudukan ke-29 daripada 46 negara.

Malaysia dijangka menentang Filipina dalam aksi persahabatan di Selayang, 1 Mac ini sebelum berdepan Yemen pada perlawanan kelayakan Piala Asia 2015 Amiriah Arab Bersatu (UAE), empat hari kemudian.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140214/su_03/Malaysia-naik-4-anak-tangga#ixzz2tLHRl1WE © Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 13 Februari 2014

Skuad Harimau Malaya diumum esok

Oleh AIZAWATI AHMAD
aizawati.ahmad@utusan.com.my

Ong Kim Swee
KUALA LUMPUR - Pengendali sementara skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee mengesahkan bahawa beliau akan mengumumkan barisan pemain yang bakal menyertai skuad Harimau Malaya esok sebagai persiapan menentang Yemen pada perlawanan terakhir pusingan kelayakan Piala Asia 2015, 5 Mac ini.

Ketika ditemui pemberita, Kim Swee mengakui beliau sudah mempunyai bayangan skuad yang akan dipanggil nanti, namun menegaskan pemain-pemain berkenaan adalah terdiri dalam kalangan mereka yang beraksi cemerlang dan merupakan pemain yang berada dalam kesebelasan utama pasukan negeri atau kelab masing- masing.

Bagaimanapun katanya, terdapat posisi tertentu yang memungkinkan beliau terpaksa mengambil kira pengalaman pemain berkenaan bersama skuad kebangsaan, ekoran dominasi pemain import dalam liga tempatan.

"Saya pernah bercakap perkara ini berulang kali, terutama di posisi tertentu yang mana pemain-pemain tempatan tidak menunjukkan prestasi yang baik. Jadi, kemungkinan besar saya perlu ambil kira pengalaman mereka.

"Sebagai contoh, seorang penyerang yang menjaringkan gol itu adalah pemain asing, macam mana saya hendak menilai posisi berkenaan. Jadi saya kena ambil pemain berpengalaman.

"Tetapi posisi lain dah tentu pemain yang beraksi secara tetap dengan kelab dan juga pemain yang menunjukkan aksi baik dalam perlawanan sejak beberapa minggu ini menjadi keutamaan saya," katanya yang ditemui sewaktu menghadiri Seminar Siri Keupayaan Pentadbiran Kepimpinan Sains Sukan ISN-UPM di sini semalam.

Jelas beliau, berbeza pula dengan posisi seperti di bahagian pertahanan, jika pemain tetap sebelum ini seperti Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak jarang diberi peluang beraksi, alternatif lain perlu diambil, namun jika berlaku sebaliknya, tidak mustahil pemain kelahiran Negeri Sembilan itu berada dalam senarai beliau.

Mengulas mengenai peluang pemain tengah, Safiq Rahim dan bekas kapten Harimau Muda A, Mohd. Irfan Fazail, Kim Swee berkata, peluang kedua-dua pemain berkenaan bergantung kepada kekerapan aksi mereka bersama kelab masing-masing.

"Kalau pemain terbabit langsung tidak beraksi, sudah tentu saya tak boleh menilai mereka. Ini bermakna mereka akan terkeluar daripada senarai pemilihan. Tiada alasan untuk saya panggil mereka.

"Namun bagi Safiq pula, dia bermain dengan baik, anda boleh lihat dia bermain secara tetap, jadi saya tak lihat akan memberi masalah besar kepada saya untuk memanggilnya," ujarnya.

Bercakap mengenai kapten skuad kebangsaan, beliau berkata, terdapat dua atau tiga pemain yang berada dalam penelitiannya untuk diberikan tanggungjawab tersebut dan kemungkinan calon berkenaan merupakan pemimpin baharu dalam pasukan.
SumberArtikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140212/su_04/Skuad-Harimau-Malaya-diumum-esok#ixzz2t3VIrgGN
© Utusan Melayu (M) Bhd


Khamis, 6 Februari 2014

Legasi jurulatih bola sepak negara

Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my
 MALAYSIA berjaya menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 buat kali pertama selepas menang agregat 4-2 pada perlawanan akhir kedua antara Malaysia menentang Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.
BOLA sepak dikatakan datang ke Tanah Melayu bersama penjajah British sekitar abad ke-19. Selepas itu, sukan tersebut mendapat tempat di hati rakyat sehingga hari ini. Kini, ia menjadi antara sukan utama negara.

Dari sudut jaringan, kemenangan terbesar pernah dicapai pasukan negara adalah terhadap pasukan Filipina pada 1962 dengan jaringan 15-1 dan rekod itu masih kekal sehingga kini. Pada tahun sama, negara memenangi pingat gangsa Sukan Asia di Jakarta.

Namun, kemuncak kejayaan pasukan kebangsaan pada 1972 apabila mengalahkan Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan Filipina untuk layak ke Sukan Olimpik, seterusnya mengalahkan pasukan dari Amerika Syarikat tetapi malangnya tewas kepada Jerman Barat dan Maghribi.

Pasukan negara sekali lagi memenangi pingat gangsa Sukan Asia di Tehran dua tahun kemudian serta layak ke Piala Asia Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada 1976 dan 1980.

Selain itu, pasukan kebangsaan turut layak ke Sukan Olimpik di Moscow pada 1980 tetapi memboikotnya bersama beberapa negara lain berikutan penjajahan Soviet ke atas Afghanistan.

Kejayaan peringkat antarabangsa terbaru pasukan bola sepak Malaysia adalah kemenangan ke atas Indonesia untuk menjulang Piala Suzuki pada 2010.

Bagaimanapun, semua kejayaan itu bukan hanya atas bakat pemain semata-mata. Jurulatih pasukan merupakan antara tunjang utama memastikan pasukan dapat bermain pada tahap terbaik dan mencapai sasaran.

Legasi jurulatih bola sepak negara mencatatkan banyak nama, ada yang dari luar dan ada dalam kalangan anak tempatan. Nyata sekali era paling menonjol pasukan kebangsaan rata-ratanya di bawah bimbingan anak tempatan seperti Abdul Ghani Minhat, Jalil Che Din, M. Kuppan, M. Chandran, Peter Vellapan dan K. Rajagobal.

Walaupun ada beberapa jurulatih luar seperti Dave McLaren dan Karl-Heinz Weigang mengasuh pemain ke pentas dunia, namun kebanyakannya gagal mencapai sasaran yang ditetapkan.

Kemasukan ramai jurulatih luar ketika era 1990-an juga dilihat gagal mengembalikan zaman kegemilangan 1970-an dan 1980-an, malah teruk dibebani skandal rasuah bola sepak terbesar negara ketika itu sehinggakan sokongan peminat semakin luntur, sementara dana penajaan semakin berkurangan.

Dengan tamatnya kontrak jurulatih terkini pasukan negara, peminat tempatan tertanya-tanya adakah legasi pemimpin pasukan bola sepak Malaysia akan kekal dalam kalangan anak watan atau kembali kepada jurulatih luar?

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana_Sukan/20131207/rs_01/Legasi-jurulatih-bola-sepak-negara#ixzz2sXpjH0Ss © Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 4 Februari 2014

Akhirnya Kim Swee latih Harimau Malaya

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
Ong Kim Swee (kiri) bersalaman dengan Subahan Kamal selepas diumumkan dilantik sebagai jurulatih sementara bagi skuad Harimau Malaya, sambil disaksikan oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin dalam sidang akhbar di Petaling Jaya semalam. - BERNAMA
PETALING JAYA - Setelah gagal mencapai kata sepakat dengan jurulatih berprofil tinggi, Phillippe Troussier, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akhirnya membuat keputusan menyerahkan skuad Harimau Malaya di bawah pengendalian Ong Kim Swee buat sementara waktu sehingga mereka mendapat jurulatih tetap.

Jurulatih Harimau Muda A itu bakal membawa cabaran Harimau Malaya dalam aksi persahabatan berdepan Filipina pada 1 Mac dan pusingan kelayakan Piala Asia 2015 menentang Yemen.

Walaupun ditakrifkan sebagai jurulatih sementara oleh pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Seri Subahan Kamal, tindakan FAM itu seolah-olah mahu melihat sejauh mana kemampuan Kim Swee membawa Harimau Malaya dengan dua perlawanan itu sebagai medan ujian.

Jika berjaya mencapai keputusan memberangsangkan dalam kedua-dua perlawanan itu, Subahan tidak menafikan FAM bersedia untuk memberi peluang lebih besar kepada Kim Swee biarpun mereka masih mengintai khidmat jurulatih lain dalam masa yang sama.

"Seperti mana yang pernah dilaporkan oleh pihak media sebelum ini, memang benar kami gagal mencapai kata sepakat dalam usaha mendapatkan Philippe Troussier," katanya, yang tidak menjelaskan punca kegagalan tersebut.

"Oleh kerana tiada lagi calon lain dalam masa terdekat ini, kami bersepakat melantik Kim Swee untuk menggalas tanggungjawab selaku jurulatih sementara bagi perlawanan kelayakan Piala Asia 2015 iaitu menentang Yemen di Dubai pada 5 Mac ini.

"Kami akan memberikan peluang kepada Kim Swee untuk mengendalikan pasukan kebangsaan dan kita tengok beberapa bulan ini apa yang terjadi.

"Jika segalanya berjalan dengan baik, mungkin kami akan melantik dia menjadi ketua jurulatih dan FAM sendiri tidak meletakkan had masa untuk membuat keputusan dalam hal ini," katanya lagi dalam sidang akhbar semalam.

Ditanya bilakah FAM akan memuktamadkan isu pelantikan jurulatih Harimau Malaya, Subahan berkata, FAM tidak berada dalam situasi terdesak memandangkan hanya Kejohanan AFF sahaja menjadi aksi penting dalam kalendar bola sepak antarabangsa.

"Pasukan kebangsaan bukan dalam situasi terdesak untuk mendapatkan jurulatih tetap kerana selepas pertemuan dengan Yemen, hanya ada pertemuan persahabatan dengan Singapura dan Kejohanan AFF 2014.

"FAM masih membuka ruang kepada individu-individu yang berminat menjadi jurulatih Harimau Malaya, jika sebelum ini kami menerima kira-kira 42 permohonan, saya yakin jumlah itu akan bertambah," katanya.

Sementara itu, Kim Swee tidak melihat pelantikannya sebagai jurulatih Harimau Malaya itu sebagai satu yang membebankan walaupun dalam masa sama masih memegang tugas mengendalikan Harimau Muda A.

"Buat makluman semua, Liga Australia (National Premier League ) di Queensland, Australia hanya akan bermula pada 8 Mac dan saya boleh mengharapkan kumpulan kejurulatihan Harimau Muda memulakan latihan di sana terlebih dahulu.

"Selepas perlawanan dengan Yemen pada 5 Mac, saya akan terus terbang ke Brisbane, Australia, jadi bukan satu masalah besar," katanya.
SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140204/su_02/Akhirnya-Kim-Swee-latih-Harimau-Malaya#ixzz2sLkTq4gX

© Utusan Melayu (M) Bhd