Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
Pemain negara, Mohd. Safee Sali
(tengah) diasak oleh pemain Filipina, Robert James Gier (bawah) semasa
perlawanan persahabatan antara Malaysia dan Filipina di Stadium Selayang,
semalam. - MINGGUAN/MOHD NAJIB MOHD NOR
SELAYANG - Bukan aksi
perlawanan menarik yang dipamerkan oleh Harimau Malaya ketika menentang
Filipina dalam perlawanan persahabatan menjadi perhatian sebaliknya insiden
balingan mercun dan pembakaran suar menjadi topik perbualan utama di Stadium
Selayang, semalam.
Segalanya terjadi pada minit
ke-31 selepas para penyokong Ultras Malaya secara tiba-tiba membakar suar dan
mercun sekali gus memaksa permainan dihentikan selama lapan minit sebelum
diteruskan.
Apa yang dilakukan oleh para
penyokong Ultras sebagai tanda protes 30 tahun pemerintahan Presiden Persatuan
Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah itu bagaikan menjadi punca kepada
skuad Harimau Malaya yang seperti kehilangan momentum biarpun mencipta gerakan
bertali arus sebelum insiden berkenaan.
Dalam perlawanan itu, walaupun
diberikan deretan peluang dan menghiburkan, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee
itu terpaksa menelan kepahitan dengan keputusan seri tanpa jaringan.
Tuah jelas tidak menyebelahi
Harimau Malaya apabila bola singgah dua kali mengenai palang dan sekali pada
tiang selain jaringan Amirizdwan Taj Tajudin dibatalkan pada minit ke-11 ekoran
penjaga garisan menyangkakan bola mengenai tangan pertahanan Angkatan Tentera
Malaysia (ATM) itu.
Empat minit kemudian, tandukan
Mohd. Aidil Zafuan Adha pula gagal menemui sasaran dengan menuju ke bucu pintu
gol sebelum kehampaan para penyokong semakin memuncak selang seminit kemudian
apabila tandukan Safiq Rahim dihalang palang sekali lagi melalui hantaran
silang Mohd. Nazrin Nawi.
Saat paling mengecewakan
apabila bola rembatan Amri Yahyah yang berada keseorangan di dalam kotak
penalti hasil hantaran menarik Mohd. Hafiz Kamal pada minit ke-19 sekadar
mengenai tiang gol biarpun penjaga gol, Patrick Phillip Deyto sudah tertewas.
Walaupun begitu, terdapat satu
perkara yang boleh dipuji iaitu corak hantaran pendek dan permainan pantas yang
dipamerkan menunjukkan terdapat ada peningkatan teknikal pada skuad Harimau
Malaya kali ini kecuali sentuhan penyudah.
Biarpun tidak lulus dengan
cemerlang pada ujian pertama, Kim Swee berasakan para pemain telah menerima
corak latihannya dengan baik di samping mengakui pembakaran suar yang dibuat
ultras merencat mood anak-anak buahnya.
Kita mencipta banyak peluang
tetapi dihampakan oleh sentuhan penyudah terutama pada babak pertama, mereka
kena ambil ini sebagai pengajaran.
Cuma situasi yang berlaku
pada minit ke-30 itu benar-benar mengganggu rentak para pemain saya apabila
permainan tergendala dan kita kembali sukar mendapatkan rentak selepas situasi
berkenaan.
Saya tidak memikirkan
sebarang kekalahan dalam perlawanan ini dan gembira kerana semua pemain dapat
menerima corak latihan yang saya mahukan," katanya pada sidang akhbar,
semalam.
Sementara itu, jurulatih
Filipina, Thomas Dooey, berpendapat skuadnya layak diberikan sepakan penalti
pada minit ke-90 apabila Jason De Jong dijatuhkan Asraruddin Putra Omar dan
memenangi perlawanan tersebut.
Sepatutnya kami boleh
diberikan penalti, insiden itu amat jelas namun keputusan pengadil tidak
menyebalahi kami, perkara ini sering terjadi dalam bola sepak," katanya.
SUMBER:
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140302/su_01/Lapan-minit-memalukan#ixzz2uktw16Z6
© Utusan Melayu (M) Bhd