Sabtu, 5 September 2015

Kami layak ‘dibelasah’

Dollah tidak patut dipersalahkan sepenuhnya
06 September 2015 12:41 AM
Kelana Jaya 5 September 2015 - Penjaga Gol Harimau Malaya, Khairul
Kelana Jaya 5 September 2015 - Penjaga Gol Harimau Malaya, Khairul Fahmy Che Mat diberi peluang mengendali gawang Harimau Malaya semasa Sesi latihan Skuad Harimau Malaya yang dikendalikan oleh Jurulatih sementara, Datuk Ong Kim Swee di Wisma FAM , di sini hari ini. Gambar : MOHD AZIM ABD RAHMAN / PEMBERITA : ZAZALI (SUKAN UTUSAN) & FAZLI (SUKAN KOSMO)
Oleh ZAZALI JAMIANsukan@utusan.com.my
PETALING JAYA
Penjaga gol skuad Harimau Malaya, Khairul Fahmi Che Mat yang melepaskan empat gol ketika Malaysia dibelasah 10-0 oleh Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Khamis lalu me­ngakui, dia dan rakan-rakan sepasukan memang berhak dikritik ekoran kekalahan memalukan itu.
Katanya, kekalahan di Abu Dhabi dalam kela­yakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 pasti meninggalkan kesan mendalam terhadap setiap pemain Harimau Malaya, namun mereka tidak boleh terus meratapi­nya kerana pasukan masih mempunyai banyak tugas penting untuk digalas, terutama menentang Arab Saudi di Stadium Shah Alam, Selasa ini.
Menurut penjaga gol Kelantan itu lagi, walaupun dibelasah kiri dan kanan oleh pelbagai pihak, namun dia dan rakan-rakan sepasukan perlu bangkit memperkuatkan mental serta fizikal untuk menghadapi perlawanan seterusnya.
“Kami sudah biasa menerima kritikan dan perlu terima semua­nya kerana semua yang berlaku berpunca daripada persembahan teruk kami dalam perlawanan itu.
“Saya juga mengakui, prestasi kami ketika beraksi dalam saingan liga tempatan amat bagus tetapi tidak begitu baik apabila bersama pasukan kebangsaan, sekali gus membuatkan kami tekad untuk tidak mahu terus memalukan nama Malaysia.
“Selepas apa yang berlaku ini semua perlu bersedia, selain harus serius untuk memastikan kami dapat menghadapi perlawanan seterusnya dengan baik,” katanya pada sesi latihan pertama bersama jurulatih sementara yang baharu dilantik, Datuk Ong Kim Swee di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), sini, semalam.
Dalam perlawanan Khamis lalu, pengendali Harimau Malaya, Dollah Salleh terpaksa membuat tiga pertukaran penjaga gol selepas Khairul Fahmi melepaskan empat gol dalam tempoh 25 minit, manakala penjaga gol gantian, Zamir Selamat membenarkan gawang pasukan dibolosi tiga kali.
Mohd. Khairul Azhan Khalid kemudian dimasukkan pada minit ke-60 akibat kecederaan yang dialami Zamir, namun ‘tembok’ kukuh skuad Pahang itu masih tidak mampu menghalang gawang Harimau Malaya daripada terus dibedil UAE.
Sementara itu, Khairul Fahmi turut berkata, Dollah tidak wajar dipersalahkan sepenuhnya atas kekalahan terburuk dalam sejarah bola sepak Malaysia tersebut kerana semuanya berpunca daripada pemain yang beraksi di atas padang.
“Kami yang bersalah kerana kami yang bermain bukan jurulatih, dia (Dollah) sudah memberikan segalanya,” katanya.

- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kami-layak-8216-dibelasah-8217-1.131970#sthash.ptkRnvhG.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan