Sabtu, 20 Februari 2021

Cheng Hoe gusar cuaca panas melampau

MyMetroArena



Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Suhu cuaca panas melampau sehingga 43 darjah celsius bakal menjadi cabaran getir buat skuad Harimau Malaya pada bulan Jun ini sekiranya Emiriah Arab Bersatu (UAE) dipilih sebagai lokasi baki aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 nanti.

Berdasarkan semakan kaji cuaca pada Jun tahun lalu, 14 Jun 2020 pernah merekodkan suhu sepanas itu dengan 43 darjah celsius adalah catatan paling tinggi dengan hari-hari berikutnya dalam bulan Jun konsisten merekodkan 40 darjah celsius.

Lantas, situasi itu nyata tidak disenangi pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe yang mengakui secara peribadi lebih memilih Thailand ataupun Vietnam sebagai venue tuan rumah untuk menghabiskan baki perlawanan kelayakan itu.

Jelasnya, kelebihan cuaca panas itu akan memberi peluang buat UAE berbanding empat lagi pasukan iaitu Malaysia, Thailand, Vietnam dan Indonesia yang mungkin berdepan masalah sama.

"Kalau kita lihat perlawanan kelayakan ini jika bermain di UAE mungkin kita berdepan masalah yang besar kerana tahap kepanasan di sana bukan biasa-biasa, dan bukan mudah untuk mana-mana pemain menyesuaikan diri dengan cepat.

"Sudah tentu kita mengharapkan perlawanan terbabit atau baki kempen secara karnival itu dekat Thailand atau Vietnam saya rasa.

"Tetapi itu keputusan daripada AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) dan juga bergantung kepada Kerajaan juga, yang akan memberi kelonggaran kepada negara untuk datang jugak.

"Jadi memang kita rasa sangat mencabar kalau bermain di UAE dan itu akan jadi kelebihan buat pasukan UAE," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Rabu lalu, AFC mengesahkan Kelayakan Piala Dunia yang sepatutnya berlangsung bulan depan ditangguhkan kepada Jun ekoran penularan Covid-19 di kebanyakan negara Asia masih tidak reda, dan pintu sempadan beberapa negara juga masih ditutup untuk orang luar.

Harimau Malaya ketika pada posisi terbaik untuk melepasi Kumpulan G untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023 di China apabila kini menduduki tangga kedua dengan sembilan mata.

Malah, anak buah Cheng Hoe turut berpeluang mara ke peringkat ketiga Kelayakan Piala Dunia 2022 yang dijangka berlangsung pada hujung tahun ini untuk mencari empat wakil terbaik dari Asia beraksi di pusingan akhir tahun depan di Qatar.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2021 @ 12:05 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan