Ahad, 21 Februari 2021

Tiada halangan menaturalisasikan pemain - FAM

MyMetroArena



Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tiada halangan buat pasukan Liga Malaysia (Liga M) menaturalisasikan pemain yang dilihat memiliki potensi untuk diketengahkan.

Bagaimanapun, ia bukan satu lesen atau tiket automatik buat pemain terbabit untuk menyarung jersi skuad Harimau Malaya di mana keupayaan mereka akan dinilai terlebih dulu oleh Jawatankuasa Teknikal pasukan kebangsaan.

Menurut Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, hasrat pasukan Sri Pahang FC untuk menaturalisasikan dua pemainnya, Sergio Aguero dan Lee Tuck pada tahun depan dilihat cukup positif.

Jelas Yusoff yang juga Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi FAM, skuad Tok Gajah dilihat tidak berdepan masalah untuk melakukan proses berkenaan kerana pasukan itu sebelum ini mempunyai pengalaman ketika menaturalisasikan Mohamadou Sumareh pada 2018 lalu.

"Memangnya Pahang kalau kita tengok pemain naturalisasi pertama kita pun, Sumareh datang daripada Pahang dan bukan melalui FAM.

"Jadi maknanya Pahang sudah ada pengalaman untuk mendapatkan kelulusan pemain, jadi itu mungkin memberi idea kepada Pahang untuk menambah pemain naturalisasi kepada pasukan Pahang.

"Jadi pada kita tak menghalang untuk pasukan menaturalisasikan mana-mana pemain yang mereka fikir berpotensi untuk mewakili pasukan masing-masing.

"Tetapi untuk mewakili negara kita akan menilai prestasi pemain itu melalui Jawatankuasa Teknikal dan kalau dilihat sesuai kita akan panggil mereka untuk bermain dengan pasukan kebangsaan," katanya kepada Arena Metro.

Semalam, dilaporkan dua pemain import Sri Pahang dijangka memperkuatkan lagi skuad negara pada tahun depan apabila Aguero dan Tuck akan dinaturalisasikan pasukan itu.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Februari 2021 @ 9:43 PM

1 ulasan: