Selasa, 10 Februari 2015

Skuad muda negara muncul juara Piala Emas Bangabandhu

09 Februari 2015 12:55 AM

 Nazirul Naim Che Hashim
Nazirul Naim Che Hashim
KUALA LUMPUR – Faizat Ghazali muncul wira selepas gol kemenangannya membawa skuad bawah 22 tahun Malaysia menjulang Piala Emas Bangabandhu 2015 dengan menewaskan skuad kebangsaan Bangladesh 3-2, semalam.
Tandukan penyerang berjersi nombor 17 itu hasil sepakan sudut Syazwan Andik membolehkan skuad bimbingan Razip Ismail mengulangi kejayaan bergelar juara seperti edisi 1997.
Ketika itu Malaysia B menewaskan PSM Ujungpandang (Indonesia) 2-1 dalam perlawanan akhir.
Kejayaan ini turut menjadi penyuntik semangat skuad belia yang turut menggabungkan pemain Harimau Muda A, menjelang misi lebih penting, Kelayakan Bawah 23 Tahun Asia, bulan depan.
Kedua-dua pasukan nyaris diheret ke masa tambahan selepas terikat 2-2 sehingga masa kecederaan babak kedua perlawanan akhir di Stadium Nasional Bangabandhu, Dhaka, Bangladesh.
Malaysia mendahului agak selesa hasil jaringan sepakan bebas cantik le­bih 20 meter oleh Nazirul Naim Che Hashim dan tolakan S. Kumaahran.
Namun, tuan rumah enggan menyerah mudah apabila menyamakan kedudukan 2-2 menerusi Jahid Hasan Ameli dan Yeasin Khan.
Kedua-dua jaringan berpunca daripada lontaran ke dalam dan sepakan sudut pada minit ke-48 dan 59.
Anak-anak buah Razip terdahulu menewaskan skuad sebaya, Singapura 1-0 dalam separuh akhir selain menjuarai Kumpulan A dengan menewaskan tuan rumah dan Sri Lanka 2-0.
Malaysia selaku tuan rumah, bakal berdepan Jepun, Vietnam dan Macau dalam Kumpulan I Zon Timur Kelayakan Asia Bawah 23 Tahun dari 23 hingga 31 Mac ini.
Sepuluh juara kumpulan dan lima pasukan terbaik tempat kedua daripada semua kumpulan (15 pasukan) akan layak ke pusingan akhir di Qatar, Januari 2016.
Kejohanan itu turut menjadi menjadi kelayakan Sukan Olimpik Rio yang mencari tiga terbaik wakil Asia.

- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/skuad-muda-negara-muncul-juara-piala-emas-bangabandhu-1.57481#sthash.ha0qSoHY.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan