30 Oktober 2014 2:05 AM
Tengku Abdullah Sultan Ahmad
Shah sempat menunjukkan skil bermain bola kepada wartawan sewaktu meninjau
keadaan padang Stadium Nasional di Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam. –
utusan/Nasirruddin Yazid
KUALA LUMPUR – Dollah Salleh
terpaksa berdepan dengan apa yang dikhuatirinya sebelum ini, iaitu pasukannya
terpaksa bermain di padang tiruan Stadium Jalan Besar dalam Kejohanan AFF di
Singapura bulan depan.
Singapura selaku tuan rumah
telah menetapkan dua perlawanan awal Kumpulan B iaitu menentang Myanmar (23
November) dan Thailand (26 November) yang akan dilalui Harimau Malaya bakal
dilangsungkan di Stadium Jalan Besar.
Skuad dibimbing Dollah itu hanya
akan bermain di atas rumput sebenar apabila bertemu tuan rumah dalam perlawanan
terakhir peringkat kumpulan pada 29 November di Stadium Nasional.
Setiausaha Agung Persatuan Bola
Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, pihaknya telah dua kali
membuat rayuan agar lokasi perlawanan ditetapkan di Stadium Nasional sahaja
namun Konfederasi Bola Sepak ASEAN (AFF) mendapati mutu padang di Stadium
Nasional tidak berada pada tahap terbaik untuk dilangsungkan dua perlawanan
secara berturut-turut dalam hari yang sama di situ.
“Pihak FAS telah memberikan
maklum balas bahawa padang (Stadium Nasional) tidak berada dalam keadaan
terbaik bagi memberi laluan kepada dua perlawanan secara berturut-turut dalam
satu hari selain kemudahan tempat latihan yang belum bersedia,” katanya selepas
sidang akhbar mesyuarat Jawatakankuasa Pengelola Perlawanan Akhir Piala
Malaysia 2014 semalam.
Ini menjadikan aksi skuad
negara yang dijadualkan pada 5 petang ketika berdepan Myanmar dan Thailand di
Stadium Nasional terpaksa diubah ke Stadium Jalan Besar.
“Kami telah mengemukakan dua
rayuan kepada Persatuan Bola Sepak ASEAN dan Persatuan Bola Sepak Singapura
(FAS) supaya mengkaji balik perubahan venue pertandingan.
“Namun, setelah berbincang
dengan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, kita terpaksa akur
bermain di Stadium Jalan Besar semasa menentang Myanmar dan Thailand.
Situasi itu menyebabkan skuad
Harimau Malaya membuat perubahan drastik dengan mengadakan latihan di atas
padang sintetik sebagai tujuan penyesuaian apabila beraksi di Jalan Besar.
“Kami terpaksa berlatih di
Bukit Jalil untuk tempoh seminggu terakhir, kami masih ada pilihan untuk
mengadakan latihan di Kluang, Johor yang turut mempunyai kemudahan padang
sintetik.
“Perubahan venue ini bukan satu
tamparan besar kepada persiapan Harimau Malaya memandangkan Dollah masih boleh
menerima kerana kita bukannya menentang Singapura di Jalan Besar.
“Kita sebenarnya boleh ambil
kelebihan di sini kerana saya difahamkan Myanmar tiada padang sintetik. Thailand
ada padang tiruan namun para pemain kita selalu bermain di Jalan Besar dalam
saingan Liga Malaysia, jadi di situ kita ambil kesempatan.
“Walaupun beraksi di Jalan
Besar akan mengurangkan jumlah penonton Harimau Malaya kerana kapisiti stadium
yang kecil namun kita sudah tiada pilihan lain,” katanya.
Selain itu, Hamidin tidak
menolak kemungkinan aksi persahabatan Harimau Malaya berdepan Syria yang
dijadualkan pada 12 November bakal diadakan di Johor bagi menyelaraskan tempoh
latihan dari 3 hingga 9 November.
“Saya tidak tolak kemungkinan
itu (Harimau Malaya bermain di Johor) namun kita kena nyatakan dahulu kepada
Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
“Bermain di Johor akan
mendekatkan penyokong Johor dengan pasukan Harimau Malaya supaya mereka ada
keghairahan untuk ke Singapura bagi memberikan sokongan semasa Kejohanan AFF
berlangsung,” katanya.
SUMBER-UTUSAN MALAYSIA ONLINE 30.10.14
Tiada ulasan:
Catat Ulasan