Khamis, 11 Oktober 2018

Bukan untuk bersenang-lenang'

MyMetroArena
Syafiq Aznan
syafiq.aznan@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Kedudukan ranking skuad Harimau Malaya yang jauh lebih baik mengatasi Sri Lanka bukan jaminan buat pemain untuk ‘bersenang-lenang’ pada aksi persahabatan di Stadium Sugathadasa, malam esok.

Menurut kapten pasukan kebangsaan, Zaquan Adha Abd Radzak, Sri Lanka yang menghuni ranking ke-199 dunia berbanding Malaysia (171) dijangka memberi tentangan yang sengit apatah lagi perlawanan berlangsung di tempat mereka sendiri.

“Bagi saya dan rakan sepasukan, ini bukanlah satu tugas yang mudah. Walaupun sekadar aksi persahabatan tetapi ia tetap dianggap penting sebagai persiapan ke Piala AFF Suzuki 2018.

“Kita juga berdepan kekangan masa kerana hanya sempat berlatih tiga hari sebelum terbang ke Colombo. Jadi, saya mengharapkan rakan sepasukan dapat segera membentuk keserasian menentang lawan, Jumaat ini (malam esok),”  katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas di Colombo, semalam.

Sebagai rekod, Sri Lanka di bawah bimbingan Mohamed Packeer Ali sekadar meraih satu kemenangan dalam tiga aksi persahabatan terakhir yang menyaksikan mereka meraih kemenangan 1-0 ke atas Bangladesh sebelum tewas 0-2 di tangan India dan terikat tanpa jaringan menentang Maldives.

Mengulas lanjut panggilan kali ini yang menampilkan beberapa muka baharu, penyerang Kuala Lumpur itu menegaskan situasi itu tidak memberi sebarang masalah kepada skuad kebangsaan.

“Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, setiap pemain memiliki kelebihan masing-masing. Jadi, ia akan memberi impak yang positif kepada pasukan.

“Situasi ini juga memberi lebih banyak pilihan kepada jurulatih untuk membuat eksperimen bagi menurunkan kesebelasan utama terbaik,” katanya.

Selepas aksi di Colombo, anak buah Tan Cheng Hoe dijadual berdepan lawan lebih hebat bertemu Republik Krygyz yang menduduki ranking 91 dunia di Stadium Hang Jebat, Selasa ini dan satu lagi aksi persahabatan menentang Maldives pada 3 November di Stadium Nasional Bukit Jalil.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 3:55 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan