Khamis, 25 Disember 2014

Harimau Malaya tinggal kenangan

Oleh Mohamad Fahd Rahmat

 fahd@hmetro.com.my
 
Johor Bahru: Bekas legenda bola sepak negara 1940-an, Dollah Don atau nama sebenarnya Abdullah Mohd Don, 91, yang terkenal dengan jolokan Harimau Malaya meninggal dunia di Hospital Pakar Puteri KPJ, semalam akibat sakit tua.
Anak bongsunya, Ali, 55, berkata, Abdullah menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 4 pagi di hospital berkenaan akibat sakit tua dan mula uzur sejak dua tahun lalu.
“Jenazah bapanya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah, kira-kira 12.30 tengah hari,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Datuk Onn, Larkin.
Allahyarham meninggalkan lima anak dan 15 cucu manakala isterinya, Zaleha Mohd Yusof meninggal dunia empat tahun lalu.
Sementara itu, bekas Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Datuk Suleiman Md Nor menyifatkan Allahyarham ketika zaman kegemilangannya dipuja bukan saja di Tanah Melayu malah pengaruhnya melebar sehingga ke Indonesia dan dikagumi bekas Presiden Republik Indonesia, Soekarno.
Katanya, Allahyarham disifatkan sebagai pemain bijak selain amat mencintai sukan bola sepak sehingga jika dibandingkan kebolehannya setara dengan bintang dunia dari Argentina, Lionel Messi.
“Gelaran Harimau Malaya itu diberikan oleh Soekarno yang kagum melihat aksi arwah menjaringkan hatrik ketika menentang sebuah kelab Indonesia pada 1953.
“Dollah Don juga seorang pelari pantas menyebabkan tidak mudah pemain lawan mengejar dan memintasnya di padang. “Pada zaman ini kalau ada gelaran Hero Malaya, Dollah Don paling layak menerimanya,” kata Suleiman.
Menurut beliau, arwah tidak tinggi tetapi boleh melompat menanduk tajam bola di udara.
“Sebagai penyerang, dia boleh mengambil bola dari mana-mana posisi dan bola seperti melekat di kakinya seperti Messi,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengkebumian.
Suleiman berkata, beliau amat terkesan dengan pemergian sahabatnya itu dan berharap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil inisiatif mendokumentasikan kisah perjalanan hidup arwah untuk pembangunan bola sepak negara.
“FAM perlu buat kajian kisah kehidupannya sebagai pemain termasuk bagaimana dia menumpukan sepenuh masanya terhadap sukan yang amat dicintainya itu.
“Kehebatannya di atas padang membolehkan dia dipanggil beraksi untuk pasukan bola sepak di China, Singapura dan Indonesia,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Disember 2014 @ 3:31 AM
- SUMBER: http://www.hmetro.com.my/node/19016#sthash.PSRB4cwO.dpuf

Rabu, 24 Disember 2014

Sukar buat penyerang tempatan

25 Disember 2014 12:33 AM

KUALA LUMPUR – Jika sebelum ini masih ada sedikit ruang bagi penyerang tempatan beraksi dengan kehadiran tiga pemain import di atas padang, kini dengan tambahan seorang lagi kuota import mungkin akan menyebabkan tiada lagi aksi bintang tempatan mengemudi jentera serangan.
Itu kebimbangan yang disuarakan penyerang Harimau Malaya dan Terengganu, Abdul Manaf Mamat, yang me­ngakui majoriti jurulatih di Liga Malaysia pasti akan memilih dua pe­nyerang import bagi mendapatkan kejuaraan berbanding tempatan.
“Masa ada tiga pemain import pun, saya rasa semua orang boleh nampak berapa ramai penyerang tempatan termasuk berstatus kebangsaan digunakan dalam kesebelasan utama oleh kebanyakan pasukan.
“Jadi, dengan tambahan seorang lagi pemain import, saya rasa sudah tentu dua penyerang import bakal digunakan dan kebanyakan pemain tempatan mungkin terpaksa menyesuaikan diri dengan posisi lain seperti pemain sayap atau tengah jika mahu ada dalam kesebelasan utama.
“Semua pasukan inginkan kejar kejuaraan dan sudah tentu soal siapa main tidak akan difikirkan oleh mereka asalkan mereka mampu mencapai keputusan yang baik untuk memuaskan hati pihak pengurusan serta penyokong.
“Masalahnya pasti akan tiba apabila Harimau Malaya mahu menghadapi sebarang perlawanan kerana kita tiada penyerang tulen yang tugasnya adalah menjaringkan gol.
“Semua yang beraksi bukan tonggak utama dalam pasukan mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Isu penggunaan empat pemain import yang boleh beraksi secara serentak disambut dengan reaksi bercampur baur sesetengah pihak apabila ada menerima secara positif dan tidak kurang yang bimbang tentang peluang pemain tempatan untuk beraksi.
Menurut Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (FCAM), B. Sathianathan, ia sesuatu yang baik dalam soal meningkatkan kualiti Liga Malaysia dan peningkatan corak permainan apabila pemain tempatan dapat mempelajari sesuatu daripada mereka.
Bagi jurulatih Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee, FAM perlu memikirkan satu mekanisme baharu tentang bagaimana penyerang-penyerang tempatan dapat diberikan sedikit ruang untuk beraksi di sebalik kehadiran empat pemain import.
Walaupun begitu, Manaf cuba mengambil positif dengan situasi berkenaan dan yakin jurulatih Terengganu bersikap adil kepada pemain tempatan biarpun kini mendapat banyak ruang menggunakan tenaga import sepenuhnya.
- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/sukar-buat-penyerang-tempatan-1.40552#sthash.yEmI1OLR.dpuf

Liabiliti skuad Harimau Malaya


SKUAD Harimau Malaya terpaksa berpuas hati sebagai naib juara Piala AFF Suzuki 2014 setelah tewas secara agregat 3-4 kepada Thailand pada final di Stadium Nasional, Bukit Jalil Sabtu lalu.
BOLA sepak kadangkala tidak adil malahan kejam, tetapi dalam konteks kejuaraan Piala AFF Suzuki 2014, hal seperti itu tidak berlaku kerana pasukan yang menjadi juara ialah pasukan yang terbaik iaitu Thailand.
Sepanjang kempen kali ini, Thailand hanya tewas sekali iaitu pada perlawanan akhir kedua kepada Harimau Malaya di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu pun dengan jaringan yang tipis 2-3.
Mereka menang semua perlawanan peringkat kumpulan iaitu 2-1 ke atas Singapura, 3-2 ke atas Malaysia, dan 2-0 ke atas Myanmar; seri 0-0 dan menang 3-0 ke atas Filipina pada aksi separuh akhir.
Bayangan kejuaraan kelihatan apabila mereka unggul dengan kemenangan 2-0 di Stadium Rajamangala di Bangkok dan terpatri apabila mereka mencuri dua gol daripada Malaysia dalam 10 minit yang terakhir pada 20 Disember lalu.
Dari segi statistik, pencapaian skuad Gajah Perang dianggap cemerlang apabila menang lima kali (71.4%), seri sekali (14.3%) dan kalah sekali (14.3%) serta mengumpul 14 jaringan dan bolos enam gol.
Kekejaman atau ketidakadilan berlaku jika Malaysia menjadi juara kerana skuad negara menang tiga kali (42.85%), seri sekali (14.30%) dan kalah tiga kali (42.85%) serta mengumpulkan 13 gol dan bolos 12 gol.
Pada aksi Kumpulan B, skuad negara seri 0-0 dengan Myanmar, tewas 2-3 kepada Thailand dan menang 3-1 ke atas Singapura; tewas 1-2 dan menang 4-2 ketika bertemu Vietman pada peringkat separuh akhir timbal balas; tewas 0-2 dan menang 3-2 bertemu Thailand pada perlawanan akhir kaedah yang sama.
Berdasarkan statistik, ternyata bahawa skuad bimbingan Dollah Salleh itu tewas kepada Thailand dalam semua aspek iaitu dari segi perbandingan jumlah kemenangan, kekalahan, jaringan dan dibolosi lawan.
Semua itu menggambarkan bahawa terdapat banyak perkara yang tidak kena dalam sistem bola sepak negara sehinggakan mereka gagal mendominasi peringkat Asia, apatah lagi Olimpik mahupun Piala Dunia.
Dengan perkataan yang lain, para peminat perlu mengakui bahawa banyak liabiliti mengancam keutuhan skuad Harimau Malaya dan perkara ini perlu dirincikan dengan minda yang terbuka!
Liabiliti
Apakah liabiliti yang dimaksudkan itu?
Pertama, bebanan kepada Harimau Malaya dapat dirasakan ekoran tindakan pihak pengurusan pasukan, khususnya ketua jurulatih memilih pemain dalam skuad kali ini dan kesebelasan utama.
Tidak timbul niat memperlekeh kredibiliti Dollah Salleh apatah lagi menafikan hak eksklusifnya kerana sebagai jurulatih, beliau yang paling berhak membuat keputusan.
Mungkin Dollah akan berkata bahawa ‘beliau lebih arif dan lebih mengenali pemainnya’, namun keputusannya itu menjadi buah mulut sehingga ada peminat mengatakan beliau gagal dalam aspek ini.
Pada pandangan saya sebagai peminat dan pemerhati bola sepak di Malaysia, tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa masih ramai pemain yang mampu beraksi lebih menyerlah jika diberi peluang.
Satu daripada beberapa nama hebat yang mungkin boleh dianggap terlepas daripada perhatian Dollah dan panel pemilihan pemain ialah pemain lincah Pahang iaitu R. Gopinathan.
Pemain ini mempunyai kawalan bola yang baik biarpun bertubuh kecil. Dalam banyak aksi Liga Super, beliau dapat melepasi pemain pertahanan import pasukan lawan yang bukan calang-calang.
Jika perkara ini diusulkan ke tengah masyarakat terutamanya yang bermata tajam, tentu usul ini dipersetuju tetapi malangnya, hal ini tidak berada dalam perkiraan panel pemilihan skuad kebangsaan.
Dalam pada itu, ada beberapa pemain yang sedikit berumur turut dipilih menganggotai skuad kebangsaan namun mereka dibiarkan terperap di bangku simpanan.
Bukti yang jelas ialah apa-apa yang berlaku kepada Indra Putra Mahayuddin dan Manaf Mamat!
Dalam semua perlawanan dalam konteks yang kita bincangkan ini mereka tidak diberi peluang membarisi kesebelasan utama tetapi lihatlah betapa besar impak yang mereka hasilkan apabila beraksi.
Pada perlawanan menentang Vietnam di Shah Alam, Indra Putra masuk pada minit ke-71 setelah Safee Sali kelihatan hilang ilham untuk merobek gawang lawan pada perlawanan yang tegang.
Biarpun hanya beraksi 24 minit termasuk lima minit waktu kecederaan, beliau membuktikan dirinya berbisa dan tandukannya pada minit-minit akhir nyaris menghasilkan gol penyamaan.
Jelaslah bahawa Harimau Malaya masih memerlukan pemain tulen seperti Indra Putra biarpun beliau dilabel kuda tua sebagaimana Manaf Mamat yang masuk menggantikan Norshahrul Idlan Talaha.
Dalam hal ini, lebih baik kita memperjudikan nasib kepada pemain “low profile” seperti mereka daripada mengutamakan nama agung dan reputasi silam tetapi gagal memberi impak yang besar.
Kegagalan Dollah dalam aspek pemilihan dan penyenaraian pemain turut berlaku pada posisi lain, terutama dalam aksi menentang Vietnam di Shah Alam dan menentang Thailand selepas itu.
Kesilapan
Peminat percaya bahawa Dollah berbuat silap menyenaraikan S. Kunanlan pada posisi sayap kanan dan Hafiz Kamal!
Dalam perlawanan itu, Kunanlan ternyata banyak kali melakukan kesilapan ketika melakukan hantaran selain kelihatan kebuntuan idea untuk bergerak memecahkan kubu Vietnam.
Hafiz Kamal pula kurang sesuai disenaraikan ketika bertemu pasukan yang bermain agresif dan laju seperti Vietnam sebaliknya sesuai jika disenaraikan bertemu pasukan seperti Filipina.
Jika bukan Hafiz Kamal, siapa pula pemain yang sewajarnya dibawa masuk menggantikan Shukor Adan pada perlawanan menentang Vietnam di Shah Alam?
Jawapannya ialah Baddrol Bakhtiar! Pemain ini mempunyai keupayaan membina jalur serangan dan pada masa yang sama memiliki sedikit keupayaan membantu bahagian pertahanan.
Kesilapan itu dibaiki oleh Dollah apabila meletakkan Kunanlan pada posisi pertahanan kanan pada kedua-dua aksi final dan memberi ruang kepada Indra Putra bermain dalam kesebelasan utama.
Malangnya, Dollah masih memilih Safee terutama pada 20 Disember lalu sedangkan bekas bintang itu banyak melepaskan peluang termasuklah peluang keemasan pada separuh masa kedua.
Prestasi Safee mengecewakan kerana seperti Norshahrul, dia hanya menjaringkan satu gol sepanjang kempen AFF Suzuki kali ini dan dua perlawanan pemanas badan.
Sepatutnya, yang menggantikan Azamuddin Akil yang tercedera ialah Baddrol kerana pemain itu lebih ‘versatile’ serta mempunyai daya opportunis pada saat-saat yang sangat diperlukan.
Kesilapan turut berlaku dalam penyenaraian pemain bahagian belakang apabila Muslim Ahmad diberi tanggungjawab menjadi “last man” sedangkan beliau agak lambat berpusing jika diserang balas.
Dalam konteks menentang Vietnam di Shah Alam, tempat itu wajar diberi kepada Mohd. Afif Amiruddin yang kelihatan lebih fokus dan lebih tangkas.
Tidakkah Dollah telah menyaksikan kemampuan pemain PDRM itu pada perlawanan pertama Kumpulan B ketika pasukan negara kita beraksi sepuluh orang menentang Myanmar?
Dalam perlawanan itu Afif bukan setakat menyelamatkan banyak percubaan Myanmar, malahan turut mengancam gawang lawan ketika pasukan negara memperoleh sepakan sudut pada minit akhir.
Dollah kembali menyenaraikan Afif pada 20 Disember, tetapi apabila pemain itu cedera, Muslim sepatutnya masuk bersama-sama seorang pemain pertahanan lain dan mengeluarkan Safee.
Langkah memasukkan lebih banyak pertahanan wajib kerana ketika itu kita masih bermodal 3-0 tetapi hebat diserang dan Muslim gagal beraksi sebaik Afif yang cepat membaca pergerakan lawan.
Formasi
Liabiliti kedua berlaku dari aspek pemilihan formasi. Dalam hal ini kita sedia maklum bahawa 4-4-2 merupakan formasi standard untuk menyeimbangkan gerakan menyerang dan bertahan.
Sungguhpun demikian, dengan menggunakan dua penyerang yang tumpul seperti yang berlaku sebelum ini, tentu beban itu terpaksa dipikul oleh barisan tengah iaitu dua sayap dan dua midfielder.
Apabila Safee dan Norshahrul gagal menguasai bola dan memberi ancaman ke atas barisan tengah dan benteng lawan maka kewujudan mereka seolah-olah tidak berlaku.
Pemain tengah terpaksa memikul tugas sebagai penyerang secara berterusan dan hal ini pasti memberi impak besar terhadap penggunaan tenaga kerana mereka beraksi dalam dua posisi.
Maka itu, penggunaan formasi 4-4-2 oleh Dollah Salleh seolah-olah hanyalah wujud atas kertas.
Yang berlaku di padang pula formasi yang kita gunakan sebenarnya 4-4-0! Aneh bukan?
Hakikatnya dalam beberapa perlawanan yang lalu kita hanya beraksi dengan sembilan pemain termasuk penjaga gol dan lapan pemain sahaja ketika menentang Myanmar pada perlawanan pertama Kumpulan B.
Ungkapan ini mungkin sinis; mengguris hati pihak tertentu namun ubat yang baik tentulah yang pahit dan pembedahan yang pastinya melukakan tubuh perlu dilakukan demi menyembuhkan pesakit.
Lantaran itu, jika mahu terus menggunakan formasi ini, pilihlah pemain serangan yang berfungsi dan sekiranya mereka gagal memecahkan benteng lawan, tukarlah mereka tanpa teragak-agak lagi.
Satu lagi liabiliti pasukan bola sepak negara kita dapat dinilai dari segi teknik dan strategi. Dalam hal ini, strategi serangan dan bertahan pasukan kita sangat mudah dibaca; kata orang, stereotaip. Tidak kelihatan corak permainan yang bervariasi kecuali pada minit pertama hingga sekitar minit ke-30 ketika kita menentang Vietnam pada perlawanan pertama saingan separuh akhir.
Pada 30 minit pertama, Vietnam tenggelam tetapi mereka mula mempelbagaikan gerakan iaitu menyerang dalam pelbagai kombinasi dari tengah, gerakan satu dua, dan hantaran terus yang tepat. Mereka menggunakan hantaran terus jarak jauh, ground cross, float cross, flank pass, spear head dan counter and re-counter attack sehingga membunuh keyakinan Harimau Malaya.
Inilah kunci kemenangan mereka dan inilah antara faktor besar kekalahan kita pada hari itu! Satu lagi kebijaksanaan Vietnam yang perlu kita contohi ialah mereka tahu bahawa “untuk mempertahankan kubu sendiri, mereka perlu menyerang kubu pihak lawan secara berterusan”.
Atas kepintaran itu, Vitenam menang di gelanggang lawan dan pulang ke negara mereka dengan bekalan yang selesa serta moral yang tinggi namun keajaiban berlaku di Hanoi dan kita menang 4-2.
Begitu banyak liabiliti skuad negara kita. Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu buka mata. Aspek kemahiran individu merupakan satu lagi liabiliti besar yang membelenggu skuad Harimau Malaya pada masa kini yang memerlukan perhatian serius oleh sesiapapun yang menjadi jurulatih.
Hingga kini tidak keterlaluan jika kita katakan bahawa jurulatih masih lagi gagal memanfaatkan kemahiran individu pemain tertentu yang memiliki sedikit kelebihan bakat berbanding pemain yang lain.
Kemahiran individu
Pada dasarnya, ada dalam kalangan pemain Malaysia yang bertanding dalam kempen AFF Suzuki 2014 ini memiliki kemahiran individu seperti kebolehan melakukan jaringan melalui sepakan percuma. Safiq Rahim, umpamanya, pernah memperlihatkan bisanya dari aspek ini bukan setakat dalam liga bola
sepak domestik malahan dalam perlawanan persahabatan dengan Liverpool pada 16 Julai 2011.
Mohd. Badri Radzi juga memiliki kebolehan aspek yang sama namun sejauh manakah Dollah berusaha mempertajam keupayaan individu dua pemain itu dalam saingan AFF Suzuki kali ini? Badri bukan sahaja tidak berpeluang mengambil sepakan percuma malahan setakat aksi separuh akhir pertama di Shah Alam 7 Disember lalu beliau hanya berada di bangku simpanan.
Timbul tanda tanya, adakah jurulatih mengekploitasi sepenuhnya kemahiran individu pemain-pemain pilihannya seperti mempertajam kemahiran menggelecek yang dimiliki Gary Steven Robbat? Juga, adakah jurulatih membuat latihan secukupnya dari segi setpiece sepakan percuma terus, sepakan percuma tidak terus, sepakan penjuru, dan lontaran ke dalam berhampiran gawang lawan?
Ketika Harimau Malaya dikendalikan Datuk K. Rajagopal, Aidil Zafuan Radzak yang menjadi satu daripada sumber kekuatan dianggap mempunyai kemampuan mengambil sepakan percuma terus. Malangnya, kemampuan itu dibiarkan berterusan secara semula jadi iaitu tidak diasah secara intensif dan hal yang demikian mungkin berlaku kepada Safiq serta Badri Radzi pada kali ini. – ALIAS ISMAIL
SUMBERArtikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1224&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz3Mp9dsHxsHakcipta terpelihara

Isnin, 22 Disember 2014

Ganti Indra, Afif ada kesan kalah-

21 Disember 2014

Pemain Malaysia selepas tewas pada final kedua Piala AFF Suzuki 2014 Malaysia menentang Thailand di Stadium Bukit Jalil di Kuala Lumpur, semalam.  - Bernama
    Pemain Malaysia selepas tewas pada final kedua Piala AFF Suzuki 2014 Malaysia menentang Thailand di Stadium Bukit Jalil di Kuala Lumpur, semalam. - Bernama     Pemain Malaysia selepas tewas pada final kedua Piala AFF Suzuki 2014 Malaysia menentang Thailand di Stadium Bukit Jalil di Kuala Lumpur, semalam. - Bernama
KEGAGALAN pemain untuk bertahan sepanjang 90 minit perlawanan menjadi punca skuad Harimau Malaya gagal meraih kejuaraan Piala AFF Suzuki 2014 yang melabuhkan tirainya di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi, kata Ketua Jurulatihnya Dollah Salleh.
Thailand kalah 2-3 kepada Malaysia pada aksi timbal balik di sini namun muncul juara susulan kemenangan 2-0 pada aksi final pertama di Stadium Nasional Rajamangala, Rabu lepas untuk muncul juara dengan keputusan agregat 4-3.
"Seperti yang saya katakan sebelum ini, pemain hanya mampu bertahan selama 70 minit dan kemudian hilang punca sehingga menyebabkan Thailand mengambil kesempatan," katanya kepada pemberita selepas aksi final kedua, malam tadi.
Dollah menjelaskan, keputusan mengeluarkan pemain sayap, Indra Putra Mahayuddin dan pemain pertahanan, Mohd Afif Amiruddin yang memainkan peranan besar pada perlawanan itu ekoran masalah kecederaan, turut menjadi punca kepada kekalahan itu.
Dalam pada itu, beliau berpuashati dengan pencapaian yang diraih oleh skuad kebangsaan walaupun hanya diberi tempoh singkat untuk mempersiapkan pasukan bagi menghadapi kejohanan bola sepak dwitahunan itu.
"Saya hanya dapat membuat persediaan lebih kurang sebulan dan kejayaan mengalahkan Thailand merupakan satu bonus bagi saya. Sekiranya diberi masa yang lebih panjang, saya mampu buat persediaan lebih rapi," jelas pengendali kelahiran Melaka itu.
Berkongsi pandangan yang sama adalah penyerang, Mohd Amri Yahyah yang berpuashati dengan kemenangan malam ini walaupun gagal meraih kejuaraan buat kali kedua selepas 2010 di bawah kendalian bekas jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal.
"Saya bersyukur kita dapat beraksi di final walaupun persiapan pasukan agak singkat. Semua pemain beri komitmen tinggi dalam setiap perlawanan," kata pemain kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) itu.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Thailand Kiatisuk Senamuang gembira kerana pasukan Thailand meraih kejohanan keempat bola sepak Asean selepas tiga edisi Piala Tiger sebelum ini pada tahun 1996, 2000 dan 2002.
Beliau adalah antara pemain Thailand yang menumpaskan Malaysia pada perlawanan akhir Piala Tiger di Singapura pada tahun 1996 dan pada malam ini beliau mengecapinya sebagai seorang jurulatih.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat dan pemain (untuk kemenangan ini).  Sebelum kami datang ke sini, kami membawa kelebihan dua gol tetapi setelah ketinggalan 0-3 pada separuh masa pertama, saya berasa kelainan bermain di hadapan lebih daripada 90,000 penyokong.
Semasa rehat, saya memberitahu pemain saya untuk bangkit kembali dan mereka berjaya. Saya bangga dengan semua pemain kerana tidak berputus asa, kata Kiatisuk. – Bernama
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 21.12.14

Kita ‘pancit’ punca kekalahan – Dollah

21 Disember 2014 1:10 AM

KUALA LUMPUR 20 DISEMBER 2014 - Ketua Jurulatih Harimau Malaya,
KUALA LUMPUR 20 DISEMBER 2014 - Ketua Jurulatih Harimau Malaya,
KETUA Jurulatih Harimau Malaya, Dollah Salleh kelihatan kecewa selepas pasukan Malaysia tewas kepada Thailand 2-3 pada Perlawanan akhir kedua Piala AFF Suzuki 2014 antara Malaysia menentang Thailand, di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, semalam.
KUALA LUMPUR – Jurulatih Harimau Malaya, Dollah Salleh mengakui keletihan anak-anak buahnya akibat mengamalkan corak permainan pantas menjadi faktor utama Malaysia gagal mempertahankan kelebihan tiga gol pada perlawanan akhir kedua Piala AFF 2014 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.
“Memang tidak dinafikan pada minit-minit terakhir kita begitu keletihan, malah saya akui perkara ini kerap berlaku kepada pasukan selepas minit ke-80.
“Dalam masa sama juga ada kesilapan kecil yang dilakukan dan kita terima padah. Bagaimanapun saya tetap bangga dengan semangat juang pemain, cuma pada 15 minit terakhir itu nampak kita begitu rapuh, hilang konsisten dalam pasu­kan,” katanya selepas perlawanan.
Pada perlawanan tersebut Harimau Malaya mendahului 3-0 sebelum Thailand mempamerkan kebangkitan pada penghujung perlawanan.
Dalam pada itu, penjaring terbanyak, Safiq Rahim mengucapkan terima kasih kepada Dollah atas tunjuk ajar yang diberikan sehingga mereka mampu melangkah ke pentas akhir buat kali ketiga.
“Terima kasih kepada jurulaih sebab biarpun kami tidak cukup persediaan rapi namun kita tetap berbangga dapat beraksi di final. Saya juga ucapkan ribuan terima kasih kepada rakan seperjuangan sebab telah mempamerkan aksi terbaik sepanjang kejohanan ini.
“Kita akan berusaha yang terbaik pada masa akan datang,” katanya, yang muncul penjaring terbanyak kejohanan dengan enam gol.
Sementara itu, jurulatih Thailand, Kiatisuk Senamuang berkata, kemenangan tersebut umpama mimpi yang sukar dipercayai.
Katanya, keupayaan pasukannya untuk bangkit pada saat akhir adalah sesuatu yang amat luar biasa baginya.
“Saya macam tak percaya sebab pada mulanya kami ketinggalan 1-0, kemudian 2-0 dan 3-0, namun anak-anak buah saya tidak patah semangat dan seterusnya kami bangkit kembali, malah saya seperti tidak percaya dapat dua gol pada saat-saat akhir.
“Bagi saya perlawanan ini sangat menarik dan sungguh hebat dan saya rasa kedua-dua pasukan sudah melaksanakan tugas dengan cukup baik dalam sebuah perlawanan yang sempurna," katanya.
- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kita-8216-pancit-8217-punca-kekalahan-8211-dollah-1.38985#sthash.jxbQNsOx.dpuf

Sabtu, 20 Disember 2014

Kemenangan tidak bermakna

-Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI

fazli.yadi@kosmo.com.my
 
PEMAIN Harimau Malaya sugul setelah gagal merangkul trofi AFF Suzuki 2014 biarpun menang 3-2, namun secara agregat tewas 3-4 kepada Thailand di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.
KELEBIHAN tiga gol awal ternyata masih lagi tidak menjadi kelebihan buat skuad Harimau Malaya sejurus tewas 3-4 secara agregat kepada Thailand pada aksi kedua final Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.
Lebih perit, pasukan bimbingan Dollah Salleh terpaksa menelan hakikat apabila gagal memenangi Piala AFF Suzuki meskipun berjaya menewaskan Thailand 3-2 ketika beraksi di laman sendiri.
Sebaliknya, Thailand yang menewaskan Harimau Malaya 2-0 pada aksi timbal balik pertama di Stadium Rajamangala di Bangkok pada 17 Disember lalu, tampil ceria apabila berjaya menamatkan penantian 12 tahun skuad Gajah Perang yang kali terakhir menjulang Piala AFF Suzuki pada tahun 2002.
Selain itu, Thailand kini berkongsi bersama Singapura yang memegang rekod empat kali juara Piala AFF Suzuki apabila skuad Gajah Perang itu menang dalam edisi 1996, 2000, 2002 dan kini 2014.
Beraksi di separuh masa pertama, skuad Harimau Malaya tidak mengambil masa lama untuk membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti Safiq Rahim seawal minit kelima.
Kejayaan itu hadir apabila tonggak pertahanan Thailand menjatuhkan penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha ketika menerima hantaran daripada Azzamuddin Akil pada minit keempat.
PEMAIN Thailand meraikan kejayaan menjulang Piala AFF Suzuki 2014 setelah menewaskan Malaysia secara agregat 4-3 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.
Pengadil perlawanan dari Iran, Faghani Alireza Mohammad memberikan sepakan penalti. Safiq tidak berdepan masalah untuk menewaskan penjaga gol Thailand, Kawin Thamsatchanan.
Tersentak dengan jaringan tersebut, skuad Gajah Perang mengasak benteng pertahanan negara dalam usaha untuk mencari gol penyamaan.
Keghairahan pasukan pelawat untuk mengikat kedudukan akhirnya dihukum skuad negara apabila Indra Putra Mahayuddin meledak gol kedua pada masa kecede­raan.
Bersambung di babak kedua perlawanan, skuad Thailand semakin tertekan untuk memburu jaringan dengan melancarkan beberapa percubaan tepat ke gawang negara.
Bagaimanapun, benteng pertahanan Harimau Malaya yang diketuai oleh Shukor Adan berjaya menggagalkan setiap percubaan yang diatur oleh pasukan bimbingan Kiatisuk Senamuang.
Keajaiban terus berlaku apabila Safiq sekali lagi menggegarkan Stadium Nasional menerusi jaringan ketiga Harimau Malaya hasil sepakan percuma pada minit ke-58.
Kejayaan itu hadir sekali lagi apabila Norshahrul dikasari di luar kotak penalti Thailand dan Safiq tenang menyempurnakan sepakan percuma dengan menewaskan Kawin buat kali ketiga.
Bagaimanapun, kegembiraan Harimau Malaya tidak bertahan lama apabila pemain Thailand, Charyl Chappuis meledak gol pertama pasukan pelawat sekali menjadikan agregat 3-3 pada minit ke-81.
Kejayaan Thailand itu hadir apabila penjaga gol negara, Farizal Marlias gagal mendakap kemas bola menyebabkan Chappuis mengambil peluang dan berjaya menendang bola ke gawang Harimau Malaya.
Thailand akhirnya menamatkan perjuangan skuad negara apabila Chanathip Songkrasin meledak gol kedua skuad Gajah Perang pada minit ke-87.
Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1221&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3MU9zSdVzHakcipta terpelihara

Shafiq letak Harimau Malaya dahului agregat 3-2

20 Disember 2014 9:22 PM

KUALA LUMPUR 20 Dis. - Harimau Malaya mendahului Thailand dengan agregat 3-2 selepas Shafiq Rahim menyempurnakan sepakan percuma di luar kotak penalti pada minit ke-58 dalam perlawanan akhir kedua Piala AFF 2014 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.
Shafiq sebelum itu menyumbangkan gol pertama untuk Malaysia pada minit ke-7 sebelum Indra Putra Mahayuddin menjaringkan gol kedua negara apabila menanduk masuk dari jarak dekat pada minit ke-45.
Perlawanan separuh masa kedua masih berlangsung. – UTUSAN ONLINE
- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/shafiq-letak-harimau-malaya-dahului-agregat-3-2-1.38798#sthash.z7OAgi5q.dpuf