Khamis, 30 Januari 2020

'Elak episod hitam 2015 berulang'

MyMetroArena
 
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

TINDAKAN terdesak Emiriah Arab Bersatu (UAE) mendapatkan khidmat tiga tonggak dari Amerika Latin yang didaftarkan sebagai pemain naturalisasi perlu diambil serius skuad Harimau Malaya bagi mengelak malapetaka 2015 berulang.

Malaysia yang akan bertandang ke gelanggang lawan bagi menghadapi aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada 26 Mac depan pernah dimalukan tuan rumah dengan kekalahan besar 0-10 lima tahun lalu.

Walaupun sejarah hitam itu sudah lama berlalu, keghairahan UAE mendapatkan trio naturalisasi itu dilihat bakal membawa ujian getir kepada pasukan negara yang turut mengidamkan sekurang-kurangnya satu mata dalam pertemuan itu.

Bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh berkata, pengendali negara Tan Cheng Hoe perlu menggunakan tempoh dua bulan ini dengan sebaik-baiknya bagi merangka strategi terbaik buat pasukan.

“Saya kira tindakan UAE itu (ambil pemain naturalisasi) boleh disifatkan sebagai pelan kecemasan kerana negara mereka juga tidak mempunyai jumlah penduduk yang ramai.

“Kita perlu akui pemilihan tiga pemain itu sudah tentunya akan memberi kelebihan kepada UAE apabila berdepan Malaysia kelak.

“Mahu tidak mahu, Malaysia kena gunakan tempoh persiapan ini bagi mencari formula terbaik menghalang mereka. Kita tak boleh kalah lagi macam 2015 dan saya pasti Cheng Hoe sedar situasi itu,” katanya.

Semalam Arena Metro melaporkan Cheng Hoe mengakui mula merasai bahang pertemuan dengan UAE apabila negara Asia Barat itu merekrut tiga pemain naturalisasi.

Berdasarkan kedudukan dalam Kumpulan G, UAE berada di tangga keempat daripada lima pasukan dengan enam mata, manakala Malaysia di tempat kedua dengan sembilan mata.

Kemenangan ke atas skuad negara sememangnya amat ditagih skuad The Whites bagi memperbaiki kedudukan mereka dalam kumpulan itu.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 January 2020 @ 6:20 AM

Selasa, 28 Januari 2020

Olimpik 2000:

1 Jamsari bin Sabian, 2 Azairuddin bin Abdul Aziz, 3 Kamarulzaman Hassan, 4 Jaya Prekash a/l Supramaniam, 5 Gopalan a/l Mujappan, 6 Khairun Haled bin Masrom, 7 Azlan bin Hussain, 8 Yuzalman bin Zahari, 9 Johnny Joseph, 10 Hairuddin bin Omar, 11 Gilbert Cassedy anak Gawing, 12 Azmir Nor Hakim bin Burhan, 13 Das bin Gregory Kolopas, 14 Chan Wing Hoong, 15 Roslie bin Md Derus, 16 Chia Cheng Kar, 17 Tengku Hazman bin Raja Hassan, 18 Nik Ahmad Fadly bin Nik Leh, 19 Kamarulzaman bin Yub Abdul Majid, 20 Eddy Helmi bin Abd Manan, 21 Chow Chee Weng, 22 Saravanan s/o Vellu, 23 Mohd Nafuzi bin Muhammad Zain, 24 Muhammad Khalid bin Jamlus, 25 Lim Chan Yew, *M. Elangoo, *Redzuan Khan Ahmad.[1]



[1] https://malaysiafootball-dimos.blogspot.com/search/label/Liga%20Malaysia%201998

Luqman intai Kasut emas

MyMetroArena
 
Syafiq Aznan
syafiq.aznan@nstp.com.my
PENGGEMPUR berbisa skuad Bawah 16 tahun negara (B-16), Luqman Hakim Shamsudin berdepan misi serampang dua mata pada kempen Kejuaraan B-16 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018.

Empat jaringan yang disumbangkannya ketika membenam Tajikistan 6-2 pada  aksi pembukaan Kumpulan A di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam nyata terus membakar semangatnya untuk terus merobek gawang lawan yang bakal dihadapi selepas ini.

Bukan setakat memburu gelaran penjaring terbanyak namun dia akan terus berusaha keras bagi merealisasikan misi Malaysia ke Piala Dunia Bawah 17 tahun (B-17) yang akan berlangsung di Peru, tahun hadapan.

“Ini kali pertama saya menjaringkan empat gol dalam satu perlawanan. Ini sudah tentu memberikan motivasi untuk saya hadapi perlawanan seterusnya.

“Saya mahukan gelaran Kasut Emas dan bukan itu sahaja, saya mahu Malaysia layak ke Piala Dunia B-17. Saya akan memberikan yang terbaik untuk memenuhi impian ini.

“Meskipun meledak empat gol tetapi saya tidak boleh berpuas hati. Saya perlu bekerja keras untuk terus kekal membarisi kesebelasan utama,” katanya.

Pada aksi semalam, Luqman membuktikan betapa dia adalah bintang dalam pembikinan dan bakal menjadi tonggak penting buat skuad negara apabila meledak empat gol masing masing pada minit ke-30, minit ke-42, minit ke-46 dan minit ke-67.

Selepas mengutip tiga mata pertama, skuad bimbingan Lim Teong Kim itu akan berdepan jaguh Asia Tenggara, Thailand pada Ahad ini sebelum menutup kempen bertemu juara dua kali, Jepun pada Rabu depan.

Mengulas mengenai aksi bertemu skuad Gajah Perang itu, Luqman menjangkakan aksi yang berbeza akan dihadapi oleh rakan sepasukannya.

“Thailand sebuah pasukan yang baik dan sudah tentu mereka akan memberikan tentangan yang lebih sengit,” katanya.

Kejuaraan B-16 AFC 2018 menawarkan empat slot ke Piala B-17 2019 di mana empat pasukan terbaik akan mara ke saingan berprestij itu sebagai wakil AFC.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 September 2018 @ 5:53 PM

Tajikistan tak sangka terkena


MyMetroArena

Syafiq Aznan
syafiq.aznan@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Skuad bawah 16 tahun (B-16) Tajikistan mendapat pengajaran berguna pada Kejuaraan B-16 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018 selepas ‘ditaji’ Malaysia 6-2 pada aksi pertama Kumpulan A di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Namun, jurulatihnya, Rakhimov Zaynidin mengakui dia terkejut apabila melihat anak buahnya dibelasah oleh tuan rumah yang menyaksikan tiga gol diledak anak buah Lim Teong Kim pada babak setiap babak.

Tajikistan hanya memperolehi gol menerusi dua sepakan penalti yang disempurnakan Rahmatov Sharifbek (m72) dan Zairov Islom (m90+1).

“Saya tidak menjangkakan kekalahan dengan jurang begitu besar seperti ini. Barisan pertahanan kami berdepan masalah besar apabila gagal beraksi seperti yang dimahukan.

“Kami juga tidak menjangkakan pemain nombor 10 (Luqman Hakim Shamsudin) beraksi dengan baik sehingga dia menjaringkan empat gol bertemu Tajikistan.

“Namun, ini memberi pengajaran kepada kami dan kami akan bangkit dengan persembahan lebih kemas selepas ini,” kata Rakhimov.

Selepas ini, skuad Singa Persia akan bertemu Jepun pada Ahad sebelum menutup aksi peringkat kumpulan bertemu Thailand, Rabu depan.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 September 2018 @ 9:59 PM

Teong Kim tak gentar


MyMetroArena
 
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my

TUGAS sukar menanti pengendali skuad bawah 16 tahun (B-16) negara, Lim Teong Kim dalam Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) apabila skuad bimbingannya diundi dalam Kumpulan A bersama bekas juara dua kali, Jepun, Thailand dan Tajikistan.

Kejohanan yang akan berlangsung di Kuala Lumpur dari 20 September hingga 10 Oktober ini turut menyaksikan juara bertahan Iraq berada dalam kumpulan maut apabila diletakkan bersama Korea Selatan, Australia dan Afghanistan dalam Kumpulan D.

Manakala bekas juara 2014, Korea Utara pula dihimpunkan dalam Kumpulan B dengan tiga pasukan 'Pak Arab' iaitu Oman, Yaman dan Jordan sementara Iran, Vietnam, India dan Indonesia bersaing di Kumpulan C.

Mengulas lanjut mengenai undian yang berlangsung di AFC House di sini hari ini, Teong Kim mengakui cabaran getir bakal ditempuhi anak buahnya sepanjang kejohanan itu dengan beliau diberi sasaran wajib untuk membawa pasukan layak ke Piala Dunia Remaja B-17 di Peru tahun depan.

Bagaimanapun, bekas pengendali akademi Kelab Bayern Munich di Jerman itu tetap percaya mereka mampu melepasi halangan itu sekali gus merealisasikan impian jutaan peminat tempatan untuk melihat Malaysia beraksi di pentas Piala Dunia.

"Menyertai Piala Dunia B-17 adalah matlamat utama kami sejak empat tahun lalu.

"Walaupun ada Jepun dalam kumpulan kita, saya anggap ia bukan suatu masalah kerana kita benar-benar sudah bersedia untuk menghadapi saingan ini.

"Saya tak boleh nak pilih lawan sebab ia diputuskan menerusi sistem undian. Semua pasukan yang bertanding kuat dan peluang untuk kita (melepasi peringkat kumpulan) tetap ada," katanya yang mengakui tidak mempunyai banyak maklumat mengenai pasukan Tajikistan.

Sebanyak 16 pasukan akan berentap untuk mengejar gelaran juara dengan empat pasukan terbaik akan meraih slot automatik ke Piala Dunia.

Pencapaian terbaik skuad negara pada 2014 di Bangkok di mana skuad kendalian S Balachandran ketika itu hampir melakar sejarah layak ke Piala Dunia sebelum tumbang 1-2 kepada Australia di suku akhir.

"Kita mempunyai kelebihan cukup besar kerana akan bermain di tempat sendiri serta sudah biasa dengan cuaca berbanding Jepun dan Tajikistan yang sejuk," katanya yang mempertaruhkan 100 peratus pemain dari Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP).

Info

Kumpulan A: MALAYSIA, Jepun, Thailand, Tajikistan

Kumpulan B: Korea Utara, Oman, Yaman, Jordan

Kumpulan C: Iran, Vietnam, India, Indonesia

Kumpulan D: Iraq, Korea Selatan, Australia, Afghanistan

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 April 2018 @ 12:03 AM


Berakhir sudah


MyMetroNode
 
Oleh Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kempen skuad bawah 16 tahun negara (B-16) di Kejohanan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) berakhir selepas tewas kali kedua dalam saingan kumpulan C yang berlangsung di Stadium Pandit Jawaharlal Nehru, Goa, India malam tadi.

Anak didik P Somasundram tewas 0-3 kepada gergasi Asia, Korea Selatan selepas sebelum itu turut tumbang dengan jaringan sama kepada Oman pada aksi pembukaan dan seri 1-1 ketika bertemu Iraq.

Dengan keputusan itu, menyaksikan 'anak Harimau Malaysia' sekadar menghuni tangga keempat kumpulan dengan mengumpul satu mata sekali gus gagal mengulangi pencapaian dua musim lalu di mana Malaysia melangkah hingga ke peringkat suku akhir saingan.

Gol pasukan Korea Selatan disumbangkan Park Jeong In pada minit keempat buat mengejutkan kem negara sebelum Cheon Seong Hoon (m-14) dan Ko Jun Hee (m-84) melengkapkan kemenangan bergaya ke atas skuad negara.

Bagaimanapun, hajat Korea Selatan untuk beraksi di pusingan berikutnya turut berkubur apabila menamatkan kedudukan di tempat ketiga di belakang Iraq dan Oman yang seri 1-1 dalam satu lagi aksi yang berjalan serentak malam tadi.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2016 @ 1:46 AM


UAE 'kecut' jumpa Harimau Malaya

MyMetroArena
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

SKUAD kebangsaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dilihat cukup terdesak menjelang pertemuan menentang Malaysia dalam aksi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Al Maktoum, Dubai, 26 Mac ini.

UAE yang kini menduduki tangga keempat daripada lima pasukan dalam Kumpulan G dengan enam mata terpaksa 'mengimport' tiga penyerang baharu dari Amerika Latin bagi menguatkan jentera serangan pasukan itu.

Kredibiliti trio naturalisasi baharu negara teluk itu sememangnya cukup gah terutama Sebastian Lucas Taglibue yang kini muncul antara penyerang terbaik Liga Pro UAE apabila tonggak dari Argentina itu sudah merekodkan 146 gol sepanjang tujuh musim bersama kelab Al-Wahda.

Malah, ketajaman dua lagi ayam tambatan dari Brazil iaitu Caio Canedo Correa yang beraksi buat Al-Ain FC dan Fabio Virginio de Lima bersama Al-Wasl FC bakal memberi igauan ngeri buat skuad Harimau Malaya apabila bertandang ke Dubai nanti.

Pengendali negara, Tan Cheng Hoe yang dihubungi Arena Metro mengakui sudah merasai bahang aksi itu meskipun ia hanya akan berlangsung 58 hari lagi.

Menurut jurulatih yang berasal dari Kedah itu, beliau serta barisan kejurulatihan sudah melakukan 'kerja rumah' awal dengan menganalisis dan memantau aksi ketiga-tiga pemain naturalisasi itu ketika ini.

"Kita tahu sekarang ini UAE berada dalam keadaan terdesak untuk mendapatkan kemenangan sebab itu mereka ambil tiga pemain naturalisasi. Memang kita dah tengok dalam liga itu (Liga Pro UAE) ketiga-tiganya ada kekuatan mereka di bahagian serangan. Jadi memang (kehadiran) mereka ini memang memberi banyak kelebihan dan kekuatan dan juga keyakinan kepada pasukan UAE,” katanya.

"Apapun, kita tetap ada persiapan terbaik dan akan gunakan sebaiknya tempoh masa yang ada sebelum berdepan UAE," katanya yang akan menempuh aksi persahabatan menentang Bahrain pada 21 Mac di Stadium Khalifa Sports City, di Bahrain.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 January 2020 @ 10:41 PM

Pencapaian skuad B-23 negara di Sukan SEA sejak 2001 sehingga 2013


OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
2001 Pingat perak
2003 Pingat gangsa
2005 Pingat gangsa
2007 Tiada pingat (peringkat kumpulan)
2009 Pingat emas
2011 Pingat emas
2013 Tiada pingat (tempat keempat).[1]


[1]

Jumaat, 10 Januari 2020

Pengganti Kim Swee Mac ini


Simpan Artikel
MyMetroArena
 
BERNAMA
PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) dijangka mengumumkan pelantikan ketua jurulatih skuad Bawah 22 Tahun (B-22) yang baharu dua bulan lagi.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam memaklumkan, setakat ini badan induk itu menerima 12 permohonan termasuk empat jurulatih asing yang berminat untuk mengisi jawatan itu.

Beliau berkata, jawatankuasa pengurusan pasukan kebangsaan yang dipengerusikan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin akan bersidang pada awal Mac ini bagi menilai semua calon sebelum menamakan individu yang layak.

“Kami tidak terburu-buru untuk pelantikan segera memandangkan tiada sebarang kejohanan untuk skuad itu tahun ini. Petunjuk Utama Prestasi (KPI) dan beberapa perkara lain yang perlu dicapai oleh calon itu akan diputuskan kemudian,” katanya ketika ditemui Bernama di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.

FAM sebelum ini memutuskan untuk tidak menyambung kontrak Datuk Ong Kim Swee sebagai pengendali skuad B-22 negara susulan prestasi hambar yang ditampilkan pada Sukan SEA Filipina 2019, bulan lalu.

Malaysia gagal melepasi peringkat kumpulan selain diaibkan dengan kekalahan 1-3 kepada pasukan kerdil, Kemboja pada aksi pusingan awal temasya sukan dwitahunan itu.

Dalam pada itu, Stuart mengesahkan badan induk itu sedang memuktamadkan pelantikan Kim Swee sebagai Ketua Unit Pembangunan Belia FAM, susulan pengalaman luas yang dimiliki pengendali kelahiran Melaka itu dalam bola sepak belia di negara ini.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 January 2020 @ 11:23 PM