Ahad, 14 September 2014

Padah benteng 'tidur'

Incheon, Korea Selatan: Tiada tanda positif pasukan Harimau Muda kendalian Datuk Ong Kim Swee mampu melangkah lebih jauh pada temasya Sukan Asia Incheon selepas kecundang 0-3 kepada tuan rumah Korea Selatan di Stadium Munhak, semalam.

Perlawanan pertama dalam Kumpulan A itu menyaksikan tuan rumah, yang diperkuat tiga pemain Piala Dunia, menguasai sepenuh permainan dengan 64 peratus pegangan bola dan membenarkan Malaysia hanya tiga percubaan dengan dua daripadanya tepat.Korea membuka tirai jaringan menerusi tandukan Rim Chang Woo pada minit ke-27 sebelum penyerang Piala Dunia, Kim Shin Wook menambah gol kedua pada minit ke-78 dan Kim Seung Dae empat minit kemudian.

Namun, di sebalik kekalahan itu, Kim Swee masih menaruh harapan anak buahnya mampu mengatasi Laos dan Arab Saudi, dua lagi pasukan dalam kumpulan itu, bagi memastikan tempat ke pusingan kedua.
Foto
PEMAIN negara, Nor Farhan (dua dari kanan) dikawal ketat pemain Korea Selatan.
Malaysia akan bertemu Laos, yang ditundukkan Arab Saudi 3-0 semalam, pada perlawanan kedua Rabu ini manakala pertemuan dengan Arab Saudi diadakan pada 21 September ini."Kami dihukum kerana kelalaian di benteng pertahanan. Menentang pasukan hebat seperti Korea Selatan, anda tidak boleh melakukan kesilapan yang memberi ruang kepada mereka.

“Jelas mereka jauh lebih baik berbanding kami tapi saya harap pemain akan bangkit selepas ini bagi memastikan kemenangan ke atas Laos dan menghidupkan peluang kami ke pusingan seterusnya,” jelas Kim Swee.Kim Swee, yang gagal mengemudi skuad negara mempertahankan pingat emas Sukan SEA Myanmar tahun lalu, berasa masih ada peluang buat skuad negara meloloskan diri daripada kumpulan itu sekiranya mengutip mata penuh menentang Laos dan Arab Saudi.

Sementara itu, jurulatih Korea Selatan, Lee Kwang Jong lebih berdiplomatik apabila menganggap persembahan pasukan Malaysia lebih kurang sama dengan Arab Saudi tetapi mengakui pemainnya belum cukup persefahaman pada perlawanan pertama semalam.
Sumber-

Artikel ini disiarkan MYMETRO pada : 2014/09/15

Tiada ulasan:

Catat Ulasan