Jumaat, 28 Ogos 2015

‘Kami datang mahu menang

Oleh Aziman Rosdiaziman@hmetro.com.my
Kelana Jaya: Hanya aksi pemanas badan, namun jurulatih Bangladesh Lodewijk De Kruif memberi amaran kepada skuad Harimau Malaya bahawa anak buahnya sudah bersedia memberi tentangan dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam malam hari ini.
Menurut pengendali kelahiran Belanda itu, keputusan perlawanan tidak penting sebaliknya fokus utama mereka adalah untuk melakukan persiapan terbaik sebelum menentang Australia dalam kelayakan Piala Dunia 2018 / Piala Asia 2019 di Perth, pada 3 September.
Bagaimanapun itu tidak bermakna De Kruif akan mengarahkan anak buahnya menyimpan tenaga dalam perlawanan menentang Malaysia bagi mengelak daripada kecederaan dan keletihan.


“Bila bermain, saya mahu pemain tunjukkan 100 peratus komitmen kalau tidak, saya akan keluarkan mereka daripada skuad. Mudah dan profesional. Tidak ada sebab untuk kami tidak beraksi dengan penuh kesungguhan esok (malam ini),” katanya pada sidang media semalam.
Bangladesh yang digelar Harimau Bengal turut berdepan situasi sama dengan Malaysia apabila mengutip satu mata dalam aksi kelayakan selepas kalah 1-3 di tangan Kyrgyzstan dan seri 1-1 menentang Tajikistan.
Melihat kepada keputusan terakhir dengan Tajikistan itu jelas memperlihatkan peningkatan Bangladesh berbanding skuad kendalian Dollah Salleh yang pernah kalah kepada lawan sama, 1-4 pada aksi persahabatan Ogos tahun lalu.
De Kruif, 45, mengakui mempunyai cukup maklumat mengenai Harimau Malaya dan mengakui bakal berdepan pasukan hebat apatah lagi mereka pernah tewas kepada skuad bawah 22 tahun negara pada final Piala Emas Bangabandhu awal tahun ini.
“Saya tahu cara mereka (Malaysia) bermain dan bagaimana mereka mengatur pemain. Kami mengalami pengalaman buruk apabila skuad bawah 22 tahun Malaysia mengalahkan kami di final Bangabandhu.
“Ini masa terbaik untuk kami bermain dengan pasukan kuat seperti Malaysia walaupun cara permainan mereka berbeza dengan Australia,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Ogos 2015 @ 5:09 AM

- SUMBER: http://www.hmetro.com.my/node/73731#sthash.DdNKT3GX.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan