MyMetroNode
Hasrat skuad Bawah 15 Tahun (B-15) negara membuat kejutan dalam aksi sulung Kumpulan B saingan Torneo Delle Nazioni tidak kesampaian apabila tewas tipis 0-1 kepada Mexico di Stadium Klagenfurt, Austria, semalam.
Aksi yang berlangsung di salah satu venue Euro 2008 menyaksikan penguasaan 50-50 kedua-dua pasukan yang sering melancarkan serangan menerusi bahagian sayap.
Skuad negara hampir meraih gol pertama hasil larian cantik Luqman Hakim dari kawasan tengah padang, begitupun ia gagal disudahkan rakan sepasukannya Amirul Ashrafiq yang menendang lemah buat memudahkan tugas Eduardo Garcia menangkap percubaan itu pada minit ke-13.
Mexico yang sekali-sekala menguji gawang negara berpeluang memecah kebuntuan pada minit ke-31, namun lambungan Alejandro Gomez sekadar melewati palang gol.
Seminit kemudian, penjaga gol negara Sikh Izhan Nazrel bertindak cemerlang menghalang sepakan kencang Kevin Mariscal dari luar kotak penalti buat melegakan seketika kem Malaysia.
Bersambung babak kedua memperlihatkan Mexico yang dibimbing Miguel Gomez memperkemaskan rentak permainan, bagaimanapun skuad cilik Harimau negara terlebih dulu mencemaskan gawang lawan menerusi percubaan tonggak pertahanan Muhammad Hariz Mansor sedikit tersasar ke kiri pintu gol pada minit ke-37.
Enam minit selepas itu jentera tengah Mexico, Mariscal hampir meletakkan pasukannya di depan selepas bijak menyambut hantaran Oliver Correa, tetapi rembatannya gagal menemui gawang gol.
Perlawanan menjadi semakin sengit, namun anak buah Lim Teong Kim sekali lagi gagal memanfaatkan peluang keemasan untuk menamatkan kebuntuan gol apabila percubaan Harith Haikal sempat dihadang pertahanan lawan pada minit ke-48.
Keghairahan Malaysia memburu jaringan akhirnya mengundang padah apabila Correa berjaya mencetak gol tunggal kemenangan pada minit ke-58 hasil kelekaan pertahanan negara merantai pergerakan penyerang itu.
Skuad negara cuba meningkatkan tempo perlawanan untuk memburu gol penyamaan, namun pertahanan Mexico kental bertahan hingga tamat aksi penuh yang menyaksikan Malaysia gagal meraih sebarang mata.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 April 2017 @ 8:24 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan