Oleh Aziman Rosdi
Surabaya: Tiada layanan kelas pertama buat skuad Harimau Malaya yang tiba di Surabaya, Indonesia semalam apabila sesi latihan mereka diadakan dalam stadium gelap.
Skuad kendalian Dollah Salleh mengadakan sesi latihan pertama di sebelah petang di Stadium Gelora Delta Sidoarjo, namun ia tidak seperti diharapkan menjelang aksi persahabatan dengan Indonesia jam 6 petang waktu Malaysia esok.Sesi latihan yang sepatutnya diadakan pada jam 6 petang (waktu Malaysia) semalam dilewatkan setengah jam atas permintaan jurulatih Indonesia Alfred Riedl sebelum lampu stadium pula secara tiba-tiba terpadam beberapa minit ketika sesi latihan diadakan, seolah-olah ada unsur sabotaj.
Bagaimanapun Dollah tetap tenang kerana beliau dan anak buahnya bersedia dengan segala tekanan.
LATIHAN skuad negara lewat setengah jam dari waktu asal.
“Mereka mahu mengadakan latihan lebih hari ini (semalam) dan kami berlatih agak lewat. Saya sudah biasa dan ia bukan satu masalah,” katanya.Bagaimanapun di sebalik ketenangan itu terbit kegusaran di hati pengendali berusia 51 tahun itu apabila pemain pertahanan tengah, Mohd Muslim Ahmad mengalami kecederaan otot.
“Saya sebenarnya mahu melihat keadaan Muslim pada sesi latihan ini. Saya harap kecederaannya tidak serius.
“Saya mahu menggunakan tiga pemain pertahanan tengah dan jika dia tidak cergas saya masih mempunyai Ronny Harun sebagai pengganti,” kata Dollah.
Ketika ditanya mengenai kekuatan Indonesia Dollah berkata: “Saya tidak mempunyai banyak maklumat mengenai pasukan Indonesia, tapi kami sudah bersedia untuk memberi tentangan.”
Aksi menentang skuad Garuda perlawanan kedua kendalian Dollah selepas dilantik jurulatih, menggantikan Datuk K Rajagobal pada 1 Julai lalu.
Sebelum ini anak buahnya tewas 1-4 di tangan Tajikistan pada perlawanan persahabatan sebagai persiapan ke Piala AFF pada November.
Sumber-MYMETRO ONLINE 13.9.14
Tiada ulasan:
Catat Ulasan