Sabtu, 5 September 2015

Harimau Malaya sudah jahanam, tukar nama jadi Sotong Malaya


Oleh ASAN AHMAD
 
PEMAIN Harimau Malaya (jersi biru) diperbudak-budakkan oleh UEA pada aksi kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 di Abu Dhabi kelmarin yang berkesudahan skuad negara dibelasah 10-0.

TERUS terang saya katakan, bola sepak Malaysia sudah jahanam. Satu Malaysia malu, kecewa dan geram ekoran kekalahan 0-10 kepada Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada aksi kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 di Stadium Mohamed Zayed, Abu Dhabi kelmarin.

Rakyat marah kerana mereka sayangkan bola sepak negara.

Laman sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram menjadi medan untuk melepaskan geram ekoran kekalahan memalukan itu.

Mereka mahu melihat bola sepak yang berkualiti seperti mana yang pernah dipamerkan wira-wira negara pada tahun 1970-an dan 1980-an dulu.

Kekalahan 10-0 merupakan rekod terburuk pernah dicatat oleh skuad bola sepak kebangsaan yang kali terakhir dibelasah teruk 8-2 oleh Eintracht Frankfurt pada kejohanan Merlion Cup 1985.

Nak kata pemain negara tak pandai bermain bola sepak susah juga.

Mereka bergelumang dengan bola sepak sepanjang tahun, malah sudah bergelar pemain profesional dalam Liga Malaysia.

Malangnya, status profesional yang mereka pegang itu tidak ubah seperti budak yang baru belajar bermain bola sepak.

Tak tahu siapa yang harus dipersalahkan ekoran prestasi mengecewakan daripada barisan pemain negara ini, yang terus menerus tampil dengan aksi longlai pada saingan di pentas antarabangsa.

Entah apa yang mereka pelajari ketika beraksi dengan pasukan masing-masing dalam saingan liga domestik.

Nama yang diberikan memang gagah dan garang iaitu Harimau Malaya tetapi kegarangan macam sikap harimau tiada langsung.

Harimau sebenarnya melambangkan keberanian serta memiliki kekuatan untuk meratah mangsa, tetapi Harimau Malaya tidak segagah yang dijangka.

Harimau Malaya sangat lembik dan mengecewakan.

Justeru, saya cadangkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) agar nama HARIMAU itu ditukar kepada KELDAI MALAYA atau SOTONG MALAYA, bersesuaian dengan rentak longlai yang dipamerkan skuad negara di pentas antarabangsa.

Sejak kebelakangan ini, bukan setakat skuad senior sahaja yang mengecewakan, skuad muda yang diberi jolokan Harimau Muda C juga sudah mula me­langkah ke arah kemerosotan.

Pada Selasa lalu, Harimau Muda C dibelasah 5-0 oleh skuad bawah 19 tahun Thailand pada aksi separuh akhir kempen Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) dan ia petanda buruk tentang masa depan bola sepak Malaysia.

Berbalik kepada aksi Harimau Malaya ketika menentang UAE kelmarin, barisan pemain negara terlalu lembik dan mudah hilang punca.

Masalah utama mereka adalah tidak mampu untuk membaca strategi permainan pasukan lawan.

Rentak permainan mereka tiada haluan dan setiap posisi terlalu mudah dibolosi pemain lawan.

Terus terang saya katakan bahawa pemain bola sepak di Malaysia tidak memiliki karakter sebagai thinking footballer yang mampu mengubah rentak permainan ketika berada dalam situasi tertekan.

Bila UAE mengamalkan corak hantaran bola tinggi, pemain kita pula tidak tahu formasi apa yang perlu dipakai untuk menyainginya.

Mereka terus mengamalkan corak permainan biasa yang langsung tidak mengundang bahaya kepada pasukan lawan.

Percaturan yang digunapakai oleh jurulatih Dollah Salleh pada perlawanan tersebut juga tidak membawa sebarang perubahan, malah telah memberi banyak ruang kepada pasukan lawan untuk mengatur gerak.

Maka, tidak hairanlah kenapa UAE berjaya menjaringkan sepuluh gol pada perlawanan tersebut kerana mereka diberi banyak ruang untuk melancarkan asakan.

Kekalahan itu juga membuktikan bahawa bola sepak ‘buatan’ Dollah masih belum mencapai tahap yang boleh bersaing di peringkat antarabangsa walaupun dia sudah melakar nama sebagai antara jurulatih yang berjaya dalam saingan liga domestik.

Paling mengecewakan adalah tentang persiapan Malaysia menghadapi kejohanan besar ini.

Lawan mereka bukan calang-calang pasukan, tetapi buat persiapan hanya tiga hari, jadi bagaimana nak bentuk skuad yang mantap dan berdaya saing?

Bangladesh pun terlalu payah untuk dijinakkan apabila sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam minggu lalu.

Jika beginilah trend bola sepak Malaysia, pemain tempatan mungkin sudah hilang selera untuk mewakili skuad kebangsaan pada masa akan datang kerana mereka sudah tidak mampu lagi untuk menanggung malu.

Pelaburan untuk membentuk skuad yang mantap nampak sia-sia sahaja kerana hasilnya sangat mengecewakan.

Kalau nak cakap pasal pembangunan, memang macam-macam bentuk yang diperkenalkan.

Program Mencari Ramli, program One Touch Football dan macam-macam lagi yang dianjurkan dengan kerjasama syarikat swasta tetapi hasilnya tiada kecuali untuk tujuan komersial pihak ter­tentu. Ramli yang dicari entah ke mana dan One Touch pula pun sama.

Kalau Harimau Malaya nak pulihkan keyakinan peminat, saya cabar mereka belasah Arab Saudi 10-0 pada aksi keempat kempen kelayakan itu minggu depan di Shah Alam.

sumberArtikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0905&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz3kr3Esqq0 Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan