Khamis, 4 Oktober 2018

24 pemain belum selamat


NORSHAHRUL IDLAN TALAHA
Mohammad Rozaidi Zulkifli
sukan@utusan.com.my
04 Oktober 2018 3:00 AM
 NORSHAHRUL IDLAN TALAHA
KUALA LUMPUR 3 Okt. - Tiada istilah kedudukan ‘terjamin’ buat 24 pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe untuk kem latihan menjelang dua perlawanan persahabatan sebagai persediaan menghadapi kejohanan Piala AFF 2018.

Jelasnya, dia akan memanggil beberapa pemain lagi selepas berakhirnya final Piala Malaysia dan hanya pada sesi latihan terakhir senarai 23 pemain terbaik akan dimuktamatkan untuk menggalas tugasan negara dalam Piala AFF.


Cheng Hoe turut memberitahu, keputusan memanggil pemain naturalisasi Mohamadou Sumareh kerana pemain kelahiran Gambia itu telah mempamerkan prestasi baik dalam saingan Liga Malaysia dan tidak salah untuk memberi peluang kepadanya beraksi di peringkat antarabangsa.

“Kita masih tunggu saingan Piala Malaysia berakhir dan akan memanggil beberapa pemain lagi untuk menyertai pasukan. Paling penting pemain yang dipanggil nanti bebas daripada kecederaan dan mempunyai semangat tinggi untuk bermain demi negara.

"Senarai 23 pemain terakhir hanya akan diputuskan selepas saya mendapat semua pemain yang saya inginkan.

"Tentang Sumareh, sudah tentu kita tahu kualitinya dalam Liga Malaysia, Saya harap dia akan menggunakan peluang ini sebaik mungkin dan mampu memberi impak buat pasukan kebangsaan. Dari segi komunikasi dengan rakan pasukan saya rasa dia tiada masalah," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Seramai 24 pemain telah dipanggil menyertai kem latihan skuad Harimau Malaya yang bermula 8 Oktober ini bagi mengharungi perlawanan persahabatan menentang Sri Lanka dan Kyrgyzstan sebagai persiapan skuad kebangsaan menghadapi kejohanan Piala AFF berlangsung pada 8 November hingga 15 Disember.

Sementara itu, Cheng Hoe menjelaskan panggilan semula penyerang Pahang, Norshahrul Idlan Talaha dalam kem negara kerana dia telah mempamerkan aksi konsisten sepanjang saingan Liga Malaysia.
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/24-pemain-belum-selamat-1.760272#ixzz5SwjsMnLD
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan