Isnin, 2 April 2018

Terima kasih Bhutan


Fadhilul Izmel Ishaksukan@utusan.com.my
02 April 2018 3:00 AM
 
KUALA LUMPUR 1 April - Harimau Malaya wajar berterima kasih kepada Bhutan kerana membenarkan Malaysia menoktahkan kemarau kemenangan daripada terus berpanjangan apabila membelasah skuad kendalian Trevor Morgan itu 7-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Itu merupakan kemenangan pertama yang dicipta oleh pasukan kebangsaan di pentas antarabangsa selepas kali terakhir mereka melakukannya pada 20 November 2016 ketika menewaskan Kemboja 3-2 dalam aksi Kumpulan B Piala AFF.


Walaupun Malaysia meraih kemenangan besar namun tiada apa yang boleh dibanggakan kerana itulah yang diharapkan daripada mereka memandangkan Bhutan merupakan pasukan belasahan dalam kempen kelayakan Piala Asia 2019 dengan menghuni tangga ke-188 dunia berbanding Harimau Malaya di tangga ke-178.

Sebelum ini anak-anak buah Tan Cheng Hoe menerima kecaman apabila gagal menewaskan Mongolia yang berada di kedudukan ke-189 apabila seri 2-2 dalam aksi persahabatan di venue yang sama pada 22 Mac lalu.

Dalam perlawanan tersebut, kapten Harimau Malaya, Zaquan Adha Abd Razak muncul penjaring terbanyak apabila meledak empat gol. Malaysia berada di depan seawal minit ke-11 menerusi tandukan Wan Zack Haikal Wan Nor hasil hantaran lintang Zaquan.

Sembilan minit kemudian, Zaquan mengukuhkan kedudukan apabila menyempurnakan penalti apabila Wan Zack dijatuhkan oleh Chimi Dorji. Selang lapan minit kemudian Irfan Zakaria menjaringkan gol ketiga berpunca daripada sepakan penjuru Wan Zack.

Gol keempat tuan rumah diperoleh pada minit ke-37 selepas rembatan Zaquan gagal ditangkap dengan kemas oleh penjaga gol Bhutan, Kinzang Gyeltshen sebelum penyerang dari Negeri Sembilan itu meledak gol ketiganya selang tiga minit kemudian.

Bersambung babak kedua, Malaysia terus bernafsu memburu gol apabila Zaquan sekali lagi merobek gawang lawan pada minit ke-55 setelah menerima hantaran daripada Nazirul Naim Che Hashim.

Gawang Bhutan sekali lagi dibolosi tuan rumah apabila giliran Syafiq Ahmad menjaringkan pada minit ke-74.

Kemenangan ini pastinya mampu menaikkan semangat pemain negara yang sebelum ini menerima kritikan daripada peminat bola sepak tempatan walaupun sekadar bertemu pasukan yang boleh diibaratkan bukan lawan mereka

SUMBERArtikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/terima-kasih-bhutan-1.639621#ixzz5BV5tChkA
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan