Ahad, 23 Mei 2021

Masa Cheng Hoe bereksperimen

Oleh Syafiq Aznan - Mei 23, 2021 @ 6:55pm

syafiq.aznan@bh.com.myLiridon menjalani latihan terakhir bersama rakan sebelum aksi menentang Kuwait, malam ini.



Liridon menjalani latihan terakhir bersama rakan sebelum aksi menentang Kuwait, malam ini.

KUALA LUMPUR: "Bawa pemain ramai-ramai, kenalah uji semua!" Demikian pandangan jurulatih berpengalaman, Azraai Khor Abdullah yang mengharapkan jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe dapat menggunakan segala 'sumber' yang ada pada aksi persahabatan pertama menentang Kuwait, malam ini.

Jelas pemenang 'Double Treble' itu, aksi persahabatan sepatutnya memberikan peluang kepada Cheng Hoe untuk mencari kepelbagaian dari segi taktikal yang boleh digunakan bagi kempen kelayakan kali ini.

"Ada seramai 25 pemain yang dibawa ke Dubai, jadi gunakanlah semua pemain yang ada. Banyak kombinasi yang boleh dicuba Cheng Hoe dengan senarai pemain yang ada di sana.

"Kalau pemain setakat dinilai daripada sesi latihan sahaja, tak boleh juga. Mereka perlu beraksi dalam perlawanan sebenar untuk lihat sejauh mana mereka mampu beraksi di tahap yang tertinggi.

"Sebab ada pemain yang cemerlang masa latihan tetapi apabila bermain, bukan jadi ayam sabung tetapi jadi ayam serama. Kalau untuk aksi persahabatan, tak kisahlah mengenai keputusan asalkan jurulatih mencapai matlamat yang dimahukan daripada perlawanan terbabit," katanya.

Terdahulu, tumpuan pasti terarah kepada barisan pemain yang akan diturunkan Cheng Hoe apabila skuad kebangsaan akan kembali 'bertarung' di pentas antarabangsa buat kali pertama selepas lebih setahun bertemu Kuwait malam ini.

Sementara itu, bekas jurulatih kebangsaan, B Satianathan menjangkakan Cheng Hoe sudah pasti memiliki barisan kesebelasan utama yang dirasakan terbaik dan mampu memberi cabaran kepada Kuwait.

Katanya, tidak ada istilah 'eksperimen' kerana Cheng Hoe sudah arif mengenai kemampuan pemain dan pemain yang dipilih tahu dengan kehendak serta perancangan Cheng Hoe dalam skuad kebangsaan.

"Cheng Hoe pasti akan memilih pemain yang terbaik daripada segi prestasi khususnya pemain yang boleh bermain dengan bola ataupun tanpa bola.

"Saya jangkakan perubahan pasti akan dilakukan dengan senarai pemain pada separuh masa pertama dan juga separuh masa kedua. Aksi malam ini adalah sebagai persediaan untuk aksi kedua menentang Bahrain nanti.

"Cuma saya harapkan walaupun aksi persahabatan, pemain tetap berikan persembahan yang terbaik dan tidak memandang ringan dua perlawanan ini," katanya.1


_________________________________________

Jangan layan media sosial

Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my



SESI latihan Harimau Malaya kelmarin.

Kuala Lumpur: Bagi memastikan fokus dan tumpuan pemain tidak terganggu menjelang baki tiga aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bermula 3 Jun ini, pemain skuad Harimau Malaya diingatkan supaya tidak melayan media sosial.

Menurut pemain tengah negara, Nor Azam Azih, peringatan itu diberikan oleh pengendali negara, Tan Cheng Hoe buat semua pemain sejak memulakan kem latihan pusat minggu lalu.

Katanya, ingatan itu seterusnya selalu ditekankan oleh Cheng Hoe setiap hari termasuk di Dubai ketika ini bagi memastikan pemain tidak terleka hingga boleh mengganggu pasukan.

"Ada (sekatan media sosial). Jurulatih pesan pada semua pemain jangan layan komen negatif dan jangan melampau layan media sosial sampai mengganggu mental dan fizikal pemain, itu pesanan jurulatih setiap hari," kata pemain Sri Pahang itu.

Azam, 26, yang sering menjadi pilihan Cheng Hoe untuk bergandingan dengan Brendan Gan di jentera tengah kemungkinan beraksi dengan pemain lain dalam aksi menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) 3 Jun ini.

Ia susulan penggantungan automatik buat Brendan yang mengumpul dua kad kuning sebelum ini dan Azam mengakui tidak kisah untuk digandingkan dengan rakan sepasukan lain di bahagian itu.

Antara calon yang dilihat berpotensi ialah Nazmi Faiz Mansor, Syamer Kutty Abba atau Liridon Krasniqi.

"Bagi saya tak kisah dengan sesiapa. Kalau saya bermain (jika diturunkan jurulatih) dengan Brendan ke, main dengan Nazmi ke, main dengan Syamer, insya-Allah kami akan lakukan yang terbaik pada aksi persahabatan atau main pada aksi sebenar akan datang," katanya.

Disiarkan pada: Mei 23, 2021 @ 6:35pm.1

___________________________________________________

Aksi persahabatan uji kecergasan, mental

Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my



SKUAD negara berdepan Kuwait malam ini.

Kuala Lumpur: Pengendali negara, Tan Cheng Hoe akui dua aksi pemanas badan berdepan Kuwait malam ini dan Bahrain pada Jumaat bukan semata-mata untuk menyediakan pemain menjelang kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bermula 3 Jun ini tetapi lebih daripada itu.

Katanya, di samping mahu pemain mencari semula persefahaman dan rentak yang hilang selepas hampir dua tahun tidak beraksi bersama, beliau juga harus memastikan dua aksi persahabatan itu tidak berakhir dengan kekalahan di mana ia boleh mengganggu motivasi anak didiknya.

Lantas, Cheng Hoe mahu barisan pemainnya mengambil kesempatan memperagakan aksi terbaik apabila diturunkan menentang Kuwait dan Bahrain walaupun ia hanya berstatus aksi persahabatan.

"Yang penting dua perlawanan ujian ini kita nak tengok dari segi tahap kecergasan dan kekuatan mental untuk menghadapi kempen Kelayakan Piala Dunia ini.

"Sudah tentu mana-mana jurulatih pun mahu dapat keputusan positif di samping kita lihat pemain berada dalam satu tahap yang masih lagi perlukan perlawanan ujian untuk dapat keyakinan.

"Prestasi pemain belum lagi sampai tahap terbaik dan kita masih ada lagi beberapa latihan, dan juga taktikal kita harap kita boleh memberi harapan atau kita dapat gambaran sebenar sebelum kita menentang UAE nanti," katanya.

Pada kempen kelayakan, Harimau Malaya akan bertemu tuan rumah Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Zabeel, Dubai pada 3 Jun diikuti aksi menentang Vietnam di Stadium Al Maktoum (11 Jun) dan berdepan Thailand juga di Stadium Al Maktoum (15 Jun).

Selepas lima perlawanan setakat ini, Vietnam menduduki tangga teratas Kumpulan G dengan 11 mata diikuti Malaysia (9), Thailand (8), UAE (6) dan Indonesia (0).

Bagaimanapun jurulatih dari Kedah itu mengingatkan pemain supaya jangan terlalu ghairah kerana bimbang berisiko mengalami kecederaan pada dua aksi persahabatan itu.

"Tapi saya juga tak mahu pemain terlalu ghairah dalam perlawanan persahabatan ini sehingga tercedera, yang penting ikut arahan dan taktikal yang diberikan. Akhirnya kita pun tak nak pemain dapat kecederaan dan yang penting bebas kecederaan sebelum menentang UAE nanti," katanya.Disiarkan pada: Mei 23, 2021 @ 6:42pm.1

________________________________________________

Hari Perlawanan!



KUWAIT 🇰🇼 lwn 🇲🇾 MALAYSIA

Follow akaun Twitter rasmi FAM www.twitter.com/fam_malaysia untuk mengetahui keputusan semasa Perlawanan Latihan ini yang akan bermula jam 11.15 malam ini (7.15 malam Waktu UAE).

#FAM #HarimauMalaya.1

________________________________________

'Masa untuk saya buktikan'

MUHAMMAD ZAKWAN NAZARALY | | 22 Mei 2021




Safawi (depan) giat menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di UAE. - Foto FB FAM
KEKURANGAN minit bermain susulan kecederaan lutut yang dialami tidak meresahkan pemain sayap sensasi negara, Safawi Rasid untuk memberikan sentuhan cemerlang dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Menurut Safawi, dia bertekad membuktikan sentuhannya masih berbisa selepas pulihsepenuhnya daripada kecederaan lutut, sekali gus membantu Harimau Malaya meraih keputusan positif dalam aksi kelayakan tersebut.
"Mengenai prestasi saya tiada masalah. Lagipun bermain dalam pasukan kebangsaan bukan permainan individu. Sokongan daripada rakan sepasukan membantu saya kembali dapatkan prestasi terbaik.
"Bukan saya seorang tetapi juga pemain lain yang lama tak main, sekurangnya dengan bantuan rakan sepasukan dapat meningkatkan prestasi masing-masing.
"Sekarang ini saya pun dah pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut, jadi kejohanan ini saya nak membuktikan saya layak untuk membantu pasukan mara ke peringkat seterusnya," katanya pada sidang media secara maya pada Sabtu.
Prestasi pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu sebelum ini dilihat sedikit merudum selepas pulang daripada menyertai kelab Portugal, Portimonense SC secara pinjaman pada Disember lalu.
Kelibatnya di kelab Portugal itu juga kurang memberikan impak selepas tidak disenaraikan untuk beraksi dalam skuad utama selain hanya mampu bertahan selama tiga bulan bersama pasukan tersebut.
Selepas kembali bersama JDT, Safawi dibayangi kecederaan lutut pada Mac lalu dan hanya beraksi sebagai pemain gantian dalam beberapa perlawanan terakhir Liga Super sebelum dipanggil untuk menyertai kem latihan Harimau Malaya.
Ia sekali gus mengundang kebimbangan dalam kalangan peminat bola sepak negara sama ada pemain utama Harimau Malaya itu akan mampu berada pada tahap terbaik dalam perlawanan kelayakan ini.
Dalam pada itu, Safawi turut mengakui tempatnya dalam pasukan Harimau Malaya tidak terjamin selepas melihat saingan sengit di posisi tersebut daripada beberapa pemain seperti Mohamadou Sumareh, Akhyar Rashid dan pemain muda meningkat naik, Arif Aiman Mohd Hanafi.
"Bagi saya tempat itu jurulatih yang akan tentukan. Macam saya bermain sebelah kanan, saya rasa bagus untuk kami bersaing untuk dapatkan kesebelasanan utama.
"Saya seperti pemain lain kena bagi 'all out' sekiranya mahu terpilih dalam kesebelasan utama," katanya.
Untuk rekod, Safawi telah menjaringkan dua gol ketika menentang Indonesia di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 19 November 2019 sebelum aksi kelayakan itu ditangguhkan ekoran pandemik Covid-19.
Safawi turut menyifatkan skuad Harimau Malaya kali ini adalah yang terbaik dengan kehadiran beberapa muka baharu seperti Liridon Krasniqi, Guilherme de Paula dan Junior Eldstal."Bagi saya pasukan kali ini paling terbaik. Saya harap pemain yang datang ke sini (UAE) dapat berikan sesuatu kepada pasukan untuk bantu pasukan kita layak ke pusingan seterusnya.
"Malah, perlawanan persahabatan menentang Kuwait juga kalau boleh pemain perlu cepat serasi antara satu sama lain sebab ia penting untuk persediaan pasukan. Lagipun, tidak mudah sebab satu tahun lebih tidak ada perlawanan dan tidak bersama.
"Namun, apa yang positif ialah pemain sedia ada dalam pasukan dapat membantu pemain yang baru datang untuk membantu dapatkan keserasian dalam pasukan," ujarnya.
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/139977/BERITA/Sukan/Masa-untuk-saya-buktikan© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf.1

_____________________________________________

Datuk Haji Hamidin Bertemu Presiden UAE FA



Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) telah mendapat jemputan makan tengah hari daripada Presiden Persatuan Bolasepak Emiriah Arab Bersatu (UAE FA), Sheikh Rashid bin Humaid Al Nuaimi di Dubai, UAE, hari ini.

Selain Datuk Haji Hamidin dan Sheikh Rashid, sesi makan tengah hari itu turut disertai oleh Naib Presiden Kanan UAE FA, Abdulla Naser Al Jneibi dan Naib Presiden UAE FA, Yousif Hussain Al Sahlawi serta Setiausaha Agung UAE FA, Mohammed Abdulla Hazzam Aldhaheri.

Antara perkara yang dibincangkan ialah mengenai gambaran serta informasi terkini persiapan UAE FA sebagai tuan rumah bagi baki perlawanan Kumpulan G, Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang akan berlangsung di Stadium Zabeel dan Stadium Al Maktoum dari 3 hingga 15 Jun ini.

Datuk Haji Hamidin kini bersama skuad kebangsaan, Harimau Malaya di Dubai sejak 20 Mei lalu bagi persiapan akhir menjelang baki tiga aksi kelayakan bertemu UAE (3 Jun), Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun 2021).

#FAM #HarimauMalaya #AsianQualifiers.1

_________________________________________________

1https://www.facebook.com/FAMalaysiaOfficial/(diakses pada 23 Mei 2021) 

Doa Eky iringi Harimau Malaya

SHAHRIZAL AHMAD ZAINI | | 21 Mei 2021




Shahrel Fikri
PENYERANG Selangor FC, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi optimis skuad Harimau Malaya mampu mencipta keputusan positif ketika mengharungi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bulan depan.
Shahrel Fikri berkata, kesemua 25 pemain yang diberi kepercayaan menggalas cabaran kali ini memiliki kemampuan masing-masing dalam memperkasa skuad Harimau Malaya bagi menghadapi baki tiga perlawanan Kumpulan G kempen kelayakan tersebut.
“Saya yakin rakan-rakan sepasukan mampu melakar kejayaan di UAE dan seterusnya membawa pasukan kebangsaan mara lebih jauh. Saya sentiasa mendoakan kejayaan mereka di sana nanti.
“Saya juga berharap semua rakyat Malaysia khususnya peminat dan penyokong bola sepak mendoakan kejayaan Harimau Malaya pada aksi kelayakan itu. Insya-ALLAH, mereka mampu mencipta kejayaan sepertimana yang kita semua harapkan,” katanya kepada Sukan Sinar baru-baru ini
Shahrel Fikri terpaksa diketepikan daripada skuad Harimau Malaya bagi menghadapi tugasan di UAE selepas mengalami kecederaan pada pergelangan kaki ketika aksi Liga Super berdepan Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 5 Mei lalu.
Kecederaan yang dialami menyebabkan bekas penyerang Perak berusia 26 tahun itu terpaksa menjalani pembedahan sehingga terpaksa berehat kira-kira enam hingga 10 minggu sebelum kembali pulih sepenuhnya.
“Siapa yang tak kecewa apabila tidak dapat menyertai pasukan kebangsaan. Sudah tentu saya juga berasa kecewa kerana terpaksa melupakan impian beraksi bersama pasukan kebangsaan di UAE.
“Tetapi saya percaya kita masih memiliki pemain yang mampu mengisi posisi serangan. Siapa saja yang diturunkan nanti, saya percaya mereka akan memberikan aksi yang terbaik,” ujarnya yang lebih dikenali dengan panggilan Eky.
Hamidin (berdiri, tujuh dari kiri) bersama barisan pemain dan pegawai Harimau Malaya di KLIA pada Khamis.
Terdahulu, skuad Harimau Malaya yang terdiri daripada 45 pemain dan pegawai termasuk Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berlepas ke Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) menerusi penerbangan sewa khas Malaysia Airlines pada jam 9 pagi Khamis.
“Komitmen serta sokongan Malaysia Airlines terhadap skuad kebangsaan sememangnya tidak dapat dipersoalkan lebih-lebih lagi kerjasama di antara kedua-dua pihak ini sudah terjalin sejak 2018.
“Menerusi kerjasama Malaysia Airlines ini, perjalanan skuad kebangsaan ke UAE menjadi lebih selesa, sekali gus akan dapat menyuntik semangat kepada barisan pemain skuad kebangsaan apabila turun beraksi nanti.
“Malah, inisiatif Malaysia Airlines mengecat pesawat Airbus 330 dengan liveri Harimau Malaya pasti akan membakar semangat pemain yang melihat serta yang menaiki pesawat ini,” ujar Hamidin.
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/139630/BERITA/Sukan/Doa-Eky-iringi-Harimau-Malaya© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf.1

_________________________________________________