MyMetroArena
Devinder Singh
devinder@nstp.com.my
AKSI persahabatan bertemu Mongolia minggu depan akan memberi signifikan berbeza buat skuad kebangsaan susulan ranking terburuk Harimau Malaysia dalam sejarah bola sepak negara.
Berdasarkan senarai ranking yang dikeluarkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) hari ini, skuad negara jatuh tiga anak tangga ke-178 selepas gagal meraih sebarang kemenangan dalam 10 perlawanan sejak November 2016.
Jurulatih baharu, Tan Cheng Hoe kini berdepan tekanan untuk kembali memperaga kebangkitan selepas menggantikan Nelo Vingada yang meletakkan jawatan apabila gagal meraih sebarang kemenangan dalam tujuh perlawanan.
Kedudukan Mongolia yang berada di ranking ke-189 akan memberi peluang kepada Cheng Hoe untuk memulakan kendaliannya dengan langkah kanan meskipun sedar kemenangan tidak akan hadir dengan mudah.
“Kita tiada pilihan selain menang untuk mengembalikan keyakinan pasukan dan juga penyokong.
“Kami akan menurunkan barisan terbaik. Kami tidak memandang rendah Mongolia yang sudah pasti juga mahu meraih kemenangan,” katanya.
Skuad negara akan bertemu Mongolia di Stadium Bukit Jalil, 22 Mac ini, jam 8.45 malam.
Malaysia yang menghuni ranking kelapan Asia Tenggara sebelum ini menghuni tangga ke-175 sepanjang dua bulan lalu sebelum dipintas St Lucia, Kosovo dan Belize, dengan kemenangan terakhir skuad negara diraih ketika menewaskan Kemboja 3-2 pada aksi Piala AFF 2016.
Bagaimanapun, Cheng Hoe enggan terlalu memikirkan mengenai ranking skuad negara dan kini meletakkan fokus terhadap 29 pemain yang akan diturunkan bagi aksi bertemu Mongolia serta perlawanan Kelayakan Piala Asia 2019 menentang Lubnan.
“Saya memanggil 29 pemain untuk menilai semuanya pada sesi latihan kerana bukan semua boleh beraksi menentang Mongolia,” katanya merujuk kepada hanya enam pemain simpanan dibenarkan bagi aksi persahabatan Kelas A.
“Selepas aksi bertemu Mongolia, saya akan menggugurkan lima pemain kerana hanya 24 pemain yang akan dibawa ke Beirut.
Vietnam kekal selaku negara terbaik Asia Tenggara dengan kedudukan ke-113 diikuti Filipina (122), Thailand (129), Myanmar (142), Indonesia (162) serta Kemboja dan Singapura masing-masing di tangga ke-171.
SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Mac 2018 @ 7:38 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan