Isnin, 29 September 2014

Dollah pening pilih 22 pemain terbaik

WARTAWAN SINAR HARIAN
26 September 2014
Aksi Safiq Rahim ketika perlawanan persahabatan menentang Terengganu.
Aksi Safiq Rahim ketika perlawanan persahabatan menentang Terengganu. Aksi Safiq Rahim ketika perlawanan persahabatan menentang Terengganu.

MESKIPUN sudah mempunyai bayangan 22 pemain bagi menyarung jersi kebangsaan, namun pengendalinya, Dollah Salleh belum bersedia mengumumkan senarai skuad Harimau Malaya sehingga 6 Oktober.

Menurutnya, keputusan itu dibuat setelah mendapati ramai dalam kalangan pemain yang diturunkan pada aksi perlawanan amal bertemu Terengganu kelmarin, mempamerkan prestasi luar biasa dalam merebut slot skuad kebangsaan menghadapi Piala Suzuki AFF 2014 di Singapura November depan.

“Walaupun keadaan ini sedikit memeningkan saya, tetapi saya lihat ia satu petanda positif buat pasukan apabila rata-rata pemain berjaya membuktikan kebolehan sebenar.

“Kalau di bahagian serangan, saya tidak mempunyai masalah kerana kita sudah kenal pasti siapa mereka, tetapi kita berkemungkinan akan membuat sedikit rombakan di bahagian tengah kerana saya lihat hampir kesemua pemain di posisi ini mampu beraksi dengan baik,” katanya ketika ditemui sejurus tamat perlawanan itu.

Mengulas perlawanan amal itu, bekas ketua jurulatih Pahang itu mengakui kehadiran skuad kebangsaan ke Terengganu tidak sia-sia apabila berjaya menguji kesemua pemainnya sepanjang permainan berlangsung.

“Secara keseluruhannya selepas kita mengharungi tiga perlawanan ketika bertemu Indonesia, Kemboja dan Terengganu, saya cukup berpuas hati dengan prestasi pemain.

“Jadi selepas kita mengumumkan 22 pemain itu nanti, barulah saya akan terus memberi perhatian terhadap skuad Harimau Malaya termasuk menetapkan formasi pasukan,” katanya.

Pada perlawanan amal itu, skuad Harimau Malaya terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Safiq Rahim pada minit ke-31 hasil lorongan cantik Joseph Kalang Tie.

Empat minit berselang, skuad bimbingan Dollah Salleh berjaya melebarkan kedudukan menerusi gol kedua hasil jaringan benteng pertahanan, Mohd Azmi Muslim.

Begitu pun kem tuan rumah memberi tentangan sengit merapatkan jurang gol melalui sepakan penalti yang disempurnakan dengan kemas Ismail Faruqi pada minit ke-38 dan Mohd Ashaari Shamsuddin menceriakan penyokong Terengganu apabila menjaringkan gol penyamaan lima minit selepas itu (minit 43).

Selang dua minit, Mohd Faiz Subri kembali menggamatkan stadium setelah membawa Terengganu di depan dengan gol ketiga.

Namun kegembiraan tuan rumah tidak kekal lama apabila pasukan kedua Dollah Salleh mengikat kedudukan menerusi Mohd Badri Radzi pada minit ke-54, manakala penyerang kelahiran Terengganu, Abdul Manaf Mamat menghadiahkan gol kemenangan Harimau Malaya empat minit selepas itu.


Sumber-Sinar Harian online 26.9.14

Tiada ulasan:

Catat Ulasan