Ahad, 30 Ogos 2015

MALAYSIA 0-0 BANGLADESH


 
Skuad kebangsaan, Harimau Malaya yang ketika ini berada di ranking ke-168 dunia mencatat keputusan seri 0-0 dengan pasukan ranking ke-170, Bangladesh pada perlawanan persahabatan antarabangsa A di Stadium Shah Alam, malam tadi.

 Percubaan berbahaya pertama skuad kendalian Dollah Salleh itu hadir menerusi percubaan Amri Yahyah di dalam kotak penalti yang berjaya diselamatkan penjaga gol Bangladesh, Md Sahidul Alam pada minit ke-19.

 Ia disusuli sepakan percuma Amri yang turut berjaya ditepis keluar Md Sahidul pada minit ke-38 untuk menamatkan separuh masa pertama tanpa jaringan.

 Corak permainan skuad kebangsaan di bahagian serangan tampak semakin baik selepas pertukaran pertama dilakukan Dollah dengan memasukkan Baddrol Bakhtiar dan Nasir Basharudin serentak pada minit ke-61.

 Nasir memiliki peluang terbaik apabila hanya berhadapan Md Sahidul pada minit ke-65, namun percubaannya berjaya dihadang penjaga gol Bangladesh itu.

 Dollah kemudian melakukan pertukaran ketiga dengan membawa masuk Ahmad Hazwan Bakri pada minit ke-67 dan hanya selang dua minit kemudian, pemain sayap Selangor itu melepaskan rembatan kaki kiri menarik di depan pintu gol Bangladesh, namun sedikit tersasar.

 Bangladesh kendalian jurulatih dari Belanda, Lodewijk De Kruif jelas langsung tidak mampu menguji benteng pertahanan skuad kebangsaan dan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat sepanjang babak kedua.

  Namun ussaha skuad kebangsaan untuk memecah kebuntuan terus tidak kesampaian apabila sepakan dari luar kotak penalti pemain sayap, Wan Zack Haikal Wan Nor sedikit lemat dan sempat juga diselamatkan Md Sahidul selepas penjaga gol Bangladesh itu terkeluar posisinya pada minit ke-78.

 Skuad kebangsaan akan berlepas ke Abu Dhabi, awal pagi esok (Isnin) untuk perlawanan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 bertemu UAE pada 3 September ini sebelum kembali ke tanah air untuk perlawanan keempat menentang Arab Saudi, 8 September ini.


KOMEN JURULATIH MALAYSIA, DOLLAH SALLEH

"Babak awal permainan, pemain masih cuba mendapatkan rentak dan menyesuaikan diri dengan corak permainan 5-4-1 yang saya terapkan. Itu menyebabkan 15 minit pertama nampak mereka masih belum dapat cara bermain.

 "Tapi selepas itu kami mula dapat rentak terutama pada babak kedua apabila kami berjaya menguasai keseluruhan permainan, cuma jaringan gagal terhasil.

 "Memang kecewa tetapi pemain dapat menemui rentak dengan corak permainan yang saya inginkan pada babak kedua. Banyak peluang tetapi satu pun gagal menembusi gol. Memang kita kekurangan di bahagian serangan.

 "Bahagian pertahanan, apa yang saya inginkan nampak mantap apabila Afif, Amirizdwan Taj dan Junior nampak selesa. Tiada masalah saya rasa, cuma dari segi membantu serangan, saya inginkan ramai lagi yang dapat membantu.

 "Jika kami dapat mengekalkan corak permainan pada babak kedua, saya rasa kami boleh memberi saingan kepada UAE nanti. Cuma pemain perlu disiplin kerana apabila kita tidak disiplin di atas padang, kita takkan dapat ikut corak permainan yang kita inginkan.

 "Saya tak nafikan yang Amri dan Safiq nampak keletihan. Sebab itu saya menukar mereka dengan memasukkan Baddrol dan Nasir yang sepanjang empat hari latihan sudah mengetahui corak apa yang saya inginkan. Sebab itu apabila mereka berdua masuk, nampak permainan lebih teratur.

 "Separuh masa pertama, nampak permainan Bangladesh lebih tersusun. Jadi saya tekankan kepada pemain, bila kita beri mereka lebih ruang mengawal bola, ia akan beri keyakinan lebih kepada pemain mereka.

 "Sebab itu pada separuh masa kedua, kita lebih menekan mereka supaya mereka tak yakin nak bawa bola dan apabila serangan balas dilakukan Bangladesh, kita boleh tutup dengan awal. Itu yang membuatkan kita dapat mengawal sepenuhnya permainan babak kedua."
 
MALAYSIA: 22-Khairul Fahmi Che Mat, 16-S Kunanlan, 2-Afif Amiruddin, 15-Junior Eldstal (11-Ahmad Syamim Yahya 83'), 6-Amirizdwan Taj Tajuddin, 21-Zubir Azmi (5-Nazirul Naim Che Hashim 75'), 19-Wan Zack Haikal Wan Nor, 8-Safiq Rahim (K) (13-Nasir Basharudin 61'), 17-Amri Yahyah (7-Baddrol Bakhtiar 61'), 18-Joseph Kalang Tie (12-Ahmad Hazwan Bakri 67'), 10-Nor Farhan Muhammad (14-S Kumaahran 73').

BANGLADESH: 1-Md Sahidul Alam, 12-Md Nasirul Islam Nasir, 3-Topu Barman, 4-Md Yeasin Khan, 5-Yeamin Ahmed Chowdury Munna (14-Atiqur Rahaman Meshu 64'), 18-Md Jewel Rana (20-Mohammed Toklis Ahmed 90+4'), 6-Jamal Bhuyan (13-Md Monaem Khan Raju 81'), 8-Md Mamunul Islam Mamun (K) (16-Md Emon Mahmud 90+1'), 10-Hemonta Vinsent Biswas, 11-Sihel Rana (7-Mohammed Enamul Hoque 76'), 9-Md Jahid Hasan Ameli.

Pengadil: Amirul Izwan Yaacob (Malaysia)

SUMBER-http://www.fam.org.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan