Football Association of Malaysia
20 Januari jam 12:01 PTG ·
Tan Cheng Hoe, Aidil Zafuan Sambut Positif Berita Harimau Malaya Diberi Kebenaran Kembali Berlatih
Ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe dan kapten Harimau Malaya, Aidil Zafuan Abd Radzak menyambut positif lampu hijau yang diberikan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican untuk membenarkan kem latihan pusat secara kuarantin diadakan sebagai persiapan menjelang dua aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Mac ini.
Menurut Cheng Hoe, perancangan rapi dan teliti perlu dilakukan segera oleh pihaknya dan juga Sekretariat Agung FAM bagi memastikan kem latihan pusat itu dapat dijalankan sebaik mungkin mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan untuk mengelak daripada berlakunya penyebaran pandemik COVID-19 dalam kalangan pemain dan pegawai pasukan.
"Sudah tentu selepas mendapat perkhabaran gembira ini, kami perlu segera membincangkan dengan lebih teliti terutama dari segi program latihan kerana kita secara umum sedar bahawa kes COVID-19 di negara ini ketika ini agak tinggi dan sudah tentu kita tidak mahu sesuatu berlaku kepada pemain dan pegawai kita.
"Apa pun, dengan kelonggaran untuk kem latihan pusat secara kuarantin ini dibenarkan untuk diadakan, ia sudah tentu memberi peluang kepada kita bagi mempersiapkan pasukan menjelang aksi Mac nanti dengan satu persediaan yang agak baik.
"Saya ucapkan terima kasih juga kepada Menteri Belia dan Sukan, YB Dato’ Sri Reezal Merican atas usaha dan bantuan berterusan yang telah beliau berikan," kata Cheng Hoe.
Sementara itu, Aidil Zafuan mewakili rakan-rakan sepasukannya yang lain berkata, peluang untuk kembali berkumpul dalam kem latihan pusat ini akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh mereka bagi meningkatkan kembali prestasi dan kombinasi pasukan bagi dua aksi penting menentang UAE dan Vietnam.
"Satu berita gembira kepada kami sebagai pemain apabila dapat kembali berlatih bersama selepas lebih setahun tidak dapat berkumpul. Ia satu perkembangan yang positif kepada pasukan dan peluang ini akan digunakan sebaik mungkin.
"Kita boleh lihat yang pasukan-pasukan lain yang satu kumpulan dengan Malaysia iaitu seperti UAE, Vietnam dan Thailand telah dapat berlatih lebih awal. Jika kita tak diberikan kebenaran berlatih, sudah tentu banyak yang kita akan tertinggal berbanding dengan lawan-lawan kita itu.
"Apa pun, berita ini sangat ditunggu-tunggu oleh kami sebagai pemain. Yang penting, kami dapat untuk kembali berlatih bersama," kata Aidil Zafuan.
Skuad Harimau Malaya dijadual menghadapi perlawanan keenam dan ketujuh Kumpulan G bagi Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu UAE pada 25 Mac 2021 di tempat lawan dan menentang Vietnam pada 30 Mac 2021 di gelanggang sendiri.
SUMBER#FAM #HarimauMalaya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan