Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
PEMAIN UAE, Mohamed Ahmad
(kiri) menewaskan Mohd, Afif Amiruddin (tiga dari kiri) dan Zamir Selamat (dua
dari kiri) untuk menjaringkan gol ketujuh semasa UAE menentang Malaysia di
Stadium Mohammed Bin Zayed, Abu Dhabi kelmarin. Pada perlawanan itu, Malaysia
tewas 10-0.
KUALA LUMPUR – Bekas pemain
kebangsaan, Datuk Namat Abdullah menyifatkan bola sepak Malaysia mengalami
malapetaka terburuk dalam sejarah negara selepas Harimau Malaya diaibkan dengan
kekalahan 10-0 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Abu Dhabi, UAE kelmarin.
Pada aksi kelayakan Piala Dunia
2018 dan Piala Asia 2019 itu, pasukan bimbingan Dollah Salleh mengejutkan ramai
pihak apabila sebahagian besar pemerhati bola sepak juga tidak dapat menerima
keputusan tersebut.
Lebih memalukan, Dollah telah
menggunakan ketiga-tiga penjaga gol iaitu Khairul Fahmi Che Mat, Khairul Azhan
Khalid dan Zamir Selamat sebagai pemain gantian tetapi malangnya, taktik
tersebut tetap tidak berjaya mengekang gawang negara yang menyaksikan mereka
dibolosi tujuh gol pada aksi separuh masa pertama.
Mengulas lanjut, Namat
mendedahkan kekalahan itu akan menjadi satu sejarah hitam dalam bola sepak
negara dan beliau menganggap ia berpunca daripada para pemain dan bukannya
jurulatih.
“Jika kita ambil contoh situasi
sekarang, saya fikir jurulatih asing pun tidak mampu menyelamatkan bola sepak
kita jika berdasarkan kepada pemain-pemain yang sedia ada.
“Bukan mahu merendahkan
kemampuan pemain tempatan tetapi keputusan tersebut (10-0) menunjukkan bahawa
kita masih lemah dan tidak memiliki ramai pemain berkualiti untuk bertanding
di peringkat antarabangsa.
“Jurulatih memberi arahan dan
pemain-pemain yang melaksanakan tugas. Mungkin mereka terlalu fokus kepada
persaingan Liga Super atau Piala Malaysia berbanding memikirkan aksi bersama
pasukan kebangsaan.
“Apa yang pasti, ini
menunjukkan kita sebenarnya tiada pemain-pemain kerana kita sendiri saksikan
Dollah telah menggunakan pemain-pemain yang sama sejak (menjuarai Piala AFF
Suzuki) 2010 lalu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0905&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz3ks8nb5Rf
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan