Rabu, 24 April 2019

Lee Tuck dalam barisan bayangan Cheng Hoe


25 April 2019 6:33 AM
 
PARIT 24 April – Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe sudah mempunyai barisan ba­yangan yang bakal beraksi dalam pusingan kelayakan pertama Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Jun ini, dan nama Lee Tuck berada dalam perancangannya.

Cheng Hoe tidak menolak kemungkinan menggunakan khidmat arkitek Terengganu FC itu yang sedang menyiapkan segala dokumen berkaitan proses naturalisasinya.


Selain bintang kelahiran England berusia 31 tahun itu, empat pemain yang hampir pasti berada dalam kesebelasan utama adalah Syahmi Safari (Selangor) dan trio Johor Darul Ta’zim (JDT) Akhyar Rashid, Safawi Rasid serta Syamer Kutty Abba.

“Lee Tuck bermain dengan begitu baik dan mempunyai ciri-ciri sebagai pemain kebangsaan.

“Harap dia boleh mendapatkan pasport Malaysia secepat mungkin supaya kita boleh daftarkan untuk (bersama) pasukan Malaysia dalam kelayakan Piala Dunia nanti,” katanya selepas menghadiri Klinik Permainan Bola Sepak di Sekolah Menengah Lambor Kiri dekat sini, hari ini.

Seramai 250 pelajar sekolah dari daerah Perak Tengah menyertai klinik tersebut yang julung kali disertai jurulatih kebangsaan itu bersama penolong jurulatih, S. Balachandran dan jurulatih penjaga gol, Azmin Azram Abdul Aziz.

Kata Cheng Hoe lagi, sehingga kini pihaknya belum memanggil mana-mana pemain namun sentiasa memantau prestasi mereka sebelum memulakan latihan pada 27 Mei.

Katanya, senarai kesebelasan utama dijangka diputuskan selepas aksi persahabatan menentang Pakistan, Nepal atau Bangladesh pada 2 Jun depan.

“Kami masih memantau pemain yang akan diserapkan dan berharap pemain tidak keletihan dan mengalami kecederaan yang sedikit merisaukan saya,” kata­nya. – BERNAMA-sumber um online 25 April 2019 6:33 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan