MyMetroUtama
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Skuad bawah 19 (B-19) tahun negara yang terpaksa melupakan impian untuk merebut tiket ke Piala Dunia B-20 boleh 'melepaskan geram' di temasya Sukan Sea apabila pasukan itu akan beraksi di Vietnam hujung tahun ini.
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, keputusan itu diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (Exco) kali ke-12 bagi penggal 2017-2021 yang berlangsung di Wisma FAM di sini, semalam.
"Skuad B-19 akan menyertai kejohanan Sukan Sea Vietnam 2021 dan juga akan menjadi skuad projek atau pasukan pembangunan kebangsaan ke arah (Sukan Sea) Kemboja 2023.
"Skuad B-19 juga akan dijadikan skuad didikan kepada (kejohanan) AFC B-22 yang akan dilangsungkan tahun ini dan juga kelayakan Olimpik 2024 di Paris," katanya.
Sebelum ini, skuad kendalian Brad Maloney yang dijadual beraksi di Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-19 di Uzbekistan Mac ini terpaksa melupakan hasrat untuk merasai bahang Piala Dunia B-20 di Indonesia tahun ini apabila Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) membatalkan kejohanan itu berikutan pandemik Covid-19.
Skuad negara yang tampak yakin meraih slot itu dengan menyasarkan tempat mara hingga ke separuh akhir kemungkinan terpaksa melupakan juga Kejuaraan AFC yang dijangka turut menjadi mangsa wabak itu.
Keputusan Exco FAM itu sememangnya tepat dan peluang untuk meraih pingat emas cukup besar menerusi kelompok pemain ini yang diketuai penyerang sensasi muda negara, Luqman Hakim Shamsudin yang kini beraksi di Belgium bersama KV Kortrijk.
Untuk rekod, kali terakhir Malaysia membawa pulang ibu segala pingat adalah pada temasya 2011 di Indonesia.
Malah, potensi untuk mendapatkan pingat emas dianggap cerah jika pencapaian Piala Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) B-18 2019 diambil kira apabila anak didik Maloney berjaya muncul naib juara selepas hanya tewas tipis 0-1 kepada Australia di pentas final yang berlangsung di Vietnam.
Rentak cemerlang itu kemudiannya diteruskan dalam Kelayakan AFC B-19 di Kemboja apabila Malaysia dinobatkan juara Kumpulan G dengan mencatat rekod bersih tanpa kalah dalam empat aksi termasuk mengejutkan Thailand sekali gus mara ke pusingan akhir di Uzbekistan kelak.
Dalam perkembangan lain, selepas cemerlang memimpin FAM sebagai Presiden sepanjang dua tahun lalu, Datuk Hamidin Mohd Amin menyerahkan nasibnya kepada 20 ahli gabungan untuk 'diadili' dalam kongres pemilihan badan induk bola sepak itu, pada 13 Mac ini.
Hamidin yang memenangi kerusi panas itu pada 2018 lalu dilihat berjaya membawa perubahan besar kepada imej FAM selain peningkatan mendadak skuad Harimau Malaya hingga muncul naib juara Piala AFF 2018 selain menduduki tangga kedua Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 ketika ini.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 7:05 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan