Ahad, 14 September 2014

Harimau dicakar Garuda

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
 
Shukor Adan (kiri) diberi kepercayaan oleh Dollah Salleh untuk memikul tanggungjawab sebagai ketua pasukan dalam perlawanan persahabatan dengan Indonesia di Surabaya semalam.
Advertisement

KUALA LUMPUR - Sentuhan Dollah Salleh bersama skuad Harimau Malaya belum menjadi apabila skuad kendaliannya tewas 0-2 di tangan seteru utama Indonesia dalam perlawanan persahabatan di Stadium Delta Sidoarjo semalam.

Berjaya bertahan dengan baik pada separuh masa pertama, langkah longlai mula dipamerkan anak-anak buah Dollah di babak kedua dengan posisi Bunyamin Umar di sebelah bek kanan banyak membuka ruang kepada skuad Garuda melancarkan serangan.

Dua jaringan Indonesia diperoleh pada minit ke-64 melalui jaringan sendiri Mohd. Muslim Ahmad yang tertampan ke dalam gawang sendiri sebelum Samsul Arif menggandakan kelebihan buat Indonesia pada minit ke-89.

Ini adalah kekalahan kedua berturut-turut buat Dollah sejak mengambil alih skuad kebangsaan pada 28 Jun lalu. Skuadnya tewas 1-4 kepada Tajikistan pada 8 Ogos lalu.

Seperti yang dijanjikan Dollah banyak memberi peluang kepada muka-muka baharu dengan meletakkan kepercayaan kepada Shukor Adan selaku ketua pasukan sementara Azizon Abdul Kadir sebagai penjaga gol.

Dollah melakukan kombinasi 5-3-2 dengan meletakkan Muslim, Afif Amiruddin, Shukor selain Azmi Muslim dan Bunyamin di bahagian pertahanan manakala Norshahrul Idlan Talaha serta Amri Yahyah mengetuai serangan.

Taktikal yang direncanakan Dollah itu banyak memberikan ruang kepada Indonesia yang banyak menguasai bahagian tengah namun Ahmad Ezrie Shafizie yang pertama kali merasai aksi bersama skuad kebangsaan sesekali turut merencanakan beberapa gerakan berhampiran pintu gol tuan rumah.

Kegagalan Bunyamin mengawal gerakan Rizky Pora membuka ruang kepada pemain dari kelab Barito Putera itu melakukan hantaran lintang yang mengenai Muslim sebelum bola menuju ke penjuru pintu gol dan gagal diselamatkan oleh Azizon.

Biarpun Dollah memasukkan Baddrol Bakhtiar, S. Kunanlan dan Safiq Rahim di babak kedua tetapi tidak mampu mengubah nasib Harimau Malaya di hadapan kira-kira 40,000 penyokong setia Garuda apabila gawang mereka bocor sekali lagi berpunca gerakan dari sebelah kanan.

Melalui hantaran lambung Tony Sucipto, bola tepat ke kepala Samsul yang melakukan tandukan terbang bagi memastikan kemenangan mutlak milik Garuda.

Kemboja bakal menjadi ujian ketiga buat Dollah sebelum pemain dilepaskan pulang bersama pasukan masing-masing bagi menghadapi suku akhir Piala Malaysia sebelum kembali berkumpul untuk berdepan Jordan pada 11 Oktober di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Sumber-

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140915/su_01/Harimau-dicakar-Garuda#ixzz3DKpnLjvN © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan