Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: Jangan ambil mudah
ketika berdepan kelompok pasukan tercorot dalam ranking Persekutuan Bolasepak
Antarabangsa (FIFA) kerana ia boleh memakan diri.
Demikian peringatan bekas pemain
kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli buat skuad kendalian Tan Cheng Hoe apabila
dijadual mengharungi pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2022 pada awal Jun
ini, ketika umat Islam masih rancak meraikan Aidilfitri.
Berdasarkan ranking terkini FIFA,
Malaysia yang menghuni tangga ke-168 dunia dan ke-35 zon Asia terpaksa menempuh
pusingan awal itu dengan kemungkinan bakal menentang negara yang langsung tidak
memiliki liga profesional seperti Bangladesh, Guam, Brunei, Timor Leste,
Pakistan dan Sri Lanka.
Akmal yang pernah berkelana di
Perancis dengan beraksi bersama kelab RC Strasbourg dan FCSR Haguenau mahu
pemain negara fokus dan tidak mendabik dada menjelang aksi timbal balik itu
nanti.
Katanya, tragedi 1997 ketika
skuad negara tewas mengejut 0-1 kepada Laos pada saingan Sukan SEA di Jakarta
harus dijadikan pengajaran supaya insiden sama tidak berulang pada kempen
kelayakan Piala Dunia ini.
“Tidak kira siapa lawan kita
nanti, pemain tidak harus mengambil ringan sebaliknya perlu fokus walaupun
kekuatan pihak lawan mungkin jauh ketinggalan daripada kita,” katanya ketika
dihubungi, semalam.
Berdasarkan undian yang akan
dijalankan di ibu pejabat Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Bukit Jalil hari
ini, peluang skuad negara untuk mara ke pusingan berikutnya tampak cerah
apabila diletakkan dalam balang satu (ranking 35-40 zon Asia) bersama Kemboja,
Macau, Laos, Bhutan dan Mongolia.
Manakala, balang dua pula
(ranking 41-46 zon Asia) diisi Bangladesh, Guam, Brunei, Timor Leste, Pakistan
dan Sri Lanka yang hanya bermain bola sepak secara separuh masa berbanding
skuad Harimau Malaya yang dibarisi pemain profesional bergaji lumayan dalam
Liga Malaysia.
“Kalau dilihat atas kertas, kita
seharusnya tidak mempunyai masalah besar untuk melepasi playoff ini kerana
tahap kita jauh lebih baik daripada pasukan berkenaan.
“Tetapi macam saya katakan tadi,
dalam bola sepak apa-apa boleh terjadi dan ia dibuktikan apabila ada pasukan
besar pernah tewas di tangan pasukan kerdil ekoran mengambil sikap mudah.
“Namun saya percaya Cheng Hoe
pasti akan mengingatkan anak buahnya dan cuba mencari kemenangan pada aksi itu
nanti,” katanya.
SUMBERArtikel ini disiarkan pada
: Rabu, 17 April 2019 @ 8:30 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan