Khamis, 25 Februari 2021

Cheng Hoe lega saingan Liga M bermula 5 Mac

Februari 25, 2021 @ 8:48pm



Pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe. - Foto NSTP/Aziah Azmee.

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Tan Cheng Hoe kini mampu menarik nafas lega dengan keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk memulakan saingan Liga Malaysia (Liga M) 2021 pada 5 Mac ini.

Pengendali berusia 52 tahun itu menyifatkan situasi tersebut akan membantu pemain tampil lebih cergas sebelum menghadirkan diri ke kem latihan pusat skuad kebangsaan yang dijangka bermula 22 Mac.

"Jika liga ditangguhkan dan pemain yang terpilih terus sertai kem latihan, saya rasa sukar untuk menyediakan pemain dengan latihan yang bercorak taktikal, malah boleh mengundang kecederaan serius dalam kalangan pemain.

"Jika situasi itu terjadi, bukan sahaja skuad kebangsaan sahaja yang rugi tetapi kelab juga jika pemain cedera kerana latihan bercorak taktikal ini menuntut intensiti yang tinggi," katanya dalam kenyataan dikeluarkan MFL hari ini.

Pada masa sama, beliau menyambut baik keputusan MFL untuk tidak menangguhkan Liga M ke tarikh yang lain kerana ia membantunya menilai pemain-pemain yang mahu dipanggil ke kem latihan skuad Harimau Malaya.

Sementara itu, Cheng Hoe sedia membuka ruang sekiranya terdapat pemain yang menyerlah dalam lima perlawanan awal liga, namun semuanya bergantung terhadap kualiti dimiliki pemain berkenaan.

"Seperti biasa, kami akan memantau sebarang perkembangan terhadap mana-mana pemain walaupun saya rasakan kita tidak boleh menilai 100 peratus kualiti yang ada pemain tersebut dalam lima perlawanan sahaja.

"Kami akan dapatkan gambaran terhadap pemain yang perlu diserapkan dalam pasukan nanti serta menilai secara keseluruhan sebelum dipanggil sertai pasukan kebangsaan," katanya.

Berdasarkan kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), tempoh 22 hingga 30 Mac adalah ruang untuk pasukan negara mengadakan aksi persahabatan dan situasi itu mahu diambil skuad kebangsaan untuk mengadakan latihan pusat.

Kali terakhir pemain negara dapat berkumpul mengadakan latihan bersama ialah pada November 2019, dan mereka kini masih dalam misi untuk layak ke Piala Asia menjelang pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 yang akan diadakan secara karnival pada Jun ini.Liga M 2021 yang membuka tirai pada 5 Mac ini akan menyaksikan pertembungan antara juara Liga Super 2020, Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dalam perlawanan Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.SUMBER-BH ONLINE

Isnin, 22 Februari 2021

PESTABOLA MERDEKA 1977

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB



Pertandingan kali ke-21,Pestabola Merdeka menyaksikan penyertaan dua pasukan baru iaitu Iraq dan Libya. Kejohanan ini bermula pada 16 Julai dan berakhir pada 31 Julai 77. Saya menonton semua perlawanan di rumah Nenek Amran. Malaysia yang dilatih Karl Wiegang berjaya menewaskan Burma 1-0, menewaskan Thailand 3-0 , tetapi seri 1-1 dengan Korea Selatan dan Libya.
Dalam perlawanan terakhir Malaysia hanya
seri tanpa jaringan ketika menentang Iraq. Jadi Iraq layak ke perlawanan akhir bertemu Korea Selatan. Korea kembali muncul juara Pestabola Merdeka apabila menewaskan Iraq 1-0.

Ahad, 21 Februari 2021

Tiada halangan menaturalisasikan pemain - FAM

MyMetroArena



Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tiada halangan buat pasukan Liga Malaysia (Liga M) menaturalisasikan pemain yang dilihat memiliki potensi untuk diketengahkan.

Bagaimanapun, ia bukan satu lesen atau tiket automatik buat pemain terbabit untuk menyarung jersi skuad Harimau Malaya di mana keupayaan mereka akan dinilai terlebih dulu oleh Jawatankuasa Teknikal pasukan kebangsaan.

Menurut Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, hasrat pasukan Sri Pahang FC untuk menaturalisasikan dua pemainnya, Sergio Aguero dan Lee Tuck pada tahun depan dilihat cukup positif.

Jelas Yusoff yang juga Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi FAM, skuad Tok Gajah dilihat tidak berdepan masalah untuk melakukan proses berkenaan kerana pasukan itu sebelum ini mempunyai pengalaman ketika menaturalisasikan Mohamadou Sumareh pada 2018 lalu.

"Memangnya Pahang kalau kita tengok pemain naturalisasi pertama kita pun, Sumareh datang daripada Pahang dan bukan melalui FAM.

"Jadi maknanya Pahang sudah ada pengalaman untuk mendapatkan kelulusan pemain, jadi itu mungkin memberi idea kepada Pahang untuk menambah pemain naturalisasi kepada pasukan Pahang.

"Jadi pada kita tak menghalang untuk pasukan menaturalisasikan mana-mana pemain yang mereka fikir berpotensi untuk mewakili pasukan masing-masing.

"Tetapi untuk mewakili negara kita akan menilai prestasi pemain itu melalui Jawatankuasa Teknikal dan kalau dilihat sesuai kita akan panggil mereka untuk bermain dengan pasukan kebangsaan," katanya kepada Arena Metro.

Semalam, dilaporkan dua pemain import Sri Pahang dijangka memperkuatkan lagi skuad negara pada tahun depan apabila Aguero dan Tuck akan dinaturalisasikan pasukan itu.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Februari 2021 @ 9:43 PM

Sabtu, 20 Februari 2021

Cheng Hoe gusar cuaca panas melampau

MyMetroArena



Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Suhu cuaca panas melampau sehingga 43 darjah celsius bakal menjadi cabaran getir buat skuad Harimau Malaya pada bulan Jun ini sekiranya Emiriah Arab Bersatu (UAE) dipilih sebagai lokasi baki aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 nanti.

Berdasarkan semakan kaji cuaca pada Jun tahun lalu, 14 Jun 2020 pernah merekodkan suhu sepanas itu dengan 43 darjah celsius adalah catatan paling tinggi dengan hari-hari berikutnya dalam bulan Jun konsisten merekodkan 40 darjah celsius.

Lantas, situasi itu nyata tidak disenangi pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe yang mengakui secara peribadi lebih memilih Thailand ataupun Vietnam sebagai venue tuan rumah untuk menghabiskan baki perlawanan kelayakan itu.

Jelasnya, kelebihan cuaca panas itu akan memberi peluang buat UAE berbanding empat lagi pasukan iaitu Malaysia, Thailand, Vietnam dan Indonesia yang mungkin berdepan masalah sama.

"Kalau kita lihat perlawanan kelayakan ini jika bermain di UAE mungkin kita berdepan masalah yang besar kerana tahap kepanasan di sana bukan biasa-biasa, dan bukan mudah untuk mana-mana pemain menyesuaikan diri dengan cepat.

"Sudah tentu kita mengharapkan perlawanan terbabit atau baki kempen secara karnival itu dekat Thailand atau Vietnam saya rasa.

"Tetapi itu keputusan daripada AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) dan juga bergantung kepada Kerajaan juga, yang akan memberi kelonggaran kepada negara untuk datang jugak.

"Jadi memang kita rasa sangat mencabar kalau bermain di UAE dan itu akan jadi kelebihan buat pasukan UAE," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Rabu lalu, AFC mengesahkan Kelayakan Piala Dunia yang sepatutnya berlangsung bulan depan ditangguhkan kepada Jun ekoran penularan Covid-19 di kebanyakan negara Asia masih tidak reda, dan pintu sempadan beberapa negara juga masih ditutup untuk orang luar.

Harimau Malaya ketika pada posisi terbaik untuk melepasi Kumpulan G untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023 di China apabila kini menduduki tangga kedua dengan sembilan mata.

Malah, anak buah Cheng Hoe turut berpeluang mara ke peringkat ketiga Kelayakan Piala Dunia 2022 yang dijangka berlangsung pada hujung tahun ini untuk mencari empat wakil terbaik dari Asia beraksi di pusingan akhir tahun depan di Qatar.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2021 @ 12:05 AM

Jumaat, 19 Februari 2021

Tiada lagi isu pelepasan pemain

MyMetroTopic



Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya dijangka tidak berdepan masalah untuk mempersiapkan pasukan terbaik menjelang Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Jun depan apabila saingan Liga Malaysia (Liga M) bakal dihentikan seketika untuk memberi laluan kepada Tan Cheng Hoe.

Ini bermakna, barisan kejurulatihan kemungkinan tidak akan lagi berdepan dengan isu kebenaran pasukan untuk menghimpunkan pemain yang berlaku sebelum ini.

Jelas Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan, pihaknya sudah menyusun jadual Liga M terbaik dengan mengambil kira pandangan semua pihak.

Ia termasuk persiapan pasukan kebangsaan di mana beliau mengesahkan Liga M akan berehat seketika sepanjang bulan Jun bagi membolehkan Malaysia beraksi di pusingan kelayakan Piala Dunia itu yang dijangka berlangsung di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Katanya, Liga Super akan berehat manakala saingan Liga Perdana diteruskan kerana kebanyakan pemain kebangsaan bersaing di Liga Super.

"Akan rehat (Liga Super), mungkin ia akan membabitkan Liga Super sahaja kerana kebanyakan pemain negara dari Liga Super dan Liga Perdana akan jalan seperti biasa. Kita ada berbincang antara pengurusan kebangsaan dengan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) untuk menyusun liga, sebab kepentingan Liga M juga sama penting dengan pasukan kebangsaan kita," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Beliau berkata, jadual yang disusun turut memberi kelebihan buat tiga wakil negara yang akan beraksi di pentas Asia iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT) di Liga Juara-Juara Asia (ACL) serta Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Terengganu FC dalam Piala AFC.

"Begitu juga dengan JDT yang terbabit dengan ACL dan juga KDA FC dan Terengganu FC dalam Piala AFC, maka kita juga terpaksa menangguhkan sekejap Liga Super," katanya.

Berdasarkan jadual awal yang dikeluarkan AFC, kempen kelayakan Piala Dunia dan Piala AFC akan diadakan pada Jun dengan tarikh berbeza, sementara ACL pula bermula pada 21 April hingga 7 Mei ini.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2021 @ 5:50 PM

Harimau Malaya masih ada masa

 SUKAN



AKSI kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang ditunda ke Jun memberi kelegaan buat barisan pemain Harimau Malaya ketika ini kerana masih lagi bergelut dengan kecergasan.

Harimau Malaya masih ada masa

Oleh MUHAMAD ARDIE PUTRA SUHAIMI

19 Februari 2021, 11:10 am

KETUA jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe akhirnya menarik nafas lega selepas sai­ngan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 ditunda ke Jun dengan format secara karnival.

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) telah mengesahkan aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang sepatutnya dilangsungkan Mac depan ditunda ekoran pandemik Covid-19.

Berdasarkan laporan tersebut, kesemua wakil Kumpulan G termasuk Malaysia bersetuju dengan cadangan untuk menamatkan baki perlawanan secara karnival dengan status tuan rumah akan diumumkan kemudian.

Kata Cheng Hoe, keputusan itu sememangnya memberi ke­legaan buatnya memandangkan barisan pemain Harimau Malaya ketika ini masih lagi bergelut de­ngan kecergasan memandangkan sesi latihan intensif Liga Malaysia (Liga M) baru sahaja bersambung.

Seperti yang saya kata sebelum ini, kami memang mengharapkan agar saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 ditunda memandangkan pasukan masih belum berada dalam persiapan terbaik untuk bersaing secara kompetitif.

Justeru, keputusan AFC itu sememangnya memberi ke­legaan buat saya kerana selepas ini kami boleh melakukan persiapan rapi untuk mengharungi tiga perlawanan penting pada Jun depan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Mengulas lanjut, Cheng Hoe turut mengesahkan bahawa kem latihan pusat skuad Harimau Malaya akan tetap dilakukan pada Mac depan seiring dengan kalendar aksi antarabangsa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Pemain sudah lebih setahun tidak dikumpulkan bersama dan perancangan untuk mengadakan kem latihan pusat pada Mac akan diteruskan.

Meskipun saingan Liga M baru bermula (5 Mac), saya rasa pasukan tidak akan mempunyai masalah untuk melepaskan pemain kerana tarikh yang kita akan panggil itu termaktub dalam kalendar FIFA,” kata Cheng Hoe.

Skuad negara ketika ini menduduki tangga kedua Kumpulan G yang turut dihuni oleh negara Vietnam, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Thailand dan Indonesia selepas mengutip sembilan mata daripada lima perlawanan.SUMBER-SUKAN KOSMO ONLINE

Khamis, 18 Februari 2021

Lega aksi kelayakan ditunda

MyMetroArena



Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengesahan penundaan aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada bulan depan jelas melegakan pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe yang mengakui anak buahnya belum bersedia untuk menempuh baki aksi Kumpulan G itu.

Bagaimanapun, penundaan aksi itu tidak bermakna pemain negara akan 'bercuti' pada jendela aksi antarabangsa sebaliknya tempoh berkenaan akan dimanfaatkan sebaiknya untuk mengadakan latihan pusat selepas setahun lebih pasukan kebangsaan tidak berlatih bersama.

"Memang kita nak teruskan (latihan pusat Mac ini) kerana itu adalah kalendar FIFA dan Liga Malaysia (Liga-M) pun akan berhenti rehat seketika. Kita akan ambil peluang ini untuk buat latihan pasukan kebangsaan," katanya kepada Arena Metro, semalam.

Mengulas mengenai harapan untuk mengadakan aksi persahabatan bulan depan, beliau mengharapkan anak buahnya diberi lampu hijau oleh pihak berwajib.

"Berkenaan (aksi persahabatan) nanti kita akan bincang dengan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dan terpulang kepada MKN (Majlis Keselamatan Negara) untuk luluskan bagi mengadakan perlawanan persahabatan atau latihan dalam Malaysia tak ada masalah.

"Mungkin nak bawa pasukan (dari luar) atau nak keluar ada sikit kesukaran. Tetapi ia bergantung kepada FAM untuk berbincang secara terperinci tentang perlawanan persahabatan nanti," katanya.

Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengesahkan aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bulan depan ditunda kepada Jun ini ekoran isu Covid-19 yang menyebabkan kebanyakan negara masih menutup pintu sempadan.

Sementara itu, ditanya mengenai status penyerang muda negara di Belgium, Luqman Hakim Shamsudin adakah turut dipanggil untuk latihan pusat bulan depan, perkara itu akan dimuktamatkan selepas mengadakan perbincangan dengan KV Kortrijk dan FAM.

"Kalau kita berlatih untuk tempoh 10 hari atau dua minggu saja, mungkin ia akan mendatangkan kesukaran dari segi proses kuarantin buat Luqman. Jadi kita bincang dulu dan lihat bagaimana hasilnya," katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2021 @ 9:43 PM

Selasa, 16 Februari 2021

Harimau Malaya kena tunggu Khamis

Oleh Syafiq Aznan - Februari 16, 2021 @ 3:20pm

syafiq.aznan@bh.com.my



Skuad Harimau Malaya akan mengetahui baki aksi kempen Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Khamis ini.

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya tampak perlu menunggu dua hari lagi untuk mengetahui nasib mereka sama ada dapat menghabiskan baki kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 secara karnival ataupun tidak pada Jun depan.

Ini selepas Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) masih lagi sedang dalam perbincangan sebelum dapat membuat sebarang keputusan membabitkan perkara itu.

Meskipun ia sepatutnya ditentukan semalam, Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John menjelaskan keputusan hanya dapat dibuat pada Khamis ini selepas perbincangan bersama semua pasukan terbabit selesai dilakukan.

"Kita akan panggil semua pasukan yang bertanding pada esok (Selasa) dan Rabu untuk mengadakan perbincangan secara dalam talian. Ada yang sudah menghantar surat rasmi (mengenai penangguhan) tetapi ia tidak jelas.

DISYORKAN UNTUK ANDA

Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 ditangguhkan

FIFA tunda aksi kelayakan Piala Dunia

Cheng Hoe positif

Liridon layak wakil Malaysia - FIFA

"Jika tiada pergerakan selepas perbincangan diadakan dalam tempoh dua hari ini, maka AFC akan membuat keputusan sewajarnya pada Khamis nanti," katanya.

Terdahulu, badan induk itu memberi tempoh sehingga sehingga semalam untuk semua pasukan memuktamadkan pendirian berhubung jadual baki perlawanan Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.

Tarikh akhir itu juga ditetapkan AFC kepada semua 40 pasukan bertanding membabitkan lapan kumpulan dalam menentukan sama ada ingin meneruskan saingan pada jendela perlawanan antarabangsa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) Mac ini atau menunda ke Jun.

Sebagai rekod, semua empat negara dalam Kumpulan G iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sudah bersetuju untuk penangguhan ke Jun dengan Vietnam sahaja difahamkan masih belum ada kata putus mengenainya.

Malah, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang juga pengurus pasukan skuad kebangsaan, Datuk Mohd Yusoff Mahadi sebelum ini juga berharap AFC dapat bersetuju supaya baki saingan itu dalam dilangsungkan di UAE secara karnival pada Jun depan.SUMBER-SUKAN BH ONLINE

Sabtu, 13 Februari 2021

Tan Cheng Hoe, Aidil Zafuan Sambut Positif Berita Harimau Malaya Diberi Kebenaran Kembali Berlatih

 Football Association of Malaysia

20 Januari jam 12:01 PTG ·

Tan Cheng Hoe, Aidil Zafuan Sambut Positif Berita Harimau Malaya Diberi Kebenaran Kembali Berlatih



Ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe dan kapten Harimau Malaya, Aidil Zafuan Abd Radzak menyambut positif lampu hijau yang diberikan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican untuk membenarkan kem latihan pusat secara kuarantin diadakan sebagai persiapan menjelang dua aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Mac ini.

Menurut Cheng Hoe, perancangan rapi dan teliti perlu dilakukan segera oleh pihaknya dan juga Sekretariat Agung FAM bagi memastikan kem latihan pusat itu dapat dijalankan sebaik mungkin mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan untuk mengelak daripada berlakunya penyebaran pandemik COVID-19 dalam kalangan pemain dan pegawai pasukan.

"Sudah tentu selepas mendapat perkhabaran gembira ini, kami perlu segera membincangkan dengan lebih teliti terutama dari segi program latihan kerana kita secara umum sedar bahawa kes COVID-19 di negara ini ketika ini agak tinggi dan sudah tentu kita tidak mahu sesuatu berlaku kepada pemain dan pegawai kita.

"Apa pun, dengan kelonggaran untuk kem latihan pusat secara kuarantin ini dibenarkan untuk diadakan, ia sudah tentu memberi peluang kepada kita bagi mempersiapkan pasukan menjelang aksi Mac nanti dengan satu persediaan yang agak baik.

"Saya ucapkan terima kasih juga kepada Menteri Belia dan Sukan, YB Dato’ Sri Reezal Merican atas usaha dan bantuan berterusan yang telah beliau berikan," kata Cheng Hoe.

Sementara itu, Aidil Zafuan mewakili rakan-rakan sepasukannya yang lain berkata, peluang untuk kembali berkumpul dalam kem latihan pusat ini akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh mereka bagi meningkatkan kembali prestasi dan kombinasi pasukan bagi dua aksi penting menentang UAE dan Vietnam.

"Satu berita gembira kepada kami sebagai pemain apabila dapat kembali berlatih bersama selepas lebih setahun tidak dapat berkumpul. Ia satu perkembangan yang positif kepada pasukan dan peluang ini akan digunakan sebaik mungkin.

"Kita boleh lihat yang pasukan-pasukan lain yang satu kumpulan dengan Malaysia iaitu seperti UAE, Vietnam dan Thailand telah dapat berlatih lebih awal. Jika kita tak diberikan kebenaran berlatih, sudah tentu banyak yang kita akan tertinggal berbanding dengan lawan-lawan kita itu.

"Apa pun, berita ini sangat ditunggu-tunggu oleh kami sebagai pemain. Yang penting, kami dapat untuk kembali berlatih bersama," kata Aidil Zafuan.

Skuad Harimau Malaya dijadual menghadapi perlawanan keenam dan ketujuh Kumpulan G bagi Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu UAE pada 25 Mac 2021 di tempat lawan dan menentang Vietnam pada 30 Mac 2021 di gelanggang sendiri.

SUMBER#FAM #HarimauMalaya

Khamis, 11 Februari 2021

Kekal 5 Mac demi Harimau Malaya



Oleh Syafiq Aznan - Februari 11, 2021 @ 11:00pm

syafiq.aznan@bh.com.my

Pasukan Liga M setuju saingan bermula 5 Mac demi memastikan skuad Harimau Malaya dapat menjalani latihan cukup menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Pasukan Liga M setuju saingan bermula 5 Mac demi memastikan skuad Harimau Malaya dapat menjalani latihan cukup menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menegaskan penangguhan tidak dapat dilakukan sekali gus menyaksikan keputusan untuk meneruskan saingan Liga Malaysia (Liga M) pada 5 Mac ini perlu dilakukan demi kepentingan kelangsungan aksi domestik.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ab Ghani Hassan menjelaskan keputusan itu dicapai selepas mendapat pandangan dan persetujuan daripada rakan kongsi liga menerusi mesyuarat dalam talian bersama CEO pasukan, semalam.

Katanya, MFL selaku pengendali Liga M amat memahami kekangan setiap pasukan yang berdepan kesukaran untuk mengharungi persiapan musim baharu namun keputusan sepak mula pada 5 Mac adalah langkah terbaik khususnya kepada skuad kebangsaan dan survival industri bola sepak domestik.

"Ini adalah keputusan yang relevan dan ia mendapat sokongan daripada setiap wakil kelab ketika mesyuarat dalam talian bersama CEO pasukan semalam. Pasukan kebangsaan meminta untuk membuat persiapan akhir dan mengadakan kem latihan pusat pada bulan depan.

Pasukan Liga M kekal ditegah anjur aktiviti termasuk latihan

"Ini sangat penting memandangkan skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu sudah setahun tidak berlatih bersama.

"Perjuangan pasukan kebangsaan adalah agenda nasional di mana wakil kelab rasa bertanggungjawab dalam memastikan Harimau Malaya berada dalam landasan terbaik untuk mendapat slot automatik ke pentas Piala Asia 2023," katanya.

Pada masa sama, Ghani menjelaskan MFL komited untuk menamatkan kempen liga dengan perlawanan penuh membabitkan 22 perlawanan dan sudah pasti ada risiko sekiranya kalendar Liga M tidak dapat bermula seperi dirancang.

"Kami tidak mahu mengambil risiko yang akan memberi kesan kepada penajaan selain langkah mengurangkan perlawanan atau membatalkan kejohanan lain seperti Piala Malaysia atau Piala Cabaran terpaksa diambil jika kalendar Liga M bermula lebih lambat.

"Selain faktor cuti perayaan umum, tarikh kejohanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) membabitkan Johor Darul Ta'zim (JDT) serta aksi AFC membabitkan Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Terengganu FC (TFC) turut diambil kira.

"Jadi sukar untuk MFL menunda lagi tarikh sepak mula Liga M 2021 kerana ia jelas akan menjejaskan perjalanan kalendar pertandingan musim ini. Kami akan berusaha untuk memastikan perjalanan kalendar Liga M berjalan lancar terutama dalam pandemik COVID-19," katanya.SUMBER-SUKAN BH ONLINE

Hamidin kekal Presiden FAM

MyMetroTopic



Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seperti dijangka, Datuk Hamidin Mohd Amin menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas tempoh pencalonan pemilihan Kongres FAM Ke-57 ditutup petang tadi.

Menurut sumber boleh dipercayai, Hamidin tidak dicabar oleh sesiapa dan ini bermakna beliau akan kekal di Wisma FAM di Kelana Jaya bagi penggal kedua selepas turut menang tanpa bertanding pada edisi lalu.

"Untuk makluman, Datuk Hamidin menang tanpa bertanding," kata sumber itu kepada Arena Metro.

Kemenangan Hamidin yang juga Presiden FAM ketujuh itu sememangnya sudah diduga sejak awal selepas mengambil kira beberapa perubahan yang berjaya dibawa olehnya sejak dilantik pada 2018 lalu.

Malah, pelantikan beliau sebelum ini turut mencipta sejarah tersendiri menjadi individu pertama dari kalangan orang biasa bergelar Presiden selepas enam Presiden terdahulu terdiri daripada Perdana Menteri, Menteri Kabinet serta Kerabat Diraja.

Sebaik meminpin badan induk itu tiga tahun lalu, Hamidin tidak menunggu lama untuk merangka pelan revolusi apabila memperkenalkan Peta Hala Tuju FAM atau F:30 di mana skuad Harimau Malaya disasarkan untuk berada dalam lima kelompok pasukan terbaik di Asia menjelang 2030.

Selain itu, langkah berani beliau membuka pintu buat pemain dari luar negara untuk dinaturalisasikan sebagai pelan jangka pendek turut membuahkan hasil apabila kehadiran mereka nyata membawa impak segera kepada pasukan kebangsaan.

Jelas sumber sama, Datuk Yusoff Mahadi juga berjaya mempertahankan kerusinya apabila menang tanpa bertanding. Untuk rekod, pemilihan Kongres FAM Ke-57 akan dilangsung pada 13 Mac depan.Sebanyak 17 kerusi bakal menjadi rebutan bagi pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM untuk penggal baharu 2021-2025.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2021 @ 9:35 PM

Isnin, 8 Februari 2021

Harimau Malaya intai Ramadhan

MyMetroUtama



Oleh Syazwan Msar

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Selepas lebih setahun tidak beraksi, skuad Harimau Malaya jelas mahu memberi nafas baharu apabila menyenaraikan tonggak muda Johor Darul Ta'zim (JDT), Ramadhan Saifullah Usman menyertai kem latihan sebagai persediaan aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 kelak.

Ini bermakna jika Ramadhan disenaraikan dalam skuad akhir, Harimau Malaya memiliki banyak pilihan termasuk tidak lagi bergantung kepada 'kuda tua' di bahagian serangan dengan gandingan mantap ubi muda diketuai penyerang bawah 19 tahun negara, Luqman Hakim Shamsuddin dan Ramadhan yang mampu mengucar-kacirkan kubu lawan.

Pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, Ramadhan antara muka baharu yang dipanggil menyertai kem latihan skuad Harimau Malaya dalam usaha menguatkan lagi bahagian serangan pasukan.

Beliau berkata, keputusan menyenaraikan Ramadhan dalam skuad terakhir Harimau Malaya ditentukan pengendali pasukan, Tan Cheng Hoe jika beliau berpuas hati dengan persembahan dipamerkan pemain berusia 20 tahun itu.

"Antara muka baharu yang dipanggil menyertai kem latihan adalah Ramadhan berdasarkan prestasi semasa bersama JDT sebelum ini.

"Keputusan ditentukan Cheng Hoe nanti untuk menggunakan khidmat pemain berkenaan atau sebaliknya mengikut kesesuaian pasukan," katanya.

Sebelum ini, Cheng Hoe jelas terpikat dengan aksi bertenaga bintang baharu JDT itu dan berhasrat menyenaraikannya dalam skuad kebangsaan.

Ramadhan yang mencetak dua gol ketika membantu JDT membenam Selangor 6-1 dalam aksi Liga Super musim lalu mempamerkan permainan menakjubkan termasuk menjaringkan gol lencong berkualiti pada perlawanan itu.

Katanya, pemain sayap berusia 20 tahun itu mempunyai ciri menyerang yang diinginkan dan sudah tentu jika dia mampu mengekalkan konsistensinya akan memiliki masa depan cerah.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Februari 2021 @ 6:40 AM