Sabtu, 5 Januari 2019

Kita pulau Piala Suzuki AFF di Indonesia


ARKIB : 04/09/2010
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Skuad bola sepak negara mungkin terpaksa melupakan Piala Suzuki AFF, Disember ini sekiranya mereka diundi bermain dan diletak sekumpulan dengan Indonesia.

Apatah lagi jika kerajaan mengenakan dasar larangan ke negara itu gara-gara seriusnya gerakan anti-Malaysia oleh Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) di Kedutaan Besar Malaysia.

Kemungkinan itu kini dipertimbangkan dengan teliti oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berdasarkan perkembangan semasa di negara jiran tersebut kerana keselamatan pasukan tidak boleh dipandang ringan apatah lagi apabila berdepan ribuan penyokong fanatik tuan rumah.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad yang ditemui pada majlis berbuka puasa Majlis Sukan Negara di Bukit Jalil, kelmarin berkata: "Sebarang tindakan termasuk mungkin terpaksa menarik diri daripada bermain di Indonesia dalam Piala Suzuki AFF jika diundi sekumpulan mereka, perlu sentiasa selari dengan dasar semasa kerajaan Malaysia.

"Kami juga menyedari apa sahaja pertembungan pasukan kedua-dua negara walau di gelanggang sukan sama ada bola sepak mahupun badminton, sentiasa mempunyai risiko keselamatan dan mudah dicemari insiden tidak diingini.

''Jadi soal keselamatan pasukan kita akan sentiasa diutamakan.''

Bagaimanapun, jelasnya, nasib yang lebih baik mungkin menyebelahi skuad negara sekiranya majlis undian Piala Suzuki AFF pada 15 September ini di Hanoi nanti meletakkannya bermain di Vietnam - tuan rumah bersama kejohanan bola sepak dwi tahunan peringkat senior di rantau Asia Tenggara itu.

Beberapa kejadian tidak diingini yang dicetuskan penonton turut pernah meletus ketika kejohanan anjuran Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) ini yang sebelumnya dikenali sebagai Piala Tiger 2004, melibatkan perlawanan Malaysia-Indonesia sama ada di Gelora Bung Karno, Jakarta mahupun Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Skuad negara bimbingan K. Rajagobal baru sahaja mengadakan dua perlawanan persahabatan dengan kelab Al Jaish Qatar dan skuad kebangsaan Oman di Doha sebagai persediaan menghadapi Piala Suzuki AFF dari 1 hingga 29 Disember ini.

Pencapaian Malaysia ialah bergelar naib juara pada kejohanan sulung, 1996 di Singapura setelah kalah tipis 1-0 kepada Thailand dan edisi ketujuh di Phuket, dua tahun lalu menyaksikan anak buah B. Sathianathan ketika itu terkandas di peringkat Kumpulan B lagi.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0904&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5bmMlhCzo
© Utusan Melayu (M) Bhd

Skuad negara kalah di Qatar


ARKIB : 01/09/2010
KUALA LUMPUR - Skuad bola sepak negara kalah 1-2 dalam aksi persahabatan pertama kepada kelab Qatar, Al-Jaish di Stadium Universiti Qatar, semalam.

Pasukan lawan mendahului Malaysia 2-0 pada separuh masa pertama, selepas berjaya memperoleh jaringan pada minit ke-19 dan ke-33.

Penyerang Perlis, Ahmad Fakri Saarani berjaya merapatkan jurang pada minit ke-46.

Namun, malang menimpa buat Fakri apabila dia dilayangkan kad merah, dua minit selepas melakukan jaringan.

Bertambah perit, skuad negara kehilangan khidmat dua tonggak penyerang, Norshahrul Idlan Talaha dan Zaquan Adha Radzak yang cedera.

Norshahrul cedera di bahagian mata pada separuh masa pertama, sementara Zaquan mengalami kecederaan lutut pada separuh masa kedua.

Al-Jaish adalah kelab yang beraksi di dalam Divisyen Dua Qatar.

Skuad negara yang dalam persiapan bagi menghadapi Sukan Asia dan Piala AFF, akan menentang skuad kebangsaan Oman pada perlawanan persahabatan di Stadium Wakrah pada Jumaat ini.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0901&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5bkFE40gl
© Utusan Melayu (M) Bhd

Skuad Oman uji anak buah Rajagobal dalam persahabatan


ARKIB : 18/08/2010
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

PETALING JAYA - Skuad bola sepak bawah 23 tahun negara berkemungkinan besar bakal diuji pasukan kebangsaan Oman dalam satu perlawanan persahabatan pada 3 September ini.

Perkara itu dinyatakan oleh jurulatih, K. Rajagobal yang berkata perlawanan tersebut bakal dilangsungkan di Doha, Qatar.

"Perlawanan ini adalah salah satu daripada tiga perlawanan persahabatan yang sedang dirancang dalam tempoh latihan fasa kelima kali ini.

''Antara perlawanan lain yang saya sedang aturkan ialah berdepan kelab Perancis, Etoile FC yang beraksi di Liga Singapura pada 23 Ogos ini dan bertemu dengan Thailand pada 28 Ogos ini.

''Namun, kedua-dua perlawanan itu masih belum dapat diputuskan jadi atau tidak termasuk gelanggang pertemuan, sama ada di sini atau di tempat lawan, mungkin esok atau lusa, baru saya boleh mengesahkan, '' katanya ketika dihubungi oleh Utusan Malaysia.

Berdasarkan ranking terbaru di laman web rasmi FIFA, skuad negara dijangka berdepan cabaran getir kerana Oman pada masa kini berada di ranking 81 dunia.

Sebelum itu, Rajagobal berkata, dia telah mengambil keputusan membatalkan aksi di China yang dijadualkan dari 28 Ogos hingga 6 September ini.

"Antara sebab pembatalan itu kerana saya tidak mendapat mengaturkan perlawanan persahabatan dengan pasukan yang kompetitif walaupun kemudahan di sana cukup baik,'' jelasnya.

Seramai 26 pemain mendaftar diri ke latihan pusat fasa kelima skuad negara yang bermula pada 16 Ogos ini dan akan berakhir pada 7 September.

Majoriti pemain terdiri daripada pemain sama yang dipanggil bagi menghadapi perlawanan persahabatan dengan skuad bawah 21 tahun Korea Selatan pada 25 Julai lepas.

Daripada jumlah tersebut, kira-kira 10 pemain terdiri daripada skuad Harimau Muda termasuk penjaga gol, Zamir Selamat yang menggantikan S. Sasikumar ekoran kemalangan jalan raya dan Izzaq Faris Ramlan.

Hanya Ahmad Shakir Md. Ali dan penjaga gol Perlis, Farizal Marlias tidak dipanggil menjalani latihan bersama skuad kebangsaan pada kali ini. Farizal terpaksa berehat selama tiga bulan selepas patah tulang pipi.

Dalam pada itu, Rajagobal mengakui dia berasa lega kerana tiada pemain yang mengalami sebarang kecederaan serius pada latihan pusat pertama skuad negara.

Menurutnya, berdasarkan pemerhatian hari pertama, beliau berpuas hati dengan tahap kecergasan para pemain walaupun terpaksa berlatih di dalam bulan Ramadan.

''Latihan pada bulan puasa ini amat perlu kerana kami tidak mempunyai masa yang banyak untuk berkumpul dan berlatih bersama selepas berakhir Piala Malaysia pada penghujung Oktober ini,'' katanya yang ditemui pada sesi latihan , kelmarin.

Sementara itu, Rajagobal berkata, skuad negara akan menyertai Piala Ho Chin Minh yang bakal menjadi ujian terakhir sebelum berangkat ke Sukan Asia di Guangzhou.

''Iran, Singapura dan tuan rumah, Vietnam yang bakal menurunkan skuad Bawah 23 tahun akan menjadi pencabar kita dalam kejohanan itu yang dijangka berlangsung dari 26 September ini hingga 3 Oktober,'' ujarnya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0818&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5bk5GymeA
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kejayaan skuad negara lenyap suara sumbang


ARKIB : 28/07/2010
KUALA LUMPUR - Tiada makna yang lebih mendalam buat penjaga gol negara, Mohd. Sharbinee Allawee selain erti kepuasan selepas membenam aksi Skuad Olimpik Korea Selatan 1-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil, baru-baru ini.

Penjaga gol Terengganu itu berterus-terang mengaku dia amat berharap kejayaan itu dapat membuka mata ramai pihak dan melenyapkan suara-suara sumbang terutamanya penyokong Malaysia yang masih memperlekehkan prestasi bola sepak skuad kebangsaan.

''Selepas Sukan SEA di Laos yang lalu, persembahan kami semakin meningkat dan ramai antara kami mempamerkan kematangan dalam permainan.

''Ini adalah permulaan baru kepada bola sepak negara dan saya harap selepas ini makin ramai rakyat Malaysia akan kembali memberi sokongan padu kepada skuad kebangsaan,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Mengimbau perlawanan, Ahad lalu, Sharbinee berkata, dia berpuas hati dengan aksi rakan sepasukannya terutama di bahagian pertahanan kerana berjaya mengekalkan tahap disiplin sepanjang 90 minit permainan.

''Kami menunjukkan daya ketenangan yang berbeza berbanding perlawanan-perlawanan sebelum ini dan itu menjadi kunci kepada kemenangan skuad negara,'' katanya.

Sementara itu, pemain Kedah, Baddrol Bakhtiar memendam impian mahu membawa skuad negara mara ke separuh akhir Sukan Asia di Guangzhou, Oktober ini.

''Jika kita berjaya mengekalkan tahap permainan seperti semalam, tidak apa yang mustahil buat negara pada Sukan Asia.

''Bukan itu sahaja, sasaran untuk muncul menjuarai Piala AFF Suzuki nampaknya satu realliti yang boleh dijelmakan,'' ujarnya.

Walaupun beraksi hanya 20 minit dalam perlawanan itu, Baddrol tetap puas kerana mampu membantu rakan-rakan bertahan ketika Korea galak menyerang dalam minit-minit akhir permainan.

''Kami semua telah mengingatkan antara satu sama lain, jangan berasa terlalu tertekan semasa bermain sebaliknya beraksi seperti biasa supaya tidak melakukan kesilapan,'' katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0728&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_10.htm#ixzz5bjw7hC6H
© Utusan Melayu (M) Bhd

Belum terlambat buat Malaysia - TPM


ARKIB : 27/07/2010
Daripada NOR AZIAH JAAFAR
sukan@utusan.com.my
SEOUL - Kemenangan 1-0 yang dicatat oleh skuad muda Malaysia ke atas Korea Selatan kelmarin membuktikan bahawa masih belum terlambat buat pasukan bola sepak negara untuk mencipta kecemerlangan termasuk melayakkan diri ke kejohanan Piala Dunia pada masa depan.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dengan mengenal pasti bakat-bakat yang baik serta program latihan secara saintifik dan terancang, tiada sebab mengapa skuad Malaysia tidak boleh menjuarai acara-acara sukan utama termasuk bola sepak.

''Saya terperanjat sebab Malaysia tak masuk Piala Dunia tetapi skuad Olimpik kita menang. Alhamdulillah Malaysia berjaya kalahkan Korea Selatan," katanya pada majlis makan malam dan ramah mesra bersama penuntut dan komuniti Malaysia di sini, semalam.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, kemenangan itu mengingatkan beliau kepada kehandalan skuad bola sepak negara suatu ketika dahulu yang berjaya mengalahkan Korea Selatan.

Namun, entah kenapa kata beliau, pada tahun-tahun selepas itu prestasi skuad bola sepak negara menurun sehingga nama Malaysia tidak disebut lagi sedangkan Korea Selatan berjaya meningkatkan mutu permainan sehingga layak ke Piala Dunia.

Menurutnya, ia satu isu yang tidak pernah reda didebatkan oleh peminat-peminat sukan bola sepak Malaysia yang terus membandingkan perkembangan bola sepak negara dengan Korea Selatan.

''Saya percaya jika dari usia muda pemain-pemain sudah dilatih kita boleh menandingi pasukan mana sekali pun.

''Malaysia juga kalahkan Vietnam dalam Sukan SEA. Ini buktikan jelas masih ada harapan bagi bola sepak Malaysia jika pemain diberi latihan secara terancang dan saintifik," katanya. - Utusan
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0727&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz5bjiTtjRd
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kejutan skuad muda


ARKIB : 26/07/2010
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
 
PEMAIN Malaysia meraikan kemenangan 1-0 ke atas Korea Selatan pada aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

KUALA LUMPUR - Pemain muda negara menjelmakan semula semangat seperti mana ketika era 70-an dan 80-an, apabila mencatat kemenangan 1-0 ke atas Korea Selatan pada aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Safiq Rahim muncul wira apabila rembatan menarik dari luar kawasan penalti pada minit ke-50, memberikan kemenangan ke atas skuad Olimpik Korea Selatan.

Safiq melepasi asakan dua pemain lawan sebelum melepaskan rembatan kencang yang menewaskan penjaga gol Korea Selatan.

Perlawanan tersebut sempena 50 tahun hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Kali terakhir Korea Selatan beraksi di Kuala Lumpur ialah pada kejohanan Pestabola Merdeka 1995.

Ketika itu mereka yang menghantar skuad Olimpik, turut tewas kepada skuad senior negara.

Perlawanan semalam sememangnya berhak menjadi milik pasukan negara, apabila kerap melancarkan serangan ke kubu lawan.

Skuad negara hampir melakar kejutan lebih awal iaitu pada minit ke-5, melalui gerakan pemain Perlis, Ahmad Fakri Saarani, yang bijak menghantar bola tepat kepada Zaquan Adha Abdul Radzak.

Hantaran Zaquan bagaimanapun gagal diterjemahkan di dalam bentuk gol oleh Norshahrul Idlan Talaha, apabila tolakan keluar ke sebelah kanan pintu gol Korea.

Pintu gol skuad negara terselamat daripada dibolosi pada minit ke-10 apabila tandukan Park Hee Seong terkena palang, walaupun penjaga gol negara Mohd. Sharbinee Allawee sudah tertewas.

Palang sekali lagi menjadi penyelamat Malaysia apabila sepakan percuma Park Hyung Jin pada jarak tepat 20 meter, sekadar menggegar palang pada minit ke-40.

Rentak skuad negara berubah selepas rehat dan ini dibuktikan apabila gawang Korea Selatan bolos pada minit ke-50.

Zaquan terlepas peluang menggandakan kelebihan pada minit ke-65, walaupun berjaya melepaskan percubaan namun bola sepakannya tepat ke arah penjaga gol lawan



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0726&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5bjduBgtR
© Utusan Melayu (M) Bhd

Raja hormat Korea tanpa gentar

 
ARKIB : 25/07/2010
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
K. RAJAGOBAL serius memperkatakan sesuatu kepada pemain skuad bawah 23 kebangsaan dalam sesi latihan di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam menjelang perlawanan persahabatan menentang skuad Olimpik Korea Selatan di stadium yang sama pada hari ini.

KUALA LUMPUR – Jurulatih skuad bawah 23 tahun negara, K. Rajagobal menyuarakan rasa hormat terhadap skuad Olimpik Korea Selatan sambil menegaskan dia memiliki taktik buat lawan pada perlawanan bola sepak persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, petang ini.

“Saya menghormati Korea yang sudah layak ke Piala Dunia lapan kali dan pasukan belia mereka tidak kurang hebatnya dengan corak permainan pantas (mara ke suku akhir Kejohanan Dunia Bawah 20 Tahun di Mesir tahun lalu).

“Namun, pemain Malaysia wajar menikmati perlawanan ini tetapi tidak bererti mereka cuma bermain sambil lewa kerana saya akan mengatur taktik yang sesuai dengan keadaan pemain yang saya miliki,” katanya pada sidang akhbar menjelang perlawanan memperingati hubungan diplomatik 50 tahun itu.

Anak buah Rajagobal yang kebanyakannya tonggak juara Sukan SEA Laos tahun lalu, menghadapi pelawat yang dibimbing pemain yang pernah beraksi dalam empat Piala Dunia, Hong Myung Bo sebagai sebahagian persediaan menghadapi Sukan Asia Guangzhou, November ini.

“Perlawanan ini satu kesempatan terbaik mengenali perwatakan pemain dan kemampuan bermain sebagai sepasukan selain sejauh mana persediaan dari segi fizikal dan mental. Lagipun sudah agak lama kita tidak berdepan lawan yang sehandal Korea,” ujarnya.

Sementara itu, Myung Bo, pemenang Bola Gangsa Piala Dunia 2002, mengakui tuan rumah memiliki pemain berkemahiran dan kemampuan teknikal yang agak baik walaupun kedua-dua negara sudah lama tidak bertembung di arena antarabangsa.

“Saya hanya sempat mengumpul 19 pemain untuk berlatih bersama sejak seminggu lalu. Kini saya cuba curahkan pengalaman berharga saya dalam Piala Dunia lalu dalam mendidik angkatan muda Korea dan saya dapati mereka begitu cepat meningkat.

“Ada juga beberapa pemain yang pernah beraksi di Mesir lalu dan ada yang cuba digilap untuk menghadapi Sukan Asia Guangzhou,” katanya yang memiliki dua bintang Kejohanan Dunia Bawah 20 Tahun iaitu Kim Dong Sub yang beraksi di Liga Jepun dan Park Hee Sung.

Sekiranya masih seri selepas 90 minit masa permainan sebenar, pemenang perlawanan ini akan terus ditentukan menerusi sepakan penalti tanpa perlu melalui 30 minit masa tambahan.

Harga tiket yang dikenakan ialah RM30 di grandstand dan RM10 di tempat duduk biasa manakala cuma RM5 bagi penonton kanak-kanak yang dijual di stadium mulai 10 pagi hari ini.

Kesebelasan kemungkinan Malaysia: Sharbinee Allawee Ramli, Mohd. Sabre Mat Abu, Nasriq Baharom, Aidil Zafuan Radzak, Zaquan Adha Radzak, Norshahrul Idlan Talaha, Safiq Rahim, S. Kunanlan, Gary Steven Robbat, Mahalli Jasuli, Muslim Ahmad.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0725&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5bjVRd6pN
© Utusan Melayu (M) Bhd