JIKA skuad
kebangsaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bakal diperkuatkan dengan tiga tonggak
naturalisasi dari Amerika Latin apabila berdepan Malaysia pada 26 Mac ini,
skuad kendalian Tan Cheng Hoe juga dijangka dapat menurunkan pemain
naturalisasi baharu negara, Liridon Krasniqi di Dubai nanti.
Sumber
memberitahu Arena Metro, meskipun sebelum ini Persatuan Bolasepak Malaysia
(FAM) menyatakan tarikh pendaftaran pemain untuk aksi Kelayakan Piala Dunia
2022/Piala Asia 2023 sudah ditutup November tahun lalu, ia sebenarnya masih
dibuka dengan tarikh akhir pendaftaran pemain pada 20 Mac depan.
Jelasnya, ini
bermakna Liridon dijangka berpeluang meraih caps pertama bersama skuad Harimau
Malaya apabila menentang UAE.
“Sebelum ini
ramai yang tahu Liridon hanya akan datang main selepas berakhir pusingan kedua
kelayakan Piala Dunia ini.
“Maknanya,
kalau ikutkan dia hanya boleh main kalau Malaysia layak ke pusingan ketiga
kelayakan Piala Dunia atau pusingan ketiga kelayakan Piala Asia.
“Tapi
sebenarnya tidak apabila pihak teknikal FAM mendapati bahawa tarikh akhir
pendaftaran pemain sebenarnya ialah 20 Mac ini.
“Dan
difahamkan, FAM sedang berusaha keras untuk daftarkan nama Liridon kepada FIFA
(Persekutuan Bolasepak Antarabangsa). Kalau tidak ada masalah, dia boleh main masa
lawan UAE,” kata sumber.
Liridon, 28,
pada Isnin lalu menerima taraf kewarganegaraan Malaysia daripada Jabatan
Pendaftaran Negara selepas melepasi proses penaturalisasian dan kini tinggal
selangkah untuk menyarung jersi Harimau Malaya.
Skuad negara di
bawah kendalian Cheng Hoe, dijadual menentang UAE dalam saingan Kumpulan G
pusingan kelayakan di Stadium Al Maktoum, Dubai pada 26 Mac, sehari selepas
Liridon genap lima tahun beraksi di Malaysia.
UAE baru-baru
ini ‘mengimport’ tiga pemain iaitu Sebastian Lucas Taglibue (Argentina) serta
Caio Canedo Correa dan Fabio Virginio de Lima dari Brazil, sebagai usaha
menguatkan pasukan.
Liridon yang
pernah beraksi bagi pasukan Melaka United dan Kedah bakal menjadi pemain
naturalisasi kedua negara, selepas pemain sayap Pahang, Mohamadou Sumareh
menyarung jersi negara pada 2018.
Artikel ini
disiarkan pada : Sabtu, 8 Februari 2020 @ 12:58 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan