Isnin, 8 Jun 2015

Penyudah tumpul

Penyudah tumpul!Oleh Azlan Muhammad Zain
 azlanmz@hmetro.com.my
Shah Alam: Pengendali Harimau Malaya, Dollah Salleh akan memberikan penekanan untuk mempertajamkan sentuhan penyudah penyerangnya menjelang aksi penting kelayakan Piala Dunia 2018 bermula Khamis ini.

Barisan penyerang negara terutama Safee Sali, Afiq Azmi dan Amri Yahyah gagal memanfaatkan peluang yang diperoleh ketika terikat tanpa jaringan dalam aksi persahabatan menentang Hong Kong, malam kelmarin.

Walaupun beraksi dengan lebih baik pada separuh masa kedua, tiada sebarang jaringan mampu diterjemahkan anak buah Dollah.


“Kami masih kekurangan sentuhan jaringan. Selepas seminggu latihan, saya lebih memberikan tumpuan untuk pemilihan 23 pemain berbanding persediaan pasukan untuk menghadapi perlawanan ini. Saya fikir itu yang menjadi masalah,” kata Dollah.

“Kami perlu tingkatkan aspek hantaran bola selain sokongan barisan tengah ketika melakukan serangan.

“Penyerang juga perlu melakukan sesuatu yang lebih. Saya yakin dengan tempoh yang ada sebelum aksi kelayakan Piala Dunia, kami mampu mengatasi masalah ini,” ujarnya.

Ketiadaan kapten negara Safiq Rahim yang digantung satu perlawanan selain Norshahrul Idlan Talaha yang disisihkan kerana kecederaan turut diakui Dollah memberi impak kepada persembahan pasukan.

Skuad negara akan memulakan kempen kelayakan Piala Dunia 2018 menentang Timor Leste Khamis ini, disusuli Palestin pada 16 Jun dengan kedua-dua aksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Jun 2015 @ 5:13 AM
 
MOHD Afiq (dua dari kiri) cuba melakukan jaringan ketika menentang Hong Kong, kelmarin.

- Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/56388#sthash.v6q1nc3m.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan