Pestabola Merdeka uji B-23
K. RAJAGOBAL (kanan) mempunyai tugas berat untuk menyiapkan skuad B-23 dari segi kecergasan, taktik dan teknikal menjelang beberapa siri perlawanan berprofil tinggi.di Kelana Jaya, semalam.
PETALING JAYA - Skuad bola sepak bawah 23 tahun kebangsaan yang terlepas peluang untuk bertemu Brazil, Mexico, Turki dan Korea Selatan ekoran pembatalan Kejohanan Piala Antara Benua bawah 23 tahun akan beraksi dalam Pestabola Merdeka Ogos ini sebagai persediaan ke Sukan SEA di Laos.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Khairy Jamaluddin berkata, selain itu FAM sedang mengusahakan beberapa siri perlawanan persahabatan untuk memastikan skuad itu berada di tahap terbaik sebelum ke temasya Sukan SEA pada Disember.
"Kita boleh sediakan siri perlawanan persahabatan yang mencukupi untuk mereka. Tapi daripada segi kecergasan, taktik dan teknikal, saya serahkan pada jurulatih K. Rajagobal," katanya selepas menghadiri majlis penutup Seminar Pembangunan Teknikal FIFA dekat sini, semalam.
Khairy berkata, walaupun terkilan dengan pembatalan Piala Antara Benua, persediaan skuad bawah 23 tidak terjejas sebaliknya siri perlawanan berprofil tinggi sedang cuba diusahakan buat masa sekarang.
Kejohanan Piala Antara Benua yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur dari 1 hingga 14 Jun ini dibatalkan semalam berikutan ancaman wabak influenza A (H1N1) yang melanda beberapa negara. - BERNAMA
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0513&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5R96h8nq5
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan