Jumaat, 4 September 2015

‘Ini bukan pasukan sekolah’

‘Ini bukan pasukan sekolah’Oleh MUHAMMAD RIDUAN MOHD. HANAFIAH
 
WAN JAMAK berpendapat skuad senior negara perlu dirombak secara menyeluruh.

“INI bukan pasukan bola sepak sekolah, ini skuad negara.” Demikian tegas bekas pengendali pasukan bola sepak kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan ekoran kekalahan terburuk pernah direkodkan Harimau Malaya dalam sejarah bola sepak negara.

Kelmarin, skuad Harimau Malaya dibelasah 10-0 oleh Emiriyah Arab Bersatu pada aksi kelayakan peringkat Kumpulan A kempen kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 di Stadium Mohammed Bin Zayed, Abu Dhabi, kelmarin.

Jelasnya, zaman dulu, semangat pemain negara cukup tinggi dan jika tidak terpilih, pemain akan menangis dalam bilik persalinan.

“Apa lagi yang saya boleh katakan. Inilah realiti bola sepak negara dan kekalahan 10-0 adalah sesuatu yang paling teruk terjadi dalam sejarah bola sepak Malaysia. Inikah hasil daripada program pembangunan yang dirancang selama ini?

“Saya tidak tahu dari mana datangnya punca kekalahan ini. Adakah UAE terlalu kuat atau pemain-pemain kita yang bermasalah? Bila dilihat dalam perlawanan Liga Malaysia, pemain-pemain kita sangat hebat tetapi bila dipanggil untuk beraksi bersama skuad kebangsaan, satu gerakan menarik pun tak nampak,” kata Wan Jamak ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Tambahnya, satu perjumpaan tergempar perlu dilakukan bagi memperbetulkan keadaan pasukan negara yang dilihat sangat ke­tinggalan jauh berbanding pasukan-pasukan lain di rantau ini.

“Satu bedah siasat perlu dilakukan dengan segera bagi menyiasat punca kekalahan tersebut. Jurulatih jangan cepat melen­ting apabila ditegur, malah kita hanya beri pandangan. 10-0 bukan hal kecil tetapi melibat maruah Malaysia.

“Beri peluang kepada pemain-pemain muda untuk beraksi. Rombak skuad sedia ada. Bagi saya, skuad senior dilihat tidak berupaya dan buat apa nak simpan pemain se­perti ini. Saya lihat ramai lagi pemain skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan kendalian Datuk Ong Kim Swee dan jurulatih skuad Bawah 22 Tahun (B-22) negara yang dibimbing Razip Ismail yang berpotensi dan harus diberi peluang,” tambahnya lagi.

Menurutnya, ketika ini moral pasukan negara terjejas teruk dan Malaysia dijadualkan menentang Arab Saudi pada aksi keempat peringkat Kumpulan A di Stadium Shah Alam pada 8 September ini.

“Moral pemain sangat tertekan dan pihak FAM ingin mengambil jurulatih dari luar dan saya fikir mereka pun takut untuk mengambil tanggungjawab ini,” katanya.

Pada perlawanan di Abu Dhabi kelmarin, UAE nyata mendominasi perlawanan pada babak pertama dengan menghasilkan tujuh gol melalui Mohanad Salem sebelum Ali Makhbout menggandakan kedudukan, selang enam minit kemudian tangkapan kurang kemas penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat terus menghukum pasukan negara untuk UAE menambah dua lagi gol menerusi Ahmed Khalil (minit ke-23) dan dua minit kemudian oleh Habib Al-Fardan.

Kemasukan penjaga gol Perak, Zamir Selamat selepas itu turut gagal membendung pintu gol negara daripada terus dibolosi menerusi sentuhan penyudah Ahmed Khalil pada minit ke-29, Ali Makhbout (m-33) dan Mohamed Gharib (m-39).

Bersambung babak kedua perlawanan, skuad kendalian Dollah masih gagal untuk menembusi kekebalan benteng pertahanan UAE yang diketuai Mohanad Salem sebelum Ahmed Khalil mencipta hatrik selepas menjaringkan gol ketiga pada minit ke-70 untuk menewaskan penjaga gol gantian kedua Malaysia, Mohd. Khairul Azhan Mohd. Khalid.

Ali Makhbout turut mencipta hatrik pada minit ke-75 menerusi percubaan menarik dari luar kotak penalti sebelum Ahmed Khalil mengesahkan kemenangan besar UAE menerusi gol ke-10, selang dua minit kemudian dan keputusan berkenaan kekal sehingga tamat perlawanan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0905&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz3kog1RytQ Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan