Isnin, 8 Februari 2021

Harimau Malaya intai Ramadhan

MyMetroUtama



Oleh Syazwan Msar

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Selepas lebih setahun tidak beraksi, skuad Harimau Malaya jelas mahu memberi nafas baharu apabila menyenaraikan tonggak muda Johor Darul Ta'zim (JDT), Ramadhan Saifullah Usman menyertai kem latihan sebagai persediaan aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 kelak.

Ini bermakna jika Ramadhan disenaraikan dalam skuad akhir, Harimau Malaya memiliki banyak pilihan termasuk tidak lagi bergantung kepada 'kuda tua' di bahagian serangan dengan gandingan mantap ubi muda diketuai penyerang bawah 19 tahun negara, Luqman Hakim Shamsuddin dan Ramadhan yang mampu mengucar-kacirkan kubu lawan.

Pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, Ramadhan antara muka baharu yang dipanggil menyertai kem latihan skuad Harimau Malaya dalam usaha menguatkan lagi bahagian serangan pasukan.

Beliau berkata, keputusan menyenaraikan Ramadhan dalam skuad terakhir Harimau Malaya ditentukan pengendali pasukan, Tan Cheng Hoe jika beliau berpuas hati dengan persembahan dipamerkan pemain berusia 20 tahun itu.

"Antara muka baharu yang dipanggil menyertai kem latihan adalah Ramadhan berdasarkan prestasi semasa bersama JDT sebelum ini.

"Keputusan ditentukan Cheng Hoe nanti untuk menggunakan khidmat pemain berkenaan atau sebaliknya mengikut kesesuaian pasukan," katanya.

Sebelum ini, Cheng Hoe jelas terpikat dengan aksi bertenaga bintang baharu JDT itu dan berhasrat menyenaraikannya dalam skuad kebangsaan.

Ramadhan yang mencetak dua gol ketika membantu JDT membenam Selangor 6-1 dalam aksi Liga Super musim lalu mempamerkan permainan menakjubkan termasuk menjaringkan gol lencong berkualiti pada perlawanan itu.

Katanya, pemain sayap berusia 20 tahun itu mempunyai ciri menyerang yang diinginkan dan sudah tentu jika dia mampu mengekalkan konsistensinya akan memiliki masa depan cerah.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Februari 2021 @ 6:40 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan