Jumaat, 14 September 2018

Waspada lawan 'underdog' - Apek

MyMetroArena
Aziman Rosdi
aziman@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Penjaga gol kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat menegaskan kemenangan 3-1 ke atas Kemboja dalam aksi persahabatan antarabangsa kelmarin bukan jaminan laluan mudah buat Harimau Malaya dalam kempen Piala AFF November ini.

Pemain berusia 29 tahun itu percaya, mereka seharusnya berwaspada dengan kebangkitan pasukan ‘underdog’ seperti Kemboja dan Laos yang mampu melakukan kejutan bagi saingan Kumpulan A.

“Pasukan Kemboja sangat berbeza di bawah Keisuke Honda (jurulatih baru). Saya pernah bermain menentang Kemboja sebelum ini tapi ini pasukan Kemboja yang terbaik,” kata pemain Melaka United itu.

“Saya percaya pada Piala AFF nanti, kita tak boleh ambil mudah pasukan ‘underdog’, kita kena bersedia kerana mereka boleh bangkit.”

Selain Kemboja dan Laos, skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe perlu berdepan pasukan pilihan Vietnam dan Myanmar untuk melepasi halangan Kumpulan A yang bakal bermula 8 November depan.

Dalam aksi persahabatan di Stadium Olimpik Nasional Phnom Penh kelmarin, Malaysia bangkit meledak gol pada babak kedua menerusi Shahrul Saad, Syazwan Andik dan Shahrel Fikri selepas Soeuy Visal membuka jaringan untuk tuan rumah.

Bagaimanapun, skuad kebangsaan seharusnya berterima kasih kepada Khairul Fahmi atau Apek yang menyelamatkan hampir lima percubaan bahaya Kemboja.

Biarpun mempamerkan aksi bertaraf wira itu, dia yang menjadi tonggak utama skuad juara Piala AFF 2010 mengakui belum ada jaminan untuknya memegang status penjaga gol nombor satu negara.

“Masih banyak yang perlu saya perbaiki, kena kerja kuat lagi untuk rebut tempat dalam skuad ke Piala AFF,” kata Khairul Fahmi.

Selain Khairul Fahmi, Cheng Hoe kini memiliki beberapa pilihan untuk posisi penjaga gol antaranya Farizal Marlias, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, Haziq Nadzli, Izham Tarmizi dan Ifwat Akmal Chek Kassim.
 SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 September 2018 @ 4:49 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan