Aziman Rosdi
aziman@nstp.com.my
JURULATIH skuad bawah 23 tahun
negara (B-23), Datuk Ong Kim Swee tidak bercadang untuk melakukan rombakan
besar ke atas barisan pemainnya bagi menghadapi Sukan Asia Indonesia Ogos depan
namun akan memanggil tiga pemain senior.
Setiap pasukan yang bertanding
pada temasya sukan itu dibenarkan memanggil tiga pemain lebih umur dan Kim Swee
percaya kehadiran pemain senior mampu memperkuatkan pasukan.
“Kami akan menghantar pasukan
terbaik ke sana dengan mendapatkan khidmat tiga pemain lebih umur, tapi ini
bergantung kepada situasi yang dihadapi sebelum Sukan Asia bermula. Buat masa
ini saya belum membuat pilihan pemain senior.
“Saya tak nampak kami akan
melakukan banyak perubahan ke atas pemain yang beraksi di China (Kejohanan B-23
AFC) sebelum ini namun saya tak nafikan ada beberapa pemain seperti Syafiq
Ahmad (Johor Darul Ta’zim), Ariff Farhan Isa, Amirul Hisyam Awang Kechik
(Kedah) menunjukkan prestasi yang baik untuk dipertimbangkan,” katanya.
Selepas skuad B-23 negara melakar
sejarah dengan layak ke suku akhir Kejohanan B-23 AFC Januari lalu, Kim Swee
berdepan satu lagi misi besar pada Sukan Asia tahun ini.
Berdasarkan prestasi di China,
harapan tinggi disandarkan kepada skuada muda itu namun Kim Swee mengakui,
kekangan masa menjadi halangan besar untuk beliau membentuk skuad terbaik.
“Saya tak boleh lakukan perubahan
besar kerana pemain sedia ada sudah mempunyai persefahaman baik. Cuma pasukan
mungkin tidak sempat untuk mengadakan perlawanan ujian sebelum ke Sukan Asia.
“Saya akan memanggil semua pemain
pada 1 atau 2 Ogos ini, lebih kurang dua minggu sebelum temasya dan saya harap
ia mencukupi untuk membuat persiapan,” katanya.
Sumber-Artikel ini disiarkan pada
: Isnin, 16 April 2018 @ 9:45 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan