Rabu, 6 Januari 2021

Kim Swee pilihan paling layak

Oleh Syafiq Aznan - Januari 6, 2021 @ 1:45pm

syafiq.aznan@bh.com.my



Pelantikan Kim Swee sebagai Pengarah Teknikal FAM adalah satu keputusan. - Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Tiada lagi jurulatih tempatan lain yang dilihat layak dan memiliki kaliber untuk memegang jawatan Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selain Datuk Ong Kim Swee.

Justeru, pemerhati bola sepak tempatan, Dr Pekan Ramli menyifatkan pelantikan Kim Swee adalah satu keputusan yang tepat berdasarkan pengalaman yang dimiliki Ketua Unit Belia FAM itu dalam arena bola sepak sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau mengakui Kim Swee bakal berdepan cabaran yang jauh berbeza sebagai pengarah teknikal kerana dia ibarat 'barisan pertama' yang akan menjadi penentu dalam mencorakkan masa depan negara.

Jelasnya, bola sepak negara tidak lagi memerlukan kepakaran luar negara yang dilihat sekadar 'pandai sembang', namun tidak memberi impak besar kepada perkembangan bola sepak negara.

"Kalau dinilai pengalaman Kim Swee mengikut konteks perniagaan, kita boleh lihat dia bermula daripada bawah kemudian menjadi eksekutif, eksekutif kanan dan kini dia menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO). Tetapi jadilah CEO yang turun padang.

"Berdasarkan ini, dia memang layak kerana dia mengetahui sistem daripada atas sehingga ke bawah dan individu seperti ini diperlukan untuk menguruskan sesuatu organisasi selain meneruskan agenda yang sudah dirancang.

"Kim Swee kini menjadi antara individu penting untuk mencorakkan masa depan bola sepak kita. Bukan setakat untuk melahirkan pemain semata-mata tetapi membangunkan jurulatih dan instruktor bola sepak juga. Kita harap dia dapat melakukan tugas dengan lebih baik berbanding kepakaran luar yang diambil sebelum ini.

"Kim Swee pun jurulatih tempatan dan tahu segalanya mengenai budaya bola sepak di sini. Sudah tentu beberapa kekangan seperti kekurangan pemahaman, masalah bahasa dan sebagainya daripada pengarah teknikal luar sebelum ini tidak akan timbul lagi," katanya.

Kelmarin, badan induk bola sepak itu mengesahkan Kim Swee yang sebelum ini memegang jawatan Penolong Pengarah Teknikal FAM dilantik sebagai pengarah teknikal baharu menggantikan Peter de Roo yang tidak menyambung kontraknya.

Sementara itu, Kim Swee ketika diminta mengulas mengenai pelantikannya mengakui optimis mampu menunaikan tanggungjawab baharunya itu dengan berkesan.

"Terima kasih kepada presiden FAM dan pengurusan untuk peluang ini dan juga kepercayaan yang diberikan. Ini satu tanggungjawab yang besar dan tugas berbeza buat saya.

"Tetapi saya percaya dengan pengalaman yang saya ada, saya dapat membantu FAM secara keseluruhan daripada pasukan dan jurulatih untuk meningkatkan bola sepak kita," katanya.

SUMBER-BH ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan