Khamis, 9 Februari 2017

Sokong TMJ sebagai Presiden FAM

6 FEBRUARI 2017
 Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim
Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim Tunku Ismail
PERSATUAN Bola Sepak Melaka United (MUSA) menyokong penuh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Presiden MUSA yang juga Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata MUSA akan terus menjadi penyokong utama hasrat Tunku Ismail dalam usaha mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak tanah air.

"Saya sendiri menjadi yang terawal mencetuskan idea dan mencadangkan kepada Tunku Ismail untuk mengisi kekosongan kerusi Presiden FAM.

"Secara peribadi saya amat berbesar hati apabila cadangan saya disambut baik apabila baginda mengumumkan berkenan untuk bertanding pada kongres pemilihan persatuan itu pada Mac akan datang," katanya dalam catatan di laman Facebook beliau, hari ini.

Selain Tunku Ismail, tiga nama lain yang dicalon untuk jawatan Presiden FAM itu ialah Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Tan Sri Aseh Che Mat.

Kongres FAM akan diadakan pada 25 Mac dan senarai akhir calon akan dibentangkan kepada Exco FAM pada 20 Feb bagi menentukan calon yang layak bertanding pada kongres bagi memilih barisan kepimpinan untuk penggal 2017-2021. – Bernama

Sumber-SINAR HARIAN ONLINE 6 FEBRUARI 2017

Buatlah keputusan tepat: Khalid

WARTAWAN SINAR HARIAN
8 FEBRUARI 2017
 Mohd Yusoff, TMJ
Mohd Yusoff, TMJ Khalid menganggap Mohd Yusoff (kiri) dan TMJ calon paling layak menerajui pucuk pimpinan tertinggi FAM.
AHLI gabungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) disaran membuat keputusan bijak dan menolak nilai 'sentimental' sesetengah calon yang bertanding bagi merebut pucuk pimpinan tertinggi badan induk itu.

Pengkritik bola sepak negara, Khalid Ali berkata, selain jawatan presiden, individu yang dipilih mengisi jawatan timbalan presiden juga perlu terdiri daripada muka baharu.

Pada masa sama, Khalid menyarankan timbalan presiden sedia ada, Datuk Seri Affandi Hamzah supaya bersikap 'gentleman' dengan menarik diri walaupun dicalonkan sekali lagi dalam kongres kali ke-53 persatuan itu, Mac ini.


Minggu lalu, Affandi dilapor sedia mempertimbangkan untuk mempertahankan jawatannya atau tidak dan berjanji akan memaklumkan pendiriannya dalam masa terdekat.

Dilaporkan sebelum ini calon bagi jawatan tersebut bakal menerima borang pengesahan pencalonan daripada Sekretariat FAM dan mereka perlu membuat keputusan sama ada mahu bertanding atau tidak sebelum 13 Februari depan.

Senarai akhir calon akan dibentangkan dalam Mesyuarat Exco FAM terlebih dahulu selepas diumumkan pada 20 Februari ini.

Calon-calon lain yang tersenarai untuk jawatan itu ialah Setiausaha Agung FAM, Datuk Mohd Hamidin Mohd Amin; Naib Presiden FAM, Datuk Rozabil Abdul Rahman; bekas Naib Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal dan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak melaka United (Musa), Datuk Mohd Yusoff Mahadi.

“Jawatan Timbalan Presiden FAM merupakan orang penting dan tulang belakang yang akan bantu presiden menggerakkan skuad kebangsaan ke peringkat tertinggi.

"Saya lihat hanya Mohd Yusoff ada kredibiliti dan Hamidin pula kita tidak boleh tolak tepi. Saya fikir dua individu ini memang sesuai mengisi jawatan timbalan presiden.

"Bagi jawatan presiden pula, saya tidak nampak orang lain selain TMJ (Tunku Ismail Sultan Ibrahim). Saya sudah katakan perkara ini berulang kali dan saya percaya TMJ dan Mohd Yusoff mampu membentuk gandingan mantap.

"Saya fikir mereka tidak ada masalah untuk bekerjasama. Itulah yang saya katakan, orang lama perlu berundur takut nanti, presiden orang baru tapi timbalan orang lama.

"Risau nanti FAM tetap sama, tiada perubahan timbul pula konflik lain," katanya.

Sumber-SINAR HARIAN ONLINE 8 FEBRUARI 2017

Selasa, 7 Februari 2017

Tunku Ismail dapat restu Sultan Ibrahim

 
SULTAN IBRAHIM (duduk empat dari kiri) bersama Tunku Ismail (duduk dua dari kanan) mengadakan pertemuan tertutup dengan wakil 14 ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Negeri di Kelab Polo, Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru semalam.

PEMILIK kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendapat restu ayahandanya, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk bertanding merebut ‘kerusi panas’ jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada pemilihan Kongres FAM ke-53 pada

25 Mac depan.

Perkara itu didedahkan pada sidang akhbar oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA), Datuk Mohd. Yusoff Mahadi yang mewakili 14 ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Negeri sejurus selesai mengadakan pertemuan tertutup dengan Sultan Ibrahim di Kelab Polo, Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru semalam.

“Baginda menetapkan syarat untuk perkenannya itu yang mana pihak kami tidak boleh meletakkan tempoh, sebaliknya memberikan masa untuk Tunku Ismail membina semula organisasi tersebut jika pencalonan Presiden FAM menjadi milik Tunku Ismail,” kata Mohd. Yusoff.

Pertemuan selama sejam bersama Sultan Ibrahim dan Tunku Ismail itu turut dihadiri delegasi daripada 14 ahli gabungan FAM, antaranya dari Selangor, Kedah, Sabah dan Terengganu.

Selain Tunku Ismail, tiga nama turut bersaing merebut kerusi ‘panas’ sebagai Presiden FAM baharu ialah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, 41; bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, 61, dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Aseh Che Mat, 66

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0207&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4Y0DIhXax Hakcipta terpelihara

Isnin, 6 Februari 2017

Kim Swee 'berguru' sebulan bersama QPR

3 FEBRUARI 2017
Kim Swee 'berguru' sebulan bersama QPR Ketua jurulatih skuad Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee pada sidang media AirAsia taja Datuk Ong Kim Swee dan Brad Maloney berguru sebulan di QPR di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini. - Foto Bernama
KETUA jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee diberi peluang untuk 'berguru' selama sebulan di London bagi mengikuti program bersama kelab Liga Kejuaraan Inggeris, Queen Park Rangers (QPR).

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pemergian Kim Swee bersama penolong jurulatih kebangsaan, Brad Maloney dari 7 Februari hingga 8 Mac ini dilihat mampu memberi manfaat dan faedah sepenuhnya kepada beliau dan juga pasukan kebangsaan.

Hamidin menjelaskan program tersebut ditaja sepenuhnya oleh AirAsia menerusi inisiatif Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, yang juga pemilik kelab berkenaan.

"Kim Swee dan Brad akan diberi peluang untuk melihat sendiri sesi latihan pasukan utama QPR di Harlington, yang merupakan pusat latihan QPR di bawah kendalian Ian Holloway bersama barisan kejurulatihannya.

"Dari situ, Kim Swee dan Brad akan diberi kesempatan untuk berbincang dan mempelajarai sesuatu yang baharu mengenai kaedah latihan, taktikal dan persiapan menjelang perlawanan," katanya pada sidang media bulanan skuad kebangsaan di Wisma FAM, hari ini.

Sementara itu, Kim Swee mengakui peluang keemasan itu akan memberikan impak positif kepada kemahiran kejurulatihan beliau dan Brad yang akan digunakan sebaik mungkin dalam meningkatkan prestasi skuad kebangsaan.

"Peluang untuk melihat sendiri skuad utama QPR menjalani latihan serta mengikuti perkembangan pasukan akademi mereka ini pasti memberikan satu pengalaman dan pendedahan yang amat berguna kepada kami.

"Selain dapat meningkatkan mutu kemahiran kejurulatihan kami, segala ilmu dan kaedah latihan yang dipelajari semasa di sana akan saya gunakan bersama skuad kebangsaan," jelas beliau.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia X, Datuk Kamarudin Meranun berkata program itu adalah permulaan kepada jalinan kerjasama antara FAM dan QPR yang turut akan melibatkan penghantaran jurulatih dan pemain ke kelab berkenaan serta kehadiran pakar dari QPR ke negara ini.

"Kerjasama jangka panjang ini adalah salah satu sumbangan kami dalam membantu memartabatkan semula bola sepak Malaysia," katanya. - Bernama


Sumber-SINAR HARIAN ONLINE 3 FEBRUARI 2017

Sabtu, 4 Februari 2017

Insa 'buka mata' OKS

INSA (gambar kecil) kini bersama skuad Tok Gajah.
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my 
Petaling Jaya: Pemain kacukan Francisco Javier Insa Bohigues yang menyarung jersi skuad Liga Super Pahang mendapat perhatian jurulatih Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee kerana beranggapan pemain itu mampu memperkuatkan pasukan khususnya di bahagian pertahanan.

Dia yang turut dikenali sebagai Kiko Insa, 29, pada mulanya didaftarkan pemain import skuad Tok Gajah musim ini namun kemudian diiktiraf pemain tempatan apabila memiliki kad pengenalan Malaysia dua minggu lalu.


Kiko Insa yang dilahirkan di Alicante, Sepanyol tetapi neneknya berasal dari Kuala Lumpur, sudah diturunkan jurulatih Dollah Salleh ketika Pahang seri 1-1 dengan Perak dan membelasah T-Team 5-0 dalam aksi Liga Super.

Ternyata aksi awal pemain tengah itu yang turut boleh beraksi di bahagian pertahanan memikat Kim Swee yang kini sedang mencari pemain dalam persiapan mengharungi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2017 bermula Mac depan.

“Bergantung kepada status, saya kena teliti dari segi sama ada dia mempunyai pasport Malaysia. Sudah pasti dia pemain yang bagus cuma kita kena melalui beberapa proses terlebih dulu, jika peraturan membenarkan, saya memang berminat untuk mendapatkan khidmatnya. Tapi saya tak boleh terus kata boleh, takut nanti AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) tak benarkan,” katanya ketika ditemui pada sidang media bulanan skuad Harimau Malaysia semalam.

Kiko Insa yang pernah beraksi dengan kelab divisyen tiga Sepanyol CD Alcoyano dan kelab Belgium UR Namur juga boleh berbahasa Indonesia kerana pernah mewakili Arema FC dan Bali United.

Kim Swee mengakui kehadiran pemain ini boleh membantu, apatah lagi beliau berdepan masalah di bahagian pertahanan tengah ketika mengharungi kempen Piala AFF tahun lalu.

“Ya (ada menyaksikan dia bermain). Kita tahu ada masalah di bahagian pertahanan, dengan adanya dia, saya harap ia akan membantu. Tapi kita perlu sahkan sama ada dia boleh bermain terlebih dulu,” katanya.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2017 @ 5:28 AM

Jumaat, 3 Februari 2017

Piala Asia: Sukar tapi tak mustahil

MUHAMMAD ZAKWAN NAZARALY
28 JANUARI 2017
WALAUPUN tampak sukar, namun Ketua Jabatan Kejurulatihan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), B Sathianathan percaya skuad Harimau Malaysia mampu mencipta keputusan positif pada saingan kelayakan Piala Asia 2019.

Isnin lalu, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee diundi dalam Kumpulan B bersama Korea Utara, Lubnan dan Hong Kong.

Bagi Sathianathan, walaupun di atas kertas Malaysia berdepan tugas berat untuk layak ke Piala Asia, namun segala kemungkinan boleh berlaku sekiranya pemain negara mampu mencipta kejutan menumpaskan Lubnan dan Hong Kong.

“Dalam kumpulan ini semua pasukan amat kuat dengan ranking dan prestasi lebih baik daripada skuad negara.

“Namun, ia akan jadi tak mustahil untuk dilaksanakan sekiranya pemain dapat cipta kejutan menumpaskan Lebanon dan Hong Kong untuk berada di kedudukan kedua di belakang Korea Utara.

“Kalau kita mencari jalan senang, memang sudah tiada. Itu satu-satunya peluang yang kita ada (menumpaskan Lubnan dan Hong Kong) “ katanya.

Persediaan awal

Berdasarkan ranking, skuad negara yang berada di kedudukan ke-161 jauh ditinggalkan di belakang berbanding ketiga-tiga negara itu dengan Lubnan (148), Hong Kong (140) dan Korea Utara (125).

Perlawanan peringkat kumpulan akan dilangsungkan dari 28 Mac 2017 hingga 27 Mac 2018 dengan dua pasukan terbaik daripada setiap enam kumpulan akan mara ke pusingan akhir.

Mengulas lanjut, kata Sathianatahan, Kim Swee perlu membuat persediaan dari awal mencari pemain yang kini berada dalam prestasi terbaik.

Tegasnya lagi, persefahaman antara pemain merupakan fokus utama yang perlu dibentuk Kim Swee dalam baki tempoh dua bulan ini.

“Dari sekarang, Datuk Ong Kim Swee perlu terus turun padang cari pemain yang betul-betul menyerlah dalam liga.

“Jangan tunggu sebulan sebelum ataupun beberapa minggu untuk buat pemilihan dan melatih mereka,” katanya.

SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 28 JANUARI 2017

Malaysia panaskan badan di Manila

03 Februari 2017 12:24 AM
Hamidin Mohd. Amin
SHAH ALAM 2 Feb. – Skuad Harimau Malaysia memilih untuk menentang Filipina dalam perlawanan pemanas badan sebagai persediaan menghadapi cabaran sebenar apabila bertemu Korea Utara pada 29 Mac ini dalam kempen kelayakan ketiga Piala Asia 2019.
Bagaimanapun, pengurus pa­sukan Harimau Malaysia, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata sekiranya aksi pemanas badan menentang Filipina tidak dapat diadakan skuad negara akan bertemu dengan kelab dari China sebagai perlawanan ganti sebelum bertemu Korea Utara di Stadium Kim II-sung, Pyongyang.
Hamidin, yang juga merupakan Se­tiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), turut memberi jaminan bahawa keselamatan para pemain dan barisan kejurulatihan berada dalam keada­an selamat di Korea Utara nanti.
“FAM sudah dimaklumkan oleh AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) bahawa kita akan melakukan SOP (standard operasi) seperti biasa. Kita ikut prosedur (yang ditetapkan) pasukan keselamatan untuk perlawanan tersebut.
“Namun, perlawanan lain di sana sebelum ini berjalan dengan baik walaupun kita tahu ada sedikit keka­ngan. Setakat hari ini, kami mempunyai hubungan baik dengan Korea Utara.
“Kita mungkin akan bertemu Filipina di Manila, kemudian terus ke China kerana penerba­ngan ke Pyongyang adalah dari Beijing.
“Jika kita tidak dapat bertemu Filipina kita akan lawan dengan kelab dari China sebagai pemanas badan. Kita akan berlepas dari Beijing pada 26 Mac,” katanya kepada pemberita di sini hari ini selepas majlis undian pertandi­ngan Piala FAM, Piala Presiden dan Piala Belia di sini hari ini.
Dalam undian kelayakan ketiga Piala Asia 2019, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee diletakkan dalam Kumpulan B bersama Korea Utara, Hong Kong dan Lebanon.

sumber- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/malaysia-panaskan-badan-di-manila-1.439612#sthash.2haJT7jn.dpuf