Khamis, 18 Februari 2021

Lega aksi kelayakan ditunda

MyMetroArena



Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengesahan penundaan aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada bulan depan jelas melegakan pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe yang mengakui anak buahnya belum bersedia untuk menempuh baki aksi Kumpulan G itu.

Bagaimanapun, penundaan aksi itu tidak bermakna pemain negara akan 'bercuti' pada jendela aksi antarabangsa sebaliknya tempoh berkenaan akan dimanfaatkan sebaiknya untuk mengadakan latihan pusat selepas setahun lebih pasukan kebangsaan tidak berlatih bersama.

"Memang kita nak teruskan (latihan pusat Mac ini) kerana itu adalah kalendar FIFA dan Liga Malaysia (Liga-M) pun akan berhenti rehat seketika. Kita akan ambil peluang ini untuk buat latihan pasukan kebangsaan," katanya kepada Arena Metro, semalam.

Mengulas mengenai harapan untuk mengadakan aksi persahabatan bulan depan, beliau mengharapkan anak buahnya diberi lampu hijau oleh pihak berwajib.

"Berkenaan (aksi persahabatan) nanti kita akan bincang dengan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dan terpulang kepada MKN (Majlis Keselamatan Negara) untuk luluskan bagi mengadakan perlawanan persahabatan atau latihan dalam Malaysia tak ada masalah.

"Mungkin nak bawa pasukan (dari luar) atau nak keluar ada sikit kesukaran. Tetapi ia bergantung kepada FAM untuk berbincang secara terperinci tentang perlawanan persahabatan nanti," katanya.

Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengesahkan aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bulan depan ditunda kepada Jun ini ekoran isu Covid-19 yang menyebabkan kebanyakan negara masih menutup pintu sempadan.

Sementara itu, ditanya mengenai status penyerang muda negara di Belgium, Luqman Hakim Shamsudin adakah turut dipanggil untuk latihan pusat bulan depan, perkara itu akan dimuktamatkan selepas mengadakan perbincangan dengan KV Kortrijk dan FAM.

"Kalau kita berlatih untuk tempoh 10 hari atau dua minggu saja, mungkin ia akan mendatangkan kesukaran dari segi proses kuarantin buat Luqman. Jadi kita bincang dulu dan lihat bagaimana hasilnya," katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2021 @ 9:43 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan