MyMetroArena
Syafiq Aznan
syafiq.aznan@nstp.com.my
PENGGEMPUR berbisa skuad Bawah 16 tahun negara (B-16), Luqman Hakim Shamsudin berdepan misi serampang dua mata pada kempen Kejuaraan B-16 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018.
Empat jaringan yang disumbangkannya ketika membenam Tajikistan 6-2 pada aksi pembukaan Kumpulan A di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam nyata terus membakar semangatnya untuk terus merobek gawang lawan yang bakal dihadapi selepas ini.
Bukan setakat memburu gelaran penjaring terbanyak namun dia akan terus berusaha keras bagi merealisasikan misi Malaysia ke Piala Dunia Bawah 17 tahun (B-17) yang akan berlangsung di Peru, tahun hadapan.
“Ini kali pertama saya menjaringkan empat gol dalam satu perlawanan. Ini sudah tentu memberikan motivasi untuk saya hadapi perlawanan seterusnya.
“Saya mahukan gelaran Kasut Emas dan bukan itu sahaja, saya mahu Malaysia layak ke Piala Dunia B-17. Saya akan memberikan yang terbaik untuk memenuhi impian ini.
“Meskipun meledak empat gol tetapi saya tidak boleh berpuas hati. Saya perlu bekerja keras untuk terus kekal membarisi kesebelasan utama,” katanya.
Pada aksi semalam, Luqman membuktikan betapa dia adalah bintang dalam pembikinan dan bakal menjadi tonggak penting buat skuad negara apabila meledak empat gol masing masing pada minit ke-30, minit ke-42, minit ke-46 dan minit ke-67.
Selepas mengutip tiga mata pertama, skuad bimbingan Lim Teong Kim itu akan berdepan jaguh Asia Tenggara, Thailand pada Ahad ini sebelum menutup kempen bertemu juara dua kali, Jepun pada Rabu depan.
Mengulas mengenai aksi bertemu skuad Gajah Perang itu, Luqman menjangkakan aksi yang berbeza akan dihadapi oleh rakan sepasukannya.
“Thailand sebuah pasukan yang baik dan sudah tentu mereka akan memberikan tentangan yang lebih sengit,” katanya.
Kejuaraan B-16 AFC 2018 menawarkan empat slot ke Piala B-17 2019 di mana empat pasukan terbaik akan mara ke saingan berprestij itu sebagai wakil AFC.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 September 2018 @ 5:53 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan