Jumaat, 28 Ogos 2015

PM Pemain Bangladesh diminta beri komitmen padu lawan Harimau Malaya

JUMAAT, 28 OGOS 2015 @ 8:25
PM Pemain Bangladesh diminta beri komitmen padu lawan Harimau Malaya KETUA jurulatih bola sepak Bangladesh, Lodewijk de Kruif.
- Foto ihsan Trivela PETALING JAYA: Ketua jurulatih bola sepak Bangladesh, Lodewijk de Kruif mahu anak buahnya memberi komitmen penuh ketika mereka menentang Harimau Malaya pada perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam esok. Katanya, jika pemainnya tidak memberi komitmen 100 peratus mereka akan disingkirkan. "Mereka mendapat makanan baik, kemudahan baik dan hidup seperti pemain profesional, jadi tiada sebab mereka tidak boleh beri komitmen 100 peratus," katanya kepada pemberita selepas perjumpaan pengurus pasukan bagi perlawanan persahabatan itu di Wisma FAM di sini hari ini.

     Kruif berkata perlawanan itu adalah penting untuk menilai prestasi dan aspek taktikal pasukannya sebelum mereka berlepas ke Australia untuk menentang tuan rumah bagi pusingan kelayakan Piala Dunia 2018. Bangladesh kini menduduki tempat keempat dalam Kumpulan B pusingan kelayakan Piala Dunia yang turut disertai Kyrgyzstan, Tajikistan dan Australia. Kruif berkata tidak penting sama ada mereka kalah atau menang ketika menentang Malaysia, tetapi yang lebih penting ialah pemain mematuhi aspek taktikal yang dirancang dan sentiasa kekal cergas dan bersedia sepanjang 90 minit perlawanan.

       Mengenai pasukan Malaysia, beliau berkata beliau telah mengkaji permainan beberapa pemain Malaysia melalui video yang menyertai skuad Bawah 22 tahun dalam kejohanan Piala Bangabandhu pada Mac lalu. Sementara itu ketua pasukan Bangladesh, Mamunul Islam Mamun berkata skuad muda Malaysia dalam kejohanan itu bermain baik sehingga muncul juara. "Saya turut bermain dalam perlawanan akhir kejohanan itu, di mana Malaysia merupakan pasukan yang bagus dan bermain dengan baik," katanya. - BERNAMA

SUMBER: http://www.bharian.com.my/node/77999

Tiada ulasan:

Catat Ulasan