Ahad, 30 Ogos 2015

Dilema Harimau Malaya


AMRI YAHYAH (kiri) adalah antara penyerang yang disenaraikan dalam skuad Harimau Malaya namun pemain Johor Darul Takzim itu masih belum dapat mengembalikan rentaknya gara-gara keletihan selepas mengharungi saingan Piala AFC minggu lalu.

JURULATIH Harimau Malaya, Dollah Salleh berkata, jentera serangan skuad kendaliannya masih lemah.

Kelemahan tersebut menjadi punca mereka gagal menghasilkan sebarang gol pada aksi persahabatan antarabangsa menentang Bangladesh di Stadium Shah Alam, malam kelmarin.

Kedua-dua pasukan terikat seri tanpa jaringan.

Jika keadaan tersebut berlarutan, Harimau Malaya tidak perlu bermimpi untuk meraih kemenangan ke atas Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada aksi ketiga peringkat Kumpulan A kempen kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 di Abu Dhabi pada 3 September ini.

Bangladesh pun sukar untuk ditembusi pada aksi di gelanggang sendiri, inikan pula UAE yang memiliki reputasi hebat di rantau ini.

Memang tidak dinafikan, Dollah berada dalam dilema dengan situasi yang melanda skuad negara ketika ini, tetapi perjuangan harus diteruskan.

Dollah tidak harus dipersalahkan, kerana bola sepak Malaysia ketika ini ketandusan pemain yang mampu bersaing di pentas antarabangsa.

Di sebalik kelemahan yang melanda skuad negara, Dollah tetap optimis bahawa skuad kendaliannya itu mampu melakukan kejutan jika barian pemainnya bergerak sebagai satu pasukan serta memberikan komitmen seratus peratus dalam setiap perlawanan yang bakal mereka harungi.

Hanya kerja keras yang mampu mengubah nasib mereka memandangkan sebahagian besar pemain negara dalam skuad Harimau Malaya tidak memiliki kemahiran tertentu.

“Saya memang agak kecewa dengan tindakan penyudah yang dilihat sangat lemah, tetapi saya fikir pemain-pemain sudah dapat memahami corak permainan yang saya terapkan.

“Kita mencipta banyak peluang (pada aksi menentang Bangladesh) tetapi satu pun tidak menghasilkan gol. Kelemahan di bahagian serangan sangat ketara,” jelas Dollah.

Pada kempen kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019, skuad negara sekadar mengutip satu mata hasil keputusan seri 1-1 dengan Timor Leste pada aksi pertama sebelum dibelasah 6-0 oleh Palestin pada perlawanan kedua

peringkat Kumpulan A, Jun lalu.
Skuad kendalian Dollah itu akan berlepas ke Abu Dhabi hari ini.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0831&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3kLQbJSm2 Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan