Khamis, 1 April 2021

Kebimbangan terhadap skuad Projek FAM-MSN jadi realiti

Syafiq Aznan - April 1, 2021 @ 12:39pm

syafiq.aznan@bh.com.my



Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (tengah) melancarkan logo Skuad Projek FAM-MSN di Wisma FAM pada 10 Disember lalu. - Foto ihsan team mas

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (tengah) melancarkan logo Skuad Projek FAM-MSN di Wisma FAM pada 10 Disember lalu. - Foto ihsan team mas

KUALA LUMPUR: Apa yang dibimbangkan akhirnya berlaku juga selepas Skuad Projek FAM-MSN menjadi 'lubuk tiga mata' kepada pasukan Liga Perdana pada penyertaan sulung mereka dalam kancah divisyen dua itu musim ini.

Ini kerana selepas mengharungi lima perlawanan, skuad bimbingan Yusri Che Lah itu menjadi satu-satunya pasukan yang belum meraih sebarang mata selepas tewas semua perlawanan dengan agregat jaringan bolos 4-15.

Situasi ini menyaksikan bekas pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Lim Teong Kim menggesa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) supaya menarik keluar pasukan itu bagi mengelak keyakinan pemain terus 'dirosakkan' dengan siri keputusan negatif yang diraih mereka.

Bekas pengendali skuad remaja Bayern Munich itu menegaskan kekalahan demi kekalahan yang dihadapi 'ubi muda' itu mungkin memberi kesan kepada mentaliti kemenangan pemain.

Bagaimanapun, pendapat Teong Kim disanggah Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan FAM, Datuk S Sivasundaram yang memberi bayangan pihaknya tiada perancangan untuk membatalkan penyertaan pasukan itu dalam Liga Perdana.

Sivasundaram yang juga Timbalan Presiden FAM itu menegaskan pandangan yang diberikan Teong Kim itu adalah pendapat peribadi semata-mata dengan dia mengakui Skuad Projek FAM-MSN memerlukan pertandingan di peringkat lebih tinggi untuk membantu perkembangan mereka.

"Itu hanyalah pandangan seorang individu. Saya berpendapat Skuad Projek FAM-MSN ini perlu diteruskan kerana lebih baik mereka beraksi di peringkat yang lebih tinggi. Kita tidak harus melihat kepada keputusan perlawanan semata-mata.

"Sebagai contoh, kita lihat sebelum ini pada aksi menentang Selangor II, mereka ketinggalan 3-0 tetapi berjaya menjaringkan dua gol walaupun tewas 4-2. Jadi kita tahu pemain ada keinginan dan semangat untuk memberikan persembahan yang terbaik.

"Sebab itulah kita akan terus memberi sokongan kepada skuad projek ini," katanya,

SUMBER-BH ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan