Sabtu, 16 Mei 2015

Pelan terjejas

Oleh Azlan Muhammad Zain-azlanmz@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Pengendali Harimau Malaya, Dollah Salleh mengakui persiapannya sedikit terjejas apabila sejumlah besar pemain kebangsaan akan mendaftar lewat bagi kem latihan pusat bermula hari ini.
Dollah terpaksa melepaskan pemain Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dan Pahang apabila kedua-dua pasukan itu melangkah ke pusingan kedua Piala AFC dengan perlawanan dijadualkan berlangsung pada 26 dan 27 Mei ini.
Ia membabitkan 13 pemain Johor DT termasuk Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abd Radzak, Amri Yahyah, S Chanturu selain lima pemain Pahang serta beberapa pemain yang terbabit dengan saingan Sukan SEA di Singapura.
“Setakat ini tiada perubahan dalam senarai pemain untuk kem latihan pusat, cuma saya khuatir dengan ketiadaan pemain Johor DT dan Pahang yang akan lewat lapor diri (pada 28 Mei),” kata Dollah.
Ketiadaan pemain kedua-dua pasukan bermakna skuad negara kehilangan sebahagian besar pemain utama.
“Persiapan sedikit terjejas. Saya perlu menunggu hingga mereka melaporkan diri untuk terangkan konsep yang saya inginkan. Saya perlu memulakan kembali supaya pemain Johor DT dan Pahang dapat memahami konsep. Itu kerisauan saya,” ujarnya.
Dollah menerusi laporan Arena Metro semalam mahu menerapkan corak latihan berbeza yang menekankan intensiti tinggi selepas meninjau corak latihan pemain di Jepun baru-baru ini.
Seramai 19 pemain tempatan selain lima pemain import dipanggil bagi kem latihan pusat fasa pertama bermula hari ini hingga 27 Mei untuk aksi persahabatan menentang kelab Liga Perdana Inggeris, Tottenham Hotspurs.
Ia disusuli fasa kedua kem latihan pusat dari 28 Mei hingga 17 Jun dengan misi menghadapi kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 menentang Timor Leste dan Palestin di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mei 2015 @ 5:09

- SUMBER: http://www.hmetro.com.my/node/51523#sthash.A8Ii2PCh.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan