Jumaat, 17 Mei 2019

Faisal teruja, janji yang terbaik


Jumaat, 17 Mei 2019 | 12:23pm
 
FAISAL Abdul Halim
Faisal teruja, janji yang terbaik
Oleh Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my

KUANTAN: Faisal Abdul Halim mengakui terkejut apabila namanya disenaraikan untuk menyarung jersi skuad Harimau Malaya bagi menghadapi playoff Kelayakan Piala Dunia 2022 menentang Timor Leste, pada 7 dan 11 Jun ini.

Pemain tengah Pahang itu berkata, dia tidak menjangkakan Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe menyenaraikannya dalam skuad dianggotai 26 pemain itu.

"Pada mulanya, saya tidak percaya apabila (Mohamadou) Sumareh menghubungi dan mengucapkan tahniah kerana terpilih mewakili Harimau Malaya... kapten kami, Matthew Davies juga memberikan kata semangat sebaik mengetahui saya dipilih dan dia meminta saya menggunakan peluang ini sebaik mungkin kerana lebih banyak pengalaman boleh diperoleh sebaik menyertai dan beraksi bersama skuad senior.

"Walaupun pada awalnya saya anggap berita daripada mereka berdua hanyalah gurauan, namun selepas mendapat pengesahan mengenai berita itu, saya rasa sangat bertuah dan ini juga adalah satu isyarat untuk bekerja lebih keras bagi membalas kepercayaan diberikan coach, Tan Cheng Hoe," katanya.

Faisal atau turut dikenali dengan panggilan Mickey juga berterima kasih kepada jurulatih Pahang, Dollah Salleh yang selalu memberikan peluang kepadanya memperbaiki corak permainan dan memilihnya beraksi dalam kesebelasan utama pasukan.

Selain  Faisal, empat lagi pemain Pahang turut disenaraikan untuk mewakili Harimau Malaya antaranya Davies, Sumareh, Nor Azam Azih dan Norshahrul Idlan Talaha.

Dalam saingan Liga Malaysia musim ini, pemain kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu sudah menjaringkan tiga gol iaitu dua di Piala FA dan Liga Super (satu).

Ditanya perlawanan antara Pahang dengan Perak Ahad ini, Faisal berkata, skuad Tok Gajah perlu mencatatkan kemenangan selepas semakin jauh ditinggalkan pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT).

"Kami tidak boleh kehilangan mata lagi jika mahu merapatkan jurang mata dengan Harimau Selatan," katanya.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Jumaat, 17 Mei 2019 | 12:23pm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan